Wednesday, March 18, 2015

Tekad budaya untuk hantu raya?





TEKAD budaya?  Siapakah yang perlu menegaknya?




Tekad budaya itu “cultural will.”  Yang selalu diperkatakan orang ialah “political will” atau “tekad politik.”   Oleh kerana politik menguasai kehidupan kita maka orang selalu bercakap dan ambil peduli dengan tekad politik sehinggakan tekad budaya ke belakang; tidak dipedulikan.



Sila perhatikan dua contoh berikut:



1) Beratur



Beratur itu perbuatan orang-orang sedar bahawa ramai yang memerlukan perkhidmatan yang sama tapi kaunter yang dapat memberikan perkhidmatan terhad.  Kecuali ada hal-hal yang mendesak (misalnya ketika kecemasan atau orang tua yang sakit-sakitan) sesiapa yang datang dulu, dialah yang lebih dulu mendapatkan perkhidmatan. Berebut-rebut memotong giliran tidak dibenarkan kerana budaya beratur itu budaya bangsa yang tinggi budayanya.



Ini adab hidup bermasyarakat.  Dalam masyarakat yang tinggi budayanya, mereka yang tidak beratur akan ditegur.  Yang beradab akan beratur tanpa dipaksa.  Orang beradab@berbudaya tinggi malu untuk tidak beratur.



Para pemandu yang memotong barisan semasa sesak adalah mereka yang TAK beradab.  Mereka yang berbuat begini adalah dari kalangan mereka yang rendah budayanya.  Orang-orang yang beradab@berbudaya tinggi malu untuk memotong barisan yang sedang beratur.  Saya selalu takrifkan mereka yang memotong barisan sebagai mereka yang TIDAK sekolah.  Orang yang benar-beanr bersekolah beradab, dan tahu peraturan.





2)  Meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab



Di banyak negara ada menteri letak jawatan apabila berlaku sesuatu musibah.  Menteri tersebut berbuat demikian sebagai tanda pertanggungjawabannya terhadap musibah yang telah berlaku. Menteri melakukannya sebagai tanda bahawa dia bertanggungjawab terhadap musibah tersebut (misalnya, pelanggaran keretapi).  



Di sesetengah negara para pemimpin politik bermati-matian bergayut kepada jawatannya walaupun perbuatan mereka sudahpun menjadi rahsia umum.  Orang yang tinggi budayanya mudah malu lalu melepaskan jawatan apabila dia sedar bahawa dia tidak becus.  Yang tak tahu malu ― mungkin kerana kulit mukanya lebih tebal daripada kulit babi ― terus bergayut.



Dua contoh di atas adalah contoh budaya.  Dari beratur sehingga menteri meletak jawatan adalah contoh cerita budaya. Oleh itu jangan fikir budaya itu hanya berjoget lambak.





Soalannya:



Siapakah yang menentukan bahawa kita ini satu bangsa yang berbudaya atau hanya gerombolan hantu raya?






No comments: