Tuesday, October 25, 2011

Khazanah lama

Ahmad Murad Bin Nasruddin, “TANGGA BACHAAN” Terchap di-Art Printing Works, Kuala Lumpur, 1956


PENDAHULUAN

Ada pun buku “TANGGA BACHAAN” ini di-karangkan menurut chara baharu menggantikan buku “Pelbagai Chetera Melayu” Penggal I yang di-gunakan dalam darjah IV di-sekolah-sekolah Melayu itu. Enche’ guru-guru di-pinta mengajar murid-murid mereka membacha buku ini sa-berapa yang boleh dengan tidak berlagu, jangan saperti yang biasa di-lakukan oleh murid-murid itu ketika membacha hikayat-hikayat atau buku-buku karangan cara tua itu.

Ada pun perkataan-perkataan Inggeris yang telah menjadi perkataan Melayu dan yang ada di-gunakan dalam buku ini sengaja di-eja mengikut Inggeris-nya yang sebenar.  Tujuan-nya ia-lah apabila murid-murid sekolah Melayu belajar bahasa Inggeris dalam sekolah mereka atau masok belajar ke-sekolah Inggeris, mereka telah mengetahui erti beberapa perkataan Inggeris dengan ejaan-nya sa-kali.  Perkataan-perkataan Inggeris itu di-chap dengan hruf chondong.

Pada akhir tiap-tiap suatu pelajaran dalam buku ini ada di-beri sadikit so’alan sa-bagai panduan kapada guru-guru dan guru-guru boleh-lah menyediakan sendiri beberapa so’alan lagi untok di-jawab mulut oleh murid-murid.  Dengan jalan yang demikian dapat-lah di-ketahui ada-kah murid-murid itu telah faham betul akan isi tiap-tiap suatu pelajaran yang di-bacha mereka itu.

Saya mengambil peluang di-sini menguchapkan berbanyak-banyak terima-kaseh kapada Tuan L.I. Lewis, Penolong Penguasa Pelajaran (A) kerana menggalakkan saya mengarang buku ini serta menolong saya sama-sama menchari gambar-gambar yang di-gunakan di-dalam-nya.  Demikian juga uchapan terima-kaseh saya kapada Pejabat Penerangan Persekutuan Tanah Melayu dan Straits Times Press, Singapore kerana memberi kebenaran kapada saya menggunakan gambar-gambar-nya dalam buku ini.  Saya sangat terhutang budi dan menerima kaseh kapada Enche’ Abdul Hamid bin Hasan, Guru Besar, Sekolah Melayu Pasar Road, Kuala Lumpur, kerana membacha dan menyemak tiap-tiap satu pelajaran yang terkandong di-dalam buku serta memberi beberapa tegoran yang berfaedah bagi membaiki-nya.

          
AHMAD MURAD

Jabatan Pelajaran,
Persekutuan Tanah Melayu,
Kuala Lumpur.

1 July 1954.

Itulah salah satu khazanah lama yang saya perolehi semasa menyelongkar buku-buku lama yang disimpan adik saya di Sungai Petani, Kedah.  Sebuah buku teks yang kami pelajar-pelajar sekolah Melayu,  gunakan dalam tahun 1958.  Ketika itu saya dalam darjah empat, Sekolah Melayu, Sungai Petani, Kedah.  

Sekiranya kita ingin teliti dengan lebih mendalam, terdapat banyak perkara yang boleh kita baca, teliti, cerapi dan pelajari dengan menelaah buku ini. Yang paling nyata, perhatikan bagaimana sistem ejaan bahasa Melayu itu telah berubah.  Perhatikan perubahan kepada ‘gaya membaca teks’ oleh pelajar-pelajar sebelum zaman “Tangga Bachaan” ini dibandingkan dengan angkatan pelajar Pelbagai Chetera Melayu”.  

Lihatlah bagaimanakah kaedah mempelajari bahasa Inggeris itu diperkenalkan oleh pengarang ini.  Ada yang mungkin tertanya-tanya bagaimanakah agaknya rupa bentuknya sistem pelajaran kita tatkala itu.  Di manakah Sekolah Melayu Pasar Road, Kuala Lumpur itu sekarang?  Itu belum lagi meneliti isi kandungan buku ini secara menyeluruh.

Saya teruja misalnya membaca bab 23 iaitu “Bah Besar di Pahang”  pada halaman 164 – 174.  Mungkin ini semua kerana latar JPS saya dulu.

Apa pula yang diceritakan dalam kisah, “Perjumpaan Yang Akhir”  itu?

Ada sesuatu yang terlintas dalam kepala saya setiap kali membelek-belek khazanah seperti ini:  Adakah anak-anak kita teruja dengan buku-buku teks yang mereka baca sepanjang berada di bangku sekolah?


(Do you still remember the text books you have read during your primary school days?  Do you still remember how have those books enriched your life?)



No comments: