Saturday, January 28, 2012
Anak muda dan Sasterawan Negara
Apa kata AFATIN tentang ...
Kesan dua jam bersama Pak Samad.
Ada sesuatu tentang dia. Mungkin perwatakannya. Cara bola mata sepetnya bergerak, atau mungkin setiap bibit pergerakan tangannya yang rancak memberi informasi. Saya akui, saya agak mengantuk pada mulanya, ditambah pula dengan kedinginan pendingin hawa yang menyucuk tulang. Namun, saat Pak Samad mula berbicara perhatian saya mula tertumpu kepadanya. Berbicara mengenai beberapa novel yang benar-benar menarik minat saya serta pengolahan isi yang cukup berpuitis membuat saya rasa seperti didendangkan dengan lagu merdu tanpa melodi. Saya tak tau mengapa ceramah kali ini rasa berbeza, mungkin kerana keindahan bahasa yang dilontarkan oleh Pak Samad sangat jarang didengari, terutamanya desawarsa ini. Ceramah kali ini benar-benar menyedarkan saya akan kepentingan membaca dalam memperluaskan kosa kata dan penggunaan bahasa dengan lebih kreatif dan kritis. Saya juga baru sedar mengenai kebebasan semasa menulis. Lontarkan sahaja apa yang di dalam kotak minda kerana itu hasil kita sendiri. Saya seorang pelajar sains namun mengambil sastera sebagai subjek tambahan. Kerana saya pasti di sudut hati, sedalam mana ilmu sains digali namun akhirnya pena dan kertas jadi peneman di sisi.
2.
Masa yang Dinsman peruntukkan untuk merakamkan tanggapan masing-masing ialah dua puluh minit. Inilah salah satu hasil yang kami perolehi ― buah tangan anak muda yang sedang menanti keputusan SPMnya.
Jika diperlukan PAKSI akan terus menjelajah ― ke mana saja untuk menemui anak-anak muda. Anak-anak muda yang kerap mengisytiharkan, “kami ingin terjun ke dunia penulisan.” Tatkala berdepan dengan sekalian anak muda ini, soalan serta pesan kami sentiasa itu-itu jua:
Apakah dorongan yang paling kuat untuk menulis? Sudahkah disemak apa yang terbuku di dalam qalbu semasa bercadang untuk menjadi penulis? Apakah niat yang dipasang itu sudah tepat? Apakah bakal bermanfaat dunia yang diceburi ini tatkala kita semua diundang untuk menemuiNYA kelak?
Kenapakah mata pedang masih kalah dek pena? Mata pena yang seperti apa?
Kenapakah dorongannya ialah ‘Berkata Benar’? Apakah rupa bentuk tindakannya (‘Berkata Benar’ itu) pabila diterjemahkan ke alam nyata?
Kenapa teks indah-indah, muluk-muluk yang menghasilkan habuan itu mesti berpindah di dunia nyata, dunia yang real?
Kami di PAKSI sentiasa mendoakan kelahiran lebih ramai anak-anak muda yang jujur. Anak-anak muda penulis yang jujur kepada dirinya semasa berkarya.
Labels:
budaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment