Friday, May 27, 2011

Alat bantuan berfikir

Tuan Penasihat (1)


Tuan Penasihat (setelah ini TP) itu adalah kaki, tangan dan mulutnya.  Jika kaki, tangan dan mulutnya itu sedang bercuti, nongkrong atau pun sedang keluar kota ― maka kaki, tangan dan mulut TP itulah yang berjalan, menghumban segala musuh-pencabar dan berpidato kepada khalayaknya.

TP adalah jurutunjuk pertama yang mengajarnya, katanya ― kaedah yang paling tepat, paling jitu lagi munasabah untuknya merangkak, bertatih-tatih sebelum dia ― secara bersendirian, menapak di sekeliling kamar tidurnya. 

Peraturan parti pula seakan-akan memaksanya bermastautin di loteng yang menjadi pejabat dan kediaman partinya.  Saking tingginya loteng yang begitu kerap pula disapu dan diselubungi awan yang tak henti-hentinya berarak, dia selalu saja diserang penyakit gayat.  Ya, selalunya dia terasa amat gayat dan sentiasa saja hidup dalam kegayatan yang amat sangat.   

Maka tangan TP itulah yang dicapainya apabila dia merasakan lotengnya sudah terlalu tinggi.  Dia perlukan tangan TPnya supaya ― dia tidak terlalu jelas dilihat oleh khalayak dan pengikutnya, sentiasa saja gabrah kerana sentiasa pula diserang penyakit gayat. 

Dia amat yakin tangan ajaib itulah yang melindunginya terjatuh.  Tangan TP itulah yang dipegangnya untuk bertatih-tatih dan menarik nafas lega selama ini.

Dia yakin, tanpa TP itu, dia bakal punah.

Lantas bagaimanakah pula caranya dia berfikir?

Dia tidak pernah berfikir.  Parti telah memberikannya alat bantuan berfikir.





No comments: