Monday, January 30, 2012

The duel

Pertarungan itu


Peraturan sedia ada jelas mengatakan demikian. Adat resam sedia ada jelas mengatakan bahawa itulah peraturan yang termaktub. Paling menentukan dan yang lebih utama, undang-undang yang terpakai di kota itu juga jelas menyatakan demikian. Ertinya segala peraturan, adat resam dan ― paling utama, undang-undang sedia ada jua memaktubkan demikian. Sememangnya, begitulah kehendak undang-undangnya. Seluruh penghuni kota, kecil besar, tua muda amat arif itulah undang-undangnya.

Berita ‘kekacauan yang sengaja dicipta oleh segelintir tetamu kota’ tidak sampai ke telinganya sehinggalah salah faham, perang mulut, ledakan emosi, rasa tidak puas hati itu meledak menjadi unjuk rasa terbuka. Apa yang bermula sebagai aduan perkhidmatan yang kurang memuaskan telah bernanah dan meroyak ― tuala tidak diganti, bilik tidak dikemas, penghawa dingin tidak berfungsi, siaran tv yang corot dan tuduhan bahawa tingkah staf sangatlah tidak sopan.

Pada mulanya mereka sekadar berbalas ‘hujah.’

“Mereka ini bukanlah tetamu yang baik. Kasar dan tidak tahu aturan. Paling teruk merosakkan keharmonian dan besar kepala.”

“Kami tidak perolehi hak kami yang sah sebagai pelanggan. Kami datang sebagai tetamu. Kami bukan peminta sedekah.”

Akhirnya pada satu pagi yang masih bersisa embun jantannya, sekumpulan manusia pada berkumpul di laman rumah istirihat, berhampiran tempat menambat kuda, lengkap dengan sepanduk dengan segala ungkapan protesnya.

“Pengusaha cekik darah!!”

“Pengusaha mungkir janji!!!”

“Kuda kami dicuri!!!”

“Letak jawatan”


ii.

Apa yang bermula sebagai salah faham kecil semakin panas, tidak terkawal lagi, akhirnya berubah menjadi bentrokan terbuka. Kemarahan kedua-dua belah pihak meledak-ledak, riuh rendah namun meriahnya masih seperti pesta membakar mercun CNY.

Penyudah peristiwa ialah dikri yang diumumkan langsung oleh Datuk Bandar, para tetamu ― tepatnya para koboi gelandangan ini, mestilah dinyahkan jauh dari kota kecil kerana kesalahan yang amat fatal ― mereka telah melanggar undang-undang sedia ada.

Penyingkiran beberapa kerat koboi gelandangan dari dalam kota belum jua dapat meredakan konflik. Melalui utusan suka rela di antara kedua belah pihak, rupa-rupanya perang mulut itu tidak jua mahu berhenti.

Mungkin terlalu marah dengan apa yang telah berlaku, para koboi telah mencabar supaya kes ini diselesaikan ala koboi, “Ayuh, Kita duel!!” seru mereka.

Ramai yang terkejut ― cabaran itu disambut dengan penuh semangat pula oleh Datuk Bandar.


iii.


Pada hari nahas itu, seluruh penduduk kota melihat sosok lelaki tua yang rela mati mempertahankan undang-undang dan peraturan itu, tegak di tengah arena, pistol erat di pinggangnya ― pistolnya, berpeluru getah.

Di luar gelanggang para musuh Datuk Bandar tersenyum puas.

No comments: