Thursday, December 8, 2011

Anak Apak

Berikut ialah beberapa petikan yang menarik:

i) Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di Malaysia. Demokrasi mesti diteruskan. (halaman xiv, pengantar penulis)

ii) “Tidak wajar dalam dunia ini ada insan yang berkecuali. Manusia mesti memihak kepada kebenaran. Manusia hanya dibenarkan berkecuali ketika tidak mengetahui asal-usul sesuatu isu. Orang berotak tidak wajar kekal dalam keadaan tidak tahu. Dia mesti keluar dari alam tidak tahu. Sesudah mengetahui, dia tidak lagi boleh berkecuali. Dia mesti di pihak yang benar.” (halaman xiv, pengamtar penulis)

iii) Tatkala saya melangkah masuk ke alam persekolahan pada tahun 1948 dalam usia lapan tahun, bidang khidmat yang dicadangkan untuk saya ialah menjadi Tuan Guru seperti Apak, panggilan adik-beradik kepada orang tua lelaki kami. (halaman 1- 2)

iv) Antara pengalaman di sekolah itu, saya menjadi teman bermain bola kepada anak Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya. Kadang-kadang saya ke kedai keluarga Chin Peng di Simpang Empat, Setiawan. Anak ketua komunis itu dikatakan melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Sungai Besi. Dia tidak menjadi pegawai tentera tetapi menjadi peguam di Kuala Lumpur.

Petikan iv) dikatakan berlaku semasa pengarangnya berusia 13 tahun. Peristiwa yang dirakamkan oleh Anak Apak ini sedikit sebanyak memberikan secuil gambaran gaya berpolitik dan juga kaedah penjajah British mentadbir ketika itu (1953), empat tahun sebelum kita diberikan kemerdekaan. Di tangan seorang wartawan besar, kita dapat melihat rakaman sebuah peritiwa peribadi yang besar maknanya jika dilihat dari aspek ketelusan sistem pentadbiran penjajah (?).

Bandingkan hasilnya apabila seorang sasterawan mengambil Darurat, (Usman Awang, ‘Tulang-Tulang Berserakan’) sebagai latar karya kreatifnya. Lihatlah bagaimana Darurat itu yang sangat besar impaknya kepada seluruh kehidupan rakyat ketika itu, dapat memberikan gambaran bagaimana penjajah telah ‘mentadbir’ negara kita.

Bandingkanlah dengan suasana politik kita di awal abad ke-21 dan apa yang telah berlaku apabila Mat Sabu bercakap tentang Mat Indra dalam konteks merayakan kemerdekaan negara. (Insyallah, tidak lama lagi kita bakal mendengar kes ini di Pulau Pinang...)

2.

Kita selalu berpesan kepada teman-teman penulis: Rekodlah pengalamanmu itu untuk rujukan anak cucu kelak. Syukur Alhamdulillah, memoir seperti Anak Apak lahir juga akhirnya.

Subky Abdul Latif, Anak Apak - Memoir Politik Kewartawanan, Kemilau Publika, Sungai Buloh, Selangor, 2011.

No comments: