Thursday, October 13, 2011

Pak Shukur: Teman Penulis Mengenang Azizi

Sumber: Harakahdaily

(http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/seni-budaya/5921-teman-penulis-mengenang-almarhum-azizi)

Teman Penulis Mengenang Azizi
A. Shukur Harun

Teman-teman penulis, termasuk Sasterawan Negara A. Samad Said, Dinsman, Asni Abas, Bara Jiwa dan lain-lain dai Seniman Paksi Rakyat telah mengadakan majlis sederhana memperingat Sasterawan Rakyat, Almarhum Azizi Abdullah di ‘Warung Rakyat’ berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Saya tidak dapat hadir malam itu kerana menghadiri dialog Bajet 2012 yang dianjurkan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS di sebuah hotel di Ibu Negara. Namun malam itu, hati saya sentiasa ingat akan majlis memperingati Almrhum Azizi itu, malah saya sudahpun menyiapkan ucapan pendek – tribute kepada Azizi – yang hendak saya sampaikan malam itu.

Tidak menjadi janggal kiranya saya perturunkan ucapan yang sepatutnya saya sampaikan pada malam itu justru ia gambaran penghormatan saya yang amat mendalam kepada Sasterawan Rakyat, Almarhum Azizi Abdullah.

Inilah ucapan saya itu:

“Malam ini kita bertemu di majlis sederhana di ‘Warung Rakyat’ ini untuk mengingati kepergian sahabat kita yang dikasihi, Sasterawan Rakyat, Azizi Abdullah.

Kita memilih tempat ini sebagai simbolis kepada perjuangan Almarhum yang menggunakan penanya untuk membela rakyat baik di desa mahupun di kota.

Malam ini kita menghidupkan kembali semangat perjuangan Azizi kerana kita sedar kepergiannya adalah suatu kehilangan besar bukan saja di kalangan penulis bahkan lebih-lebih lagi di kalangan rakyat prihatin yang sedang mengharapkan kemunculan ramai penulis yang bersedia berada di barisan depan dalam memperjuangkan hak mereka.

Almarhum Azizi tidak hanya menjadi jurubicara rakyat pedalaman, pesawah dan nelayan, tetapi juga membela golongan miskin di kota, di kawasan gelandangan, kawasan rumah pangsa murah yang sempit.

Lebih 30 novel, ratusan cerpen dan puluhan esei yang dihasilkannya dengan memenangi pelbagai anugerah serta hadiah sastera termsuk SEA Write Award di Bangkok, menunjukkan ia adalah penulis besar rakyat yang berjejak di bumi nyata, walaupun tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Seperti kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, kalaulah tidak kerana pegangan politiknya, nescaya Almarhum sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Tetapi tidak mengapa, bagi saya Almarhum tetap besar justru kita mengingatinya pada malam inipun lebih disebabkan kepada usahanya menjadi besar.

Almarhum Azizi tidak hidup dalam sebuah bayangan dan terapung-apung dalam sebuah khayalan intelektual yang akhirnya terhempas di lembah kekeliruan, tetapi ia sasterawan yang benar-benar berjejak di bumi nyata, berada di tengah realiti mayarakat dan sekaligus menjadi jurubicara mereka.

Seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Almarhum Azizi hadir dan mengalir, subur dan berkembang, dengan berani mengungkapkan mengenai hak-hak rakyat. Semuanya ini menyebabkan Azizi bukan jenis penulis, yang kata A. Samad Said, semata-mata golongan ‘Carma’ – cari makan - justru Azizi tidak berlindung di bawah payung kekuasaan untuk mengelak dari di bakar matahari, tetapi dia berdiri sendiri di tengah panasnya.

Pada pendapat saya sudah sampailah masanya, para penulis kini muncul sebagai pembela rakyat melalui karya-karya mereka, seperti apa yang dilakukan oleh penulis-penulis ulung masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam dan kemudian dilanjutkan oleh Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan ramai lagi.

Rakyat tertindas sedang menanti pembelaan dari golongan penulis ini kerana mereka sedang berdepan dengan suatu kehidupan yang sangat sukar dan jauh dari sikap manusiawi yang penuh simpati dan adil.

Rakyat dihadapkan dengan perlakuan rasuah, kekayaan negara hanya dibolot oleh segelintir golongan yang berada di koridor kuasa, nilai-nilai agama dan moral hampir-hampir tidak mempunyai tempat sama sekali.
Inilah masalah rakyat yang diperjuangkan oleh sasterawan seperti Azizi dan lain-lain.

Kini Almarhum Azizi tidak lagi bersama kita. Paksi kehilangan seorang teman karib, namun karyanya akan terus hidup, dibaca dan dihayati serta dikenang lama oleh pelbagai pihak, terutama rakyat yang nasib mereka selama ini diperjuangkan oleh Almarhum.”

Walaupun saya tidak hadir di majlis mengenang Almarhum Azizi, namun jiwa saya hadir di sana. Saya dapat membayangkan suasana yang sangat menyentuh perasaan pada malam itu bagaimana perasaan teman-teman penulis mengenang Almarhum Azizi, seorang penulis yang sangat dekat di hati, justeru kehidupan dan karyanya adalah sebuah jiwa yang hidup, berakar kepada perjuangan.

Tempat yang dipilih pada malam mengenang Azizi itupun sangat simbolis, sebuah ‘Warung Rakyat’ yang jauh dari pusat kuasa dan mereka yang berkuasa. Sebab itu ia bebas dari udara ‘pertarungan politik dan kuasa yang keras dan bengis’.

Mudah-mudahan akan ada lagi malam mengenang bukan saja Almarhum Azizi tetapi juga mengenang sasterawan rakyat yang telah pergi, yang melalui karya mereka memperjuanhkan keadilan rakyat.
Saya yakin, akan muncul lagi sasterawan yang begini.

Al-Fatihah untuk Almarhum Azizi, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.



No comments: