Monday, December 12, 2011
Mari Ke Felda Sungai Tengi pada 23 Disember 2011
Dinsman (Artikel 273, 12/12)
Mengapa Seniman berhimpun di Felda Sg Tengi?
Setahun yang lalu, beberapa orang seniman jadi terguris hati dan sanubari mereka apabila mendengar berita tujuh buah kampung yang menjadi kampung laman orang Melayu di Kuala Lumpur sejak lebih 100 tahun itu tiba-tiba hendak diperkosa oleh pihak kerajaan Umno-BN, konon atas nama ‘pembangunan’. Maka mereka membuat himpunan dengan penduduk kampung-kampung tersebut dan mereka berkarya, menyatakan sokongan agar hak warisan itu dihormati dan dihargai, dan alhamdulillah mereka mencapai maksud dan matlamat kreativiti seni mereka yang dapat dikongsi bersama dengan rakyat di perkampungan warisan tersebut.
26 November lalu mereka berhimpun sekali lagi di situ, menjamu selera dengan sup lembu yang dimasak khas oleh orang-orang kampung sambil berbicara dan mendengar analisa puisi 56 penyair oleh Arbak Othman, berhubungan dengan perjuangan kampung-kampung itu, sebagai menyambut genap setahun Himpunan Seniman 2010.
Alhamdulillah rupa-rupanya aktiviti kreatif begitu sangat bermakna untuk para seniman berserta rakyat yang diangkat persoalan mereka ke dalam karya. Maka Seniman Paksi Rakyat pun bersetuju pula dengan aktivis hak-hak peneroka Felda kebangsaan yang dipimpin oleh Mazlan Aliman melalui Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), untuk berkarya pula dengan permasalahan 1.6 juta warga peneroka yang dikatakan akan kehilangan hak ke atas tanah mereka seluas 360,000 hektar, kerana rancangan pihak pengurusan Felda yang ingin mengapungkan tanah-tanah itu di pasaran saham Bursa Malaysia, untuk keuntungan besar pihak kapitalis yang berselindung di sebalik alasan-alasan canggih yang tidak difahami rakyat.
Aduh aduh aduh!... Apalah yang saya tulis kali ini begitu berbelit-belit dan rumit sekali jadinya ayat-ayat itu, tidak mudah dan simpel seperti biasa? Minta maaflah ya para pembaca sekalian. Saya ingin menjelaskan satu perkara yang sangat besar, dan rumit, dalam ruang yang sangat kecil dan singkat ini. Itulah dia.
Sekumpulan seniman dan budayawan pernah berhimpun untuk berkarya bersama rakyat yang berjuang mempertahankan hak mereka ke atas kampung laman di Kampung Banda Dalam, Kuala Lumpur. Sekarang mereka akan berhimpun pula untuk bersama dengan rakyat di kawasan Felda di Selangor, bertempat di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor. Tarikhnya 23 November ini. Acara bermula daripada sebelum Asar, hinggalah 12 tengah malam.
Selasa lalu saya bersama Kassim dan Hasni mewakili pihak seniman-budayawan pergi ke Felda Sg Tengi, bertemu dengan pihak peneroka dari Felda Sg Tengi, Felda Soeharto, Felda Gedangsa dan Felda Sg Buaya, berbincang perkara ini. Nampaknya mereka pun telah bersedia untuk menerima kehadiran para seniman, sepertimana November 2008 dulu para nelayan perahu kecil di Kuala Pahang menerima kehadiran seniman-seniman dari Seniman Paksi Rakyat, untuk berkarya dan menjalin ukhuwah seniman bersama rakyat.
Cuma kali ini tentunya dalam skala yang lebih besar, kerana latar belakang persoalan tanah Felda seluas 360,000 hektar yang sedang terancam itu. Bukanlah kehadiran para seniman ini hendak menyelamatkan kedudukan tanah-tanah Felda yang sedemikian luasnya itu. Kehadi-ran para seniman hanyalah sebagai pernyataan sokongan ukhuwah, di samping untuk mengisi makna kepada kreativiti kesenimanan itu sendiri, kerana seniman tidak berkarya dalam kekosongan, tetapi mereka mengisi karya dengan hal-hal perjuangan kemanusiaan, seperti yang ditunjukkan karya-karya klasik zaman berzaman.
Sasterawan Negara A Samad Said sudahpun mengesahkan kehadirannya. Dan seperti biasa, daripada Terengganu Wan Ahmad Ismail (yang baru menerbitkan dua buah novel, Pulau Tasik dan Muktamar) juga sudah mengesahkan akan hadir. Daripada Kelantan, Sasterawan Alam Siber (SAS) Anbakri juga akan hadir dengan lagu puisi terbarunya (album yang baru dilancarkan di Alor Setar pada 10 Disember).
Manakala Amni Jagat daripada Johor (dalam proses menerbitkan novel generasi barunya) sedang menyusun semula jadual aktivitinya agar tidak sampai ketinggalan happening seni-budaya yang penting ini.
Yeoh dan Rahmat yang sedang bimbang dengan ‘Jalan Sultan’ yang juga akan ‘diperkosa’ itu pun berjanji akan hadir dengan persembahan seni mereka. Manakala anak muda seperti penyair Benz Ali bersama rakan-rakannya yang sedang giat menggerakkan aktiviti ‘seni revolusioner’ itu barangkali sedang merancang untuk membawa sesuatu yang “sesuatu’, bagi peristiwa himpunan seni ini. Kita mengharapkan!
Seperti pada himpunan di Kampung Banda Dalam dulu, acara akan bermula dengan aktiviti melukis, selepas solat Jumaat. Kalau dulu Siti Zainon yang menyelaraskan acara ini, kali ini kita belum dapat pengesahan lagi, (kerana dia belum pulang dari bumi anbiya’).
Acara muzik akan bermula selepas solat Asar. Kita mengharapkan beberapa kumpulan muzik akan hadir untuk membuat persembahan.
Namanya pun himpunan seniman-budayawan, yang akan berkarya bersama dengan rakyat. Tentulah acaranya terbuka untuk disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat. Hubungi penyelarasnya, Kassim (Paksi), untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan himpunan ini, di talian 012-4753516 atau emel barajiwa@gmail.com atau http://barabarajiwa.blogspot.com
Dalam perbincangan di Sg Tengi bersama pihak peneroka Felda selasa lalu, kami juga bersetuju untuk mengadakan sesi sembang seni dengan peminat-peminat seni khasnya sastera dan penulisan, dari kalangan anak-anak muda Felda, bersama dengan seniman-seniman yang akan hadir nanti, khasnya A Samad Said.
Dalam perjalanan hari itu saya nampak ada iklan Homestay Sg Tengi. Barangkali mereka yang dari jauh bolehlah menempah penginapan di homestay tersebut. Sambil itu dapatlah menikmati suasana kehijauan dan kesuburan alamnya.
Beraktiviti seni atau berkreativiti di kawasan yang seperti perkampungan Felda saya kira adalah sesuatau yang baru dan menjanjikan banyak kelainan, keindahan dan inspirasi. Apalagi dengan adanya latar cerita tanah seluas 360,000 hektar yang akan ‘diperkosa’ itu.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
Nota:
Keluasan Negeri Melaka ialah 165,000 hektar.