Friday, September 16, 2011

Lihat dulu bikinnya bukan cakapnya

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/175954

Secebis petikan ucapan Perdana Menteri semalam.


“18. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.”


__________________________________________________

Komen:

Sepintas lalu, apakah yang dapat kita tanggapi daripada petikan ucapan menjelang 16 September 2011 ini?  Antara lain, kita temui:

Para 18, seperti biasa adalah hujah dan justifikasi Sang Penguasa kenapa kekadang kerajaan perlu ‘zalim demi untuk berlaku adil’:  Bahawa dalam kehidupan ini tidak ada yang namanya kebebasan mutlak itu.   

Perkara 19, menarik kerana mungkin ada yang berfikir tanpa perenggan ini,  Umno sesungguhnya tidak kelihatan cukup Islam apatah lagi jika dibandingkan dengan Pas misalnya.  Oleh itu yang keArab-Araban ini mungkin dikira sangat perlu demi untuk membuktikan bahawa Umno juga sangat Islamik.

Perkara-perkara 23 dan 24 datang senafas, in one breath.  Ya, kita hapuskan  ISA tapi ─ hubaya hubaya, demi keselamatan negara dan rakyat seluruhnya, Sang Penguasa masih perlukan rotannya.  Dan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri membayangkan bahawa undang-undang anti-pengganas yang bakal dibentangkan nanti itu adalah ala-ala undang-undang negara-negara rujukan, Amerika (Patriot) dan United Kingdom.


2.

Sang Penguasa kerap sekali membentangkan angka-angka pertumbuhan ekonomi negara yang katanya sedang berkembang hebat.  Ia, Sang Penguasa ini berbuat demikian demi untuk membuktikan dan menyakinkan rakyat bahawa sesungguhnya kita makmur.  

Apakah maknanya angka-angka ini jika masih lagi ramai rakyat yang terus berhempas pulas untuk menyediakan makanan paling asas kepada anak-anak di rumah?  Ya, yang paling asas ─ mengisi perut untuk terus hidup.  Bermaknakah angka-angka yang mulus-mulus itu?

Dalam konteks undang-undang di atas, janji muluk-muluk tidak memberikan apa-apa makna jika rakyat masih terus dipaksa patuh-tunduk hanya kepada Sang Penguasa.

Selain itu, siapakah yang boleh menjamin bahawa undang-undang yang bakal menggantikan ISA itu tidak lebih teruk dan mencengkam?  Bagaimana pula dengan kebebasan dan kewibawaan pelbagai institusi seperti kehakiman dan kepolisian yang sudah begitu tempang itu?   

Pendek kata, kita perlu tunggu dan lihat bilakah agaknya Kem Kemunting itu ditutup dan semua penghuninya dibebaskan.  Ya, kita perlu tunggu dan lihat bikinnya bukan cakapnya.

3.

Nampaknya,

Pelbagai cara digunakan untuk terus bernafas.

Dan pelbagai kaedah dolak dan dalik telah kita lihat.

Janganlah terlalu tergesa-gesa percaya kata-kata manis Sang Penguasa itu.  Apakah mulut manis yang pinky jauh berbeza?

Ya, kita mestilah terus berwaspada.  Dan kita juga tidak boleh berhenti berkerja keras demi perubahan ─ perubahan sebenar yang kita perjuangkan itu.


No comments: