Friday, December 9, 2011

Integriti

Dinsman (Artikel 272, 9/12)
Apakah integriti tidak penting dalam Islam?

Sabtu lalu saya hadir suatu majlis wacana eksklusif dengan sekitar 25 orang budayawan, wartawan dan intelektual yang sebahagiannya saya kenal dan sebahagian lagi baru nak berkenalan, di sebuah hotel sederhana di Petaling Jaya. Ketua Pengarang Harakah yang menjemput. Tapi ia bukan anjuran Harakah.

Ada sekumpulan kawan-kawan yang berminat dengan wacana sedemikian, lalu mereka menganjurkan majlis itu. Begitulah nampaknya. Dan tokoh yang berbicara ialah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS. Topik yang dibincang – “PRU 13: Ke arah Malaysia negara berintegriti”.

Sebuah perbincangan yang sangat bagus, membuka minda, menerobos sempadan pemikiran, apatah lagi dengan maklumat-maklumat yang dibuka oleh Mat Sabu, yang selama ini mungkin tersembunyi, atau tidak diminati oleh kebanyakan orang khasnya pimpinan PAS sendiri, malah memberi interpretasi baru yang agak menarik terhadap beberapa aspek dalam kepemimpinan PAS dan pentadbiran di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS.

Alhamdulillah, dan syabas kepada pihak penganjur, dan tahniah kepada Mat Sabu yang rupa-rupanya mempunyai pemikiran yang agak mendalam mengenai konsep “integriti” dan keperluan kita kepada hal integriti tersebut, khasnya di kalangan pimpinan PAS hari ini.

Memang tidak dinafikan hal itu. Dan berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Mat Sabu, kita faham memang hal integriti itu agak berkurangan di kalangan pemimpin kita hari ini, khasnya pemimpin Islam di seluruh dunia, dan termasuk pemimpin PAS; dan dalam aspek tertentu nampaknya sebahagian pemimpin DAP pula yang lebih dihormati dan dihargai oleh generasi muda kita hari ini disebabkan oleh sifat dan ciri-ciri integriti yang terdapat pada kepribadian mereka.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Mat Sabu itu, tetapi awal-awal lagi apabila dibuka untuk dialog saya menyatakan keperluan untuk kita menyemak konsep dan istilah “integriti” itu dalam vokabulari atau perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab, dan juga dalam tamadun Islam. Saya sendiri cuba mencarinya tetapi tidak bertemu.

Hal ini bukanlah sekadar soal bahasa tetapi adalah soal perspektif dan asas pemikiran kita dalam membincangkan perkara tersebut. Oleh kerana yang kita bincangkan adalah soal nilai kepemimpinan di kalangan pemimpin Islam, dan nilai yang kita bincangkan itu pun adalah nilai Islam, maka perlulah kita melihatnya terlebih dahulu dalam vokabulari kata Islam dan pastikan bahawa ia memang terdapat di dalam tamadun Islam.

Di zaman Rasulullah dan di zaman Khulafa’ al-Rasyidin apakah istilah yang digunakan untuk nilai yang semakna dengan kata ‘integriti’ itu? Apakah iaitu ‘berhemah’, atau ‘beramanah’, atau ihsan? Seorang peserta berpendapat ia mungkin ‘ihsan’, dengan merujuk kepada kata ‘ihsan’ yang terdapat dalam Hadis terkenal riwayat Muslim (dll) daripada ‘Umar (ra), mengenai Islam, Iman dan Ihsan yang dijelaskan Nabi kepada Jibrail (lalu dikenali sebagai Hadis Jibrail).

Berdasarkan Hadis tersebut Rasulullah menjelaskan bahawa Ihsan bermakna: “Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia pasti melihatmu.”

Itulah konsep Islam yang paling hampir makna dan maksudnya dengan ‘integriti’, setakat yang dapat diingat dan difikirkan oleh para peserta wacana yang dinamakan ‘Dialog Rakyat’ itu.

Saya tegaskan bahawa kita perlu merujuk kepada tamadun Islam kerana Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (saw) itu adalah panduan hidup atau cara hidup yang sempurna. Atau Mat Sabu sendiri dalam wacananya itu merujuk kepada al-Islam ya’luu wala yu’laa ‘alaih. “Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”.

Kalau Islam itu paling sempurna dan paling tinggi atau paling baik dan tidak ada yang lebih baik daripadanya, maka sudah tentu kita tidak perlukan nilai yang lain lagi selain daripada yang ada di dalam Islam.

Memang ‘integriti’ dengan ‘ihsan’ itu tidak sama makna dan maksudnya. Integriti merujuk kepada sifat yang baik, yang ada kejujuran, keikhlasan, amanah, tanpa kecenderungan untuk menindas orang atau merampas hak orang atau bermegah dan sombong dengan orang atau bermewah melebihi rakyat yang dipimpin.

Ertinya, dalam makna integriti iti tidak ada pun keperluan untuk merujuk kepada perintah Allah atau beribadat kepada Allah, sedangkan ‘ihsan’ dalam Islam itu merujuk kepada keikhlasan manusia sebagai hamba dalam beribadah kepada Allah, iaitu menjalani kehidupan (tanggungjawab) yang sentiasa dalam kesedaran bahawa kita diperhatikan oleh Allah.

Dan kalaulah yang demikian itu adalah benar maksudnya, maka kenapakah kepemimpinan Islam hari ini mengalami masalah integriti (seperti yang menjadi kerisauan Mat Sabu itu)?

Konsep ‘integriti’ itu mungkin tidak ada dalam Islam. Tetapi itu tidak bermakna Islam membenarkan kehidupan seperti yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemimpin Islam hari ini (termasuk pemimpin PAS) yang dikatakan tidak ada integriti itu.

Saya merujuk kepada ciri-ciri kepemimpinan Islam seperti yang pernah disenaraikan oleh sarjana-sarjana dalam tamadun Islam, yang dikumpul oleh Dr Shaharir Mohd Zain dalam bukunya Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman.

Ada 22 ciri (aksiom) kepemimpinan unggul Islam yang disenaraikan. Tidak terdapat kata ‘integriti’ di dalamnya. Terdapat kata ‘ihsan’ di rujuk (dalam aksiom Bukhari al-Jawhari), tetapi bukan dalam maksud seperti yang terdapat dalam Hadis Jibrail yang disebut tadi. Maka alangkah bagusnya kalau Dr Shaharir sudi meluangkan sedikit masa bagi melanjutkan wacana ini, dengan menjelaskan di manakah terdapatnya nilai ‘integriti’ dalam senarai aksiom kepemimpinan Islam mengikut kajiannya itu.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

No comments: