Friday, May 27, 2011

Yang diperhatikan


Pramoedya dalam “Anak Semua Bangsa” berkata begini tentang jarak:

“Orang bilang, apa yang ada di depan manusia hanya jarak.  Dan batasnya adalah ufuk.  Begitu jarak ditempuh sang ufuk menjauh.  Yang tertinggal jarak itu juga ― abadi.  Di depan sana ufuk yang itu  juga ― abadi.  Tak ada romantika cukup kuat untuk dapat menaklukkan dan menggenggamnya dalam tangan ― jarak dan ufuk abadi itu.”


ii.

Ada yang jauh lebih sederhana dan amat jelas mesejnya daripada takrif 'jarak'nya Pram itu - wawancaranya Mat Sabu dengan Lim Hong Siang, editor MerdekaReview, tentang pelbagai hal.  Dalam sesi tersebut calon Timbalan Presiden itu, antara lain menyatakan:

"Saya amat tidak bersetuju, di Malaysia ini, dia letakkan Islam itu seolah-olah agama Melayu.  Melayu itu Islam.  Melayu berugama Islam saya amat bersyukur.  Tapi nilai Islam ini, jauh lebih berada dalam kalangan orang Cina berbanding dengan orang Melayu."

Jika ada yang belum membaca wawancara itu, silalah ikutinya dengan teliti.  Ada lagi aspek-aspek yang cukup menarik berhubung pemerhatian Mat Sabu ini, misalnya dalam DAP terdapat ramai pemimpin mereka yang sangat sederhana, seperti TGNA. 


iii.

Dalam perbincangan kita bersama-sama rakan-rakan dalam Budayawan Bertindak semalam, aspek-aspek seperti ini ― sekali lagi dibangkitkan:

Orang-orang Cina lebih memahami apakah maknanya penghayatan akar budaya itu. Sejak sebelum merdeka,  mereka tidak pernah melupakan akar budayanya.  Orang Cina yang kebetulan tidak berbahasa Mandarin kerana tidak dididik dalam bahasa itu, tetap membeli akhbar berbahasa Cina kerana dia percaya, dialah yang perlu mendokong bahasa itu. 

Kenapakah begitu sikapnya?  Dalam sesuatu bahasa itu ada akar budaya yang mesti dipertahankan.

Katanya dalam Pas ada pemimpinnya yang tidak membaca akhbar Harakah kecuali ada berita tentang dirinya.

Dalam kalangan masyarakat Cina terdapat ramai yang filantropis, yang tidak ragu-ragu menderma untuk kemajuan bangsanya. Dewan Perhimpunan Cina itu wujud di mana saja.  Orang-orang Melayu hanya memiliki dewan orang ramai yang katanya adalah milik Umno.

Ada orang Melayu yang mendapat projek kerana memiliki talian yang ajaib,  dan orang ini katanya tidak pernah lupa menunaikan umrah setiap kali mendapat projek.  Mungkin untuk bertaubat agar dosanya diampunkan atau apakah untuk berdoa supaya mendapat projek yang baru? 

Apakah sudah ada masjid yang telah dibina oleh sang kaya raya Melayu ini sebagai kaedah untuk menyucikan dirinya?


iv.

Jangan terlalu terkejut, jika ramai orang Melayu bersama-sama DAP yang lebih Islam dalam tindakan jika dibandingkan para pemimpin Melayu yang syarahnya tentang Islam yang syumul itu  meruntuhkan bumbung dewan tapi tingkah lakunya dalam segala hal, amatlah alahaiii...sekali.

Apakah maknanya semua ini?

Yang diperhatikan ialah gerak, tingkah laku dan tindakan ― bukannya yang disyarahkan.






No comments: