Tuesday, September 6, 2011

Catatan Ainurjah

Secubit Pengalaman

Tempat parking kereta di hadapan Klinik Kesihatan Hospital Tuanku Fuziah penuh. Aku terpaksa pusing dua kali sebelum aku dapat petak kosong. Itu pun nasib baik ada pengunjung yang baru keluar. Memang rezeki akulah. Lepas cuti raya memang selalu begitu. Mahupun di klinik swasta atau di hospital memang ramai dengan pengunjung setia yang sakit. Agaknya, kena penyakit demam biskut dan ketupat raya kot.
Setelah puas meninjau pandangan di segenap penjuru ruang menunggu, akhirnya aku melabuhkan punggungku yang kurang pejal itu di kerusi bersebelahan seorang lagi warga tua macam aku. Sempat aku menjeling raut wajahnya yang nampak kusut dan sugul persis diselubungi seribu satu masam masah.
Setelah menyandarkan badanku di kerusi untuk mendapatkan kedudukan yang selesa, baru saja aku hendak membuka mulut untuk menyatakan hasratku mahu meminjam akhbar Berita Harian yang dikepitnya, masa itu juga orang tua itu bersuara.
“PAS sekarang dah jauh menyeleweng. Guna kalimah Allah di gereja boleh, murtad boleh, maki orang boleh, kata pula Maha Samseng tu hanya sifat Tuhan dan macam-macam lagi. Nik Aziz tafsir Islam ikut suka hati dia saja. Main ikut akal dia seorang saja. PAS hanya guna nama Islam saja tapi tidak memperjuangkan Islam yang sebenar,” kata orang tua yang rambutnya lebih banyak putih daripada hitam, dengan suara yang agak kuat.
Aku segera membatalkan niatku hendak pinjam akhbar daripada orang tua itu.
“Saya setuju tu. PAS dah hilang arah sekarang. Pemimpin nombor dua mereka seorang pengecut. Diminta berdebat oleh Ketua Pemuda, tak berani pula. Sudahlah dia tu buta sejarah, dipanggil berdebat, takut. Dasar pengecut. Pemimpin apa macam tu!” balas rakannya yang kelihatan lebih muda.
Lepas itu, perbualan menjadi semakin rancak. Bingit telingaku disumbat dengan pelbagai tohmahan terhadap parti Islam itu. Para pemimpinnya juga tidak terlepas dari kena tohmah dan sumpah seranah.
“Tebal sungguh rasa benci dan meluat mereka terhadap PAS,” getus hati kecilku.
Demikian sekelumit perbualan dalam episod kehidupan harian manusia Melayu di bumi tercinta ini.
Dalam hatiku berkata-kata, “Bagaimanakah kita hendak mengubah persepsi kelompok orang-orang seperti ini dalam masyarakat kita?”
Aku pernah mempunyai sedikit pengalaman bertukar-tukar pandangan dengan seorang ‘Mat Salleh’ yang secara kebetulan aku jumpa semasa dalam perjalanan dengan keretapi malam dari KL ke Hadnyai. Dia seorang pelancong yang singgah sekejap di KL dalam perjalanannya ke negara Thailand.
How do you find touring in Malaysia?” tanyaku dalam bahasa pelancong itu.
Oh! I don’t like Malaysia. Too many prescriptions of what you can do and what you can’t do.
Saya sengaja tidak mahu tukarkan percakapannya itu ke dalam bahasa kita. Saya sengaja hendak tunjukkan itulah kata-katanya yang sebenar. Sebenarnya saya terkejut dengan apa yang dikatakannya. Tetapi saya terima dengan lapang dada. Pelancong itu begitu terbuka menyatakan perasaannya yang sebenar tanpa berselindung.
Where is your next destination?” tanyaku lagi.
Oh! I’m heading for Phuket Island. Have you ever been there? They say that the beaches are beautiful with beautiful ladies.
Wow! Have a nice trip, and do come to Malaysia again,” ucapku mengiringi perpisahan di stesen Arau kerana aku turun di situ.    
Apa yang hendak saya tonjolkan di sini ialah perbualan itu berlaku dalam konteks yang begitu bebas, terbuka, mesra tanpa rasa takut atau bimbang di samping tidak ada rasa terkongkong sedikit pun. Kami saling berbeza pandangan tentang banyak perkara terutamanya tentang isu budaya, sosial dan politik. Namun semuanya berlaku dalam konteks minda dan dada yang lapang.
Berbalik pada situasi perbualan di ruang menunggu klinik tadi, bolehkah dengan secara bebas dan terbuka, saya menyanggah pendapat orang tua dan rakannya itu? Saya fikir masyarakat kita belum sampai ke tahap itu lagi. Sebab itulah sikap dan keadaan hidup kita lambat berubah agaknya.


No comments: