Sunday, February 19, 2012

Kuasa, dakwah dan Melayu

Berdakwah dengan kuasa


Dia mengulangi hujah-contohnya sekali lagi dalam pertemuan di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 19 Februari 2012: Bahawa yang diperlukan oleh saf kepimpinan setelah berkuasa ialah integriti.

Katanya: Nabi Muhammad S.A.W berdakwah selama 13 (tiga belas) tahun, pengikutnya ketika ialah sekitar 300 orang. Setelah berkuasa selama 8 (lapan) tahun yang menerima Islam meningkat jumlahnya sehingga menjadi sekitar ¼ juta orang.

“Apakah rahsianya?” suaranya memenuhi ruang, jelas dan lantang. Baginya yang menjadi daya tarikan terbesar ialah integriti. Seluruh kehidupan Nabi mulai daripada gaya hidup, rumah tangga, kepimpinan serta kuasa yang dimilikinya itu dilaksanakan dengan penuh amanah.

2.

Setelah menguasai negara ini lebih setengah abad yang lalu, kebimbangan (baca:gertakannya) yang sentiasa saja diutarakan kepada orang-orang Melayu ialah: Berjaga-jagalah orang-orang Melayu, jika Umno kalah, habislah seluruh orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu bakal diratah, hidup-hidup oleh Cina-Cina DAP!

Malangnya terdapat juga orang-orang Melayu yang terpelajar (kita katakan ‘terpelajar’ kerana mereka ini memiliki jawatan yang agak lumayan dalam perkhidmatan awam) yang seakan-akan histeris, lalu meraung-raung kerana katanya melihat ‘Cina-Cina DAP’ yang semakin hari semakin melampau. Logiknya mereka ini menjadi begitu histeris kerana sudah cukup yakin dan percaya bahawa perangai ‘Cina-Cina DAP meratah Melayu’ ini benar ― dan BENAR belaka?

Apakah yang menyebabkan orang-orang Melayu ‘terpelajar’ seperti ini begitu bimbang, was-was dan takut sekali?

Selama ini apakah yang disantap oleh minda Melayu seperti ini?

Apakah yang disuap ke kerongkong orang-orang Melayu ini selama ini?

Apakah yang disumbat ke telinga nurani orang-orang Melayu ini selama ini?


Biarlah yang histeris itu Al-Akidah seorang saja.


3.

Dalam konteks kuasa ‘Melayu itu’ ini, kita juga sentiasa diseru supaya:

TIDAK perlu bimbang dan takut selagi ‘Melayu itu’ memimpin dan menguasai negara ini. Katanya kita pasti selamat (walaupun sekian lama diRampok, ditipu dan diRampok lagi). Kata mereka lagi, kita selamat kerana berada dalam genggaman mereka yang ‘Melayu itu’ ― yang menjaga Melayunya.

Demikianlah, kita selalu dimaklumkan.

4.

Dia mengulanginya lagi ― setelah empat tahun Pakatan Rakyat mengambil alih beberapa buah negeri di negara kita, yang teratas dalam konteks integriti ialah Pulau Pinang.

“Apakah yang terlalu sukar buat para pemimpin mengisytiharkan hartanya?”

Ya, janganlah kita juga turut berhujah ala seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. Janganlah kita juga turut beralasan dan berhujah apabila diminta untuk menunjukkan integriti kita dalam berkuasa.


Wallahuaklam.

No comments: