Wednesday, December 7, 2011

Belajar dari asal usul Felda: Dari mana mau ke mana?

Asalnya lurus


Niat asalnya masih lurus dan tepat kerana ketika itu tindakan-tindakan masih lagi didorong dan berpandukan motif yang tepat. Tujuan penubuhan Felda “Memberikan tanah kepada orang-orang Melayu miskin di luar bandar yang tidak memiliki tanah.”

Itu dulu, zamannya bapanya Perdana Menteri itu.

Lama kelamaan, manusia pemimpin kerana kuasa yang dimilikinya, kerana cekaunya sentiasa saja dekat dengan kantung dan sering pula ‘dibantu’ serta dikelilingi oleh otak mulusnya para penyokong dan pemikirnya, maka bermulalah transformasi yang berdikit-dikit itu.

Transformasi berdikit-dikit ini berjalan kerana pemimpin dikelilingi oleh mereka yang mahir mengampu serta bijak pula berjustifikasi.

Transformasi yang dibantu oleh para pengampu, parasit dan sistem yang bobrok telah melahirkan Felda hari ini. Felda yang bakal dicagar untuk diperolehi dananya.

Ini semua tidak berlaku sekelip mata.


2.

Ada satu contoh yang dapat kita jadikan bahan renungan, contoh di PBT. PBT, Pihak Berkuasa Tempatan, antara lain dianggotai oleh kelompok penguasa dan diketuai oleh penjawat awam. Ahli-ahlinya termasuklah ketua-ketua jabatan di peringkat daerah. Sebagai penjawat awam, mereka kekal walaupun Sang Penguasanya boleh bertukar ganti.

Pada satu pagi yang bening, maka terpacullah idea yang bagus: Ahli-ahli Majlis eloklah ke Taiwan untuk mempelajari kehebatan teknologi pertanian di sana. Maka sebelum mentari September itu muncul, berangkatlah seluruh skuadron Majlis Daerah ini ke Taiwan ― katanya untuk mempelajari kehebatan teknologi pertaniannya Taiwan.


3.

Ada juga penjawat awam tidak mahu ikut serta kerana katanya, “Itu wang rakyat yang digunakan untuk makan angin.”

Sebelum itu puas juga dia berhujah bahawa amalan ini tidak baik untuk negara kita.

Berapa orangkah di kalangan penjawat awam dan Sang Penguasa yang mahu ‘menjadi kera sumbang’ yang menentang arus seperti ini?


Apakah maknanya kisah seperti ini?

Niat yang betul dan lurus saja belum mencukupi jika tidak diterjemahkan. Maka sesiapa saja yang kerjanya berhujah bahawa pemimpin kelompok mereka itu hebat dan telus, perlulah berikan perhatian yang lebih serius kepada hal-hal yang remeh temeh seperti ini.

Dalam konteks ini peranan ‘semak dan imbang’ itu bukanlah untuk diteorikan, semata-mata. Sekiranya kita sayangkan pemimpin dan kepimpinannya, teori ini perlu diterapkan di kalangan Sang Penguasa. Sang Penguasa yang baik, tentunya gembira jika diperingatkan dan ditegur. Makanya para penyokong yang bertanggungjawab pula eloklah belajar menegur dan bukannya mengampu.

Kenapakah begitu?

Trasformasikan Felda dan lain-lainnya yang wujud dalam sistem kita itu, bukanlah berlaku sekelip mata.

Ya, sama seperti proses mengampu ― ia juga bukanlah peristiwa sekelip mata.

No comments: