Dialah seniman itu – berdiri di
tengah rakyat
Dinsman
Published: 11 March 2015
(Artikel ini ditulis sempena Pameran Lukisan Sasterawan Negara A. Samad
Said berjudul “Hitam dan Merah”, pada 15 Mac – 5 April, di galeri Xin Art
Space, Jalan Jelatik 1, Pusat Perniagaan Jelatik, Setiawangsa, Kuala Lumpur).
Hari itu saya seperti tergamam membaca berita dalam The Malaysian Insider.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said meminta Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang
supaya hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Februari.
Kalau tidak, dia dan partinya PAS lebih baik keluar saja daripada PR, katanya.
Seorang seniman, seorang penulis, seorang Sasterawan Negara, bercakap
demikian dan cakapnya menjadi berita utama dalam akhbar. Itulah dia seniman
besar Malaysia – A Samad Said. Dia sudah menjadi ikon masyarakat Malaysia hari
ini, di kalangan mereka yang menyokong pendirian dan perjuangannya mahupun yang
tidak menyokong.
Wataknya bukan lagi milik sastera-seni-budaya, tetapi sudah melangkauinya.
Ke luar daerah itu. Dialah seniman yang kini “berdiri di tengah-tengah rakyat”.
Ketika rakyat turun ramai-ramai memenuhi jalan raya Kuala Lumpur berarak
menuju ke Istana Negara bagi menyatakan bantahan terhadap dasar gila kerajaan
Barisan Nasional (BN) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), 7 Mac 2009, dialah yang berada di
hadapan – memimpin himpunan tersebut bersama Pengerusi GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI),
Datuk Hassan Ahmad.
Dan selepas itu sentiasalah dia bersama rakyat yang turun ke jalan raya,
hingga diminta menjadi pengerusi Bersih 3.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan
Adil) bersama dengan Ambiga Sreenevasan, menganjurkan himpunan Duduk Bantah, 28
April 2012. Dan banyaklah lagi langkah-langkah beraninya bersama rakyat,
menentang pihak berkuasa yang zalim.
Bahawa dia juga menghasilkan karya-karya senilukis, yang membawa gaya dan
bentuknya tersendiri, yang kini sudah empat kali berpameran solo, bermula
daripada pameran ‘Daerah Samad’ (100 Sketches by A. Samad Said) di Galeri
Petronas, 12 Jun–15 Julai 2007. Memang agak memeranjatkan pada mulanya. Samad
Said juga melukis? Hingga boleh berpameran solo di Galeri Petronas?
Waktu itu saya bersama Nasir Jani baru saja (dua tahun) selesai mengikuti
dan merakamkan rutin kehidupan hariannya selama tujuh hari di antara 4 Februari
–5 Mei 2005, untuk sebuah video dokumentari dan buku catatan ringkas bergambar
A Samad Said: Kehidupan Seorang Seniman Malaysia (2005). Saya meminta untuk
merakamkan apa-apa saja yang dilakukannya sebagai aktiviti hidupnya dalam
tempoh waktu tersebut.
Bagaimana dia membaca, menulis, berjalan, menonton teater, baca puisi,
solat di masjid, minum di café, naik kapal terbang, LRT, memberi ceramah,
melihat pameran lukisan, menjadi model untuk dilukis dan sebagainya. Namun
tidak sekali pun disebutnya dia juga ada melukis.
Meneliti katalog yang diterbitkan sempena pameran 2007 itu, kebanyakan
karya yang dipamerkan adalah bertarikh 2006 dan sedikit 2007, dan hanya tiga
buah bertarikh 2005. Anaknya Helmy yang menguruskan karya-karya dan tahu
mengenai aktiviti melukis bapanya pun mengakui Samad Said mulai melukis pada
2005.
Ertinya sewaktu kami membuat penggambaran dokumentari itu Samad tidak
menyatakan aktiviti melukisnya kerana memang waktu itu dia belum lagi melukis,
atau baru hendak mula, dan belum tahu lagi apakah dia akan menjadi pelukis.
Dan hal dia melukis ini pun sebenarnya bukanlah hal baru, tetapi
dilakukannya sewaktu di Singapura, sebelum terkenal sebagai sasterawan lagi.
Begitu juga dia pun pernah menyanyi di sana-sini di hadapan khalayak sewaktu di
Singapura itu. Tetapi kemudiannya terhenti dan tidak diteruskan.
Paling mengujakan saya ialah apabila naskhah teater saya ‘Menunggu Kata
Dari Tuhan’ itu diambil Samad menjadi skrip untuk ditekuni menghafalnya selama
beberapa bulan pada awal 2010. Teks monolog solo itu banyak kali dilakonkan
oleh Sabri Yunus, mengambil masa selama 40 minit.
“Tindakan ini sebenarnya adalah langkah saya yang terkini untuk lebih ke
tengah masyarakat. Dulu saya hanya mencipta karya, tapi kini saya memilih untuk
menjadi lebih real di tengah khalayak – di pentas kehidupan. Melalui karya ini,
saya bukan berlakon; istilah setepatnya saya berdakwah.
Sebab, dalam teks ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’, yang diperjuangkan adalah
bercakap benar – kata luhur! Kita wajib bercakap benar dalam segala tindakan
harian kita. Jadi, kalau dilihat kata-kata saya berpindah ke warna, dan kini
kata-kata itu berpindah pula ke aksi.”
Itu pengakuan Samad Said kepada Nur Hanim Khairuddin, yang mewawancaranya
untuk katalog sempena pameran solo kedua Samad Said, ‘Kata Luhur’, di Balai
Seni Lukis Negara, 9 April–10 Mei 2010. Catatan wawancara itu bertarikh 9
Februari 2010. (Nur Hanim ialah kurator bagi kedua-dua pameran solo Samad itu).
Sayangnya, hasrat Samad untuk berlakon teater itu tak jadi direalisasikan,
oleh sebab-sebab tertentu, setelah teks itu dihafalnya dan latihan pertama
dibuat di Stor Teater DBP. Namun bagi saya ia memberikan makna khas kepada
watak kesenimanannya.
Dan keinginannya untuk beraksi di “tengah masyarakat” atau di tengah rakyat
itu, yang tak terjadi melalui teater, telah terjadi dengan lebih merakyat lagi
melalui pentas-pentas ceramah politik dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum,
Mei 2013.
Ramai kawan-kawan penulis dan seniman tidak bersetuju dengan langkah yang
diambil Samad, seperti mereka juga tidak bersetuju Samad memimpin rakyat turun
ke jalanraya memprotes kerajaan dalam beberapa isu yang padanya adalah jelas
menunjukkan kerajaan tidak adil, menindas dan membohongi rakyat, dan
menyalahgunakan kuasa.
Dan dia hadir di tengah-tengah rakyat itu sebagai seorang seniman, membaca
puisi di mana-mana dan dia pernah dikehendaki polis kerana puisi yang dibacanya
– ‘Unggun Bersih’.
Ternyata Samad Said melebarkan dan memperluaskan lagi horizon makna dan
peranan seniman. Sama ada disedarinya ataupun tidak.
Dan pada waktu itulah juga dia melukis. Kenapa dia kembali melukis setelah
sekian lama meninggalkan kerja seninya di bidang itu? Soalan yang tak perlukan
jawapan tentunya. Dia sudah pun menghasilkan sekian banyak karya lukisan.
Dan lihatlah dalam kumpulan ‘Kata Luhur’ itu – garis-garis merahnya
ditampilkan dengan begitu berani dan penuh yakin, dalam bentuk-bentuk yang
kasar. Tidak lagi garis-garis halus yang lembut seperti dalam ‘Daerah Samad’
sebelumnya. Dan mereka dihadirkan dalam keadaan yang mentah – seperti
sapuan-sapuan yang belum siap, seperti lenggok dan tari kaligrafi yang cuba
membentuk kata-kata dalam bahasanya tersendiri.
Merah. Hanya merah. Atau hanya hitam. Atau bertindih-tindan hitam di atas
merah. Seperti bayang-bayang dari bangunan-bangunan tinggi di tengah-tengah
bandar yang kepanasan oleh “global warming” – katanya. Ternyata Samad sang
seniman menemui satu lagi medium pengucapannya.
Memang tak mungkin kita membaca gurisan-gurisan warna atau sketsanya itu
seperti kita membaca karya sastera. Alangkan susunan bahasa puisi pun
kadang-kadang sukar kita membaca dan memahami makna dan maksudnya; inikan pula
bahasa lukisan yang hanya warna dan garis!
Namun sang seniman tentunya telah menyatakan sesuatu atau pelbagai
pernyataan melalui penghasilan karya seninya itu. Barangkali dia menyatakan
kemarahannya, atau keriangannya, atau kesyukurannya, atau dia sedang asyik
berbicara dengan dirinya. Dan yang pentingnya dia memberikan sesuatu yang
sangat berharga kepada kita. Apa pun lah!
Marilah menghayatinya, atau menerimanya, sepertimana pun yang mungkin bagi
anda! Dialah itu – seniman yang berdiri di tengah rakyat. (Jangan lupa: 15 Mac
– 5 April). – 11 Mac, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Share with others
- See more at:
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/dialah-seniman-itu-berdiri-di-tengah-rakyat#sthash.a6umxY6R.dpuf
No comments:
Post a Comment