Monday, December 19, 2011

Otak mulus pembohong

Bagaimana Sang Pembohong perolehi senjatanya


Kali ini para perancang perang saraf Sang Pembohong itu terbahak-bahak melihat kejayaan projek ‘memelihara kesucian Islam’ mereka. Mereka gembira melihat bagaimana senjata-senjata lama dalam bentuknya yang terbaru ini semakin ghairah mentransformasikan dirinya. Ya, sejak menampalkan label ‘Himpun’ di dahinya, telah terisytiharlah ke seluruh buana: Merekalah pejuang tulen Islam.

Ya, ada beberapa mesej yang mahu disampaikan oleh Sang Pembohong. Bagi kita versi yang mahu dibentangkan oleh Sang Pembohong ialah para Pejuang Islam yang bergabung dalam HIMPUN ini terpanggil ke depan kerana alasan-alasan yang ‘cukup konkrit’:

Mesej pertama: Para pejuang tulen Islam berlabel baru ini telah terpanggil untuk berHIMPUN kerana pihak lain tidak berbuat apa-apa apabila kesucian Islam itu dicabar. Yang bersungguh-sungguh berjuang, bertungkus lumus mempertahankan Islam ialah watak-watak terpilih yang bergabung di dalam HIMPUN. Ini selari dengan modelnya penyelamat ‘Melayu’ yang dijuarai Perkasa.

Mesej kedua: Sang Pembohong sedia ada adalah penyelamat tulen ― penyelamat yang sebenar agama Islam negara ini. Katanya sejak (sudah melebihi setengah abad) memerintah negara ini, Islam terselamat kerana dijaga dan dilindungi dengan baik oleh Sang Pembohong. Sekarang ini masalah terbesar Sang Pembohong, lebih-lebih lagi menjelang PRU 13, Pas masih lagi keras kepala dan tetap tidak mahu bersatu walaupun demi ‘Islam’ dan Melayu. Lebih buruk lagi demi nafsu rakusnya untuk berkuasa, Parti Islam itu lebih bersemangat untuk bersama-sama orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam daripada mempertahankan Islam bersama Sang Pembohong. Pas rela Islam tergadai kerana telah kemabukan kuasa.

Kita tahu semua ini adalah versinya seekor pembohong tegar murahan (that cheap, seasoned yet compulsive liar).


2.


Mesej kedua di atas, mestilah diteliti dengan adil dan saksama oleh watak-watak tertentu (kecuali Sang pahlawan Islam yang kecundang dalam pemilihan Pas yang lalu) tatkala dan setiap kali mereka digesa untuk berHIMPUN.

Kita menyeru watak-watak ini meneliti setiap aspek yang dicanang oleh Sang Pembohong yang sedang ketagih, linglung kerana kecanduan pil-pil pembohongan.

Apakah watak-watak ini mahu dibohongi si pembohong tegar yang tidak berupaya bercakap benar kerana sudah terlalu mabuk dan ketagihan untuk berbohong yang amat sangat?

No comments: