http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=36804
Anwar sanggup
mati di penjara kerana peribadi?
Oleh Subky
Latif
SAYA tidak
rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dia mencebur diri dalam politik.
Sebelumnya saya memang mendekatinya. Semasa dia jadi menteri, ada dua/tiga kali terserempak dengannya. Selepas bebas penjara dua–tiga kali juga
bertemunya sekalipun dia mengetuai pakatan yang parti saya PAS menjadi
sekutunya.
Saya terharu dia dipenjara lagi dan saya bangga dia sanggup dipenjara dan
sedia mati di penjara bagi membebaskan negara dan rakyat dari belenggu
penindasan dan cengkaman kezaliman sejak merdeka.
Jika dia
dikatakan berjuang untuk jadi perdana menteri, sedikit saja betulnya.
Tetapi jika dikata dia hendak jadi perdana menteri, ia adalah betul. Tetapi
mengapa untuk jadi perdana menteri sanggup dipenjara dan sedia mati di penjara
sedang harapan jadi perdana menteri belum tentu jadi?
Lalu ada yang mengata tinggalkanlah dia jadi laksana haiwan raksasa yang
dikatakan wujud zaman purba justeru perjuangannya demi peribadi saja, bagi yang
bersamanya hanya memikul liabiliti. Dari masa ke semasa seteru politik akan
menubi kelemahan yang dipaksa ke atasnya.
Jika dia hendak jadi Perdana Menteri biarkan dialah justeru perlembagaan
membenarkan setiap rakyat yang lahir di Malaysia berhak bercita-cita untuk
menjadi Perdana Menteri dan perlembagaan juga tidak melarang setiap laki-laki
ingin kahwin dengan Siti Nurhaliza sekalipun yang dapat mengahwininya hanya
seorang saja.
Saya mahu bersama Anwar bukan sekadar hendak menjadikan perdana menteri
saja tetapi dia mampu menggembleng tenaga dan pengaruh bagi meruntuhkan
belenggu kezaliman dan penindasan golongan lintah darat sejak merdeka.
Kata Almarhum Ustaz Fadzil Muhammad Noor, Umno sudah jadi kurafat dan ia
perlu diruntuhkan. Saya termakan dengan mantiknya, justeru kurafat boleh
membelenggu kepercayaan rakyat dan selagi ia tidak diruntuhkan, maka sekalian
terus menerus dibelenggu kurafat itu.
Kerana Umno yang menindas itu tidak dapat diruntuhkan, bukan saja sekalian
jadi pencarum kurafat, maka banyaklah keroskan berlaku di alam kita, pada
politik, ekonomi, sosial, akhlak, akidah dan lain-lain. Jika dibenarkan
mustakbirin ini berterusan, maka tiada jaminan masa depan negara dan generasi
terkemudian.
Banyak yang sudah kita laku dan korbankan bagi menghalang semua keruntuhan,
tetapi belumlah banyak yang dapat dibuat, bahkan belum nampak kezaliman dan
penindasan itu dapat dicegah.
Harapan meruntuhkan monopoli mustakbirin khurafat BN ini hampir dapat
dilakukan dengan kita dapat bersama Anwar Ibrahim. Anwar sendiri pun tidak dapat
buat apa-apa. Kita saja pun belum dapat buat apa-apa juga, tetapi dengan kita
bersama Anwar tembok besi Putrajaya itu sudah digoncang.
Ia sekadar belum diroboh tetapi sudah pernah digegar.
Hanya nasib belum memihak kepada perubahan. Kita telah saksikan, sekalipun
Anwar itu dikatakan tampil dengan agenda peribadi, tetapi kita sendiri rasakan,
tembok yang tidak dapat ditembusi lebih 50 tahun itu telah retak di sana sini
dengan paduan tenaga bersamanya sekalipun dia ada mimpi lain.
Saya boleh terima Anwar masuk Umno dulu kerana hendak jadi perdana menteri.
Dia hampir berjaya.
Jika ia semata-mata agenda peribadinya, dia setangga saja lagi, jika
sanggup menangguk kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad atas
semua yang dimahunya seperti yang Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd
Najib Abdul Razak buat, dia sudah dapat agenda peribadinya itu. Tetapi dia
dibuang ketika dia adalah pengerusi jawatankuasa kabinet antipenyelewengan.
Kerana dia mengutamakan membersih penyelewengan semua orang yang
bersamanya, maka mereka buang dia dulu sebelum dia buang mereka.
Dan jika agenda peribadi jadi keutamaannya, dia tahu kesaktian Umno,
bukanlah mudah untuk dileburkan.
Hanya melalui Umno saja kuasa dapa dicapai, itu jua fikiran khurafat, dia
tidak cari jalan untuk masuk semula Umno seperti yang banyak orang sangka. Dia
tubuh parti dan terus bersama pembangkang. Dia tahu selama lebih 50 tahun
pembangkang tidak dapat tumbangkan kerajaan.
Mengapa dia mahu kekal bersasma pembangkang bagi melakukan perubahan?
Kita tahu Anwar ditawarkan jawatan besar dalam agensi PBB sebaik lulus
universiti.
Dia tolak gaji empat angka dolar Amerika tetapi buka Yayasan Anda bergaji
kecil. Perjuangan peribadi jarang menolak tawaran lumayan.
Orang balik Mesir, Jordan dan Madinah tak tolak jawatan mufti dan penasihat
agama perdana menteri, tetapi Anwar pilih kerja yang bergaji kecil.
Banyak yang tempelak Anwar utamakan diri dan peribadi, tetapi dia buat
kerja yang memungkinkannya hidup di pejara lebih lama dari duduk dalam kabinet.
Orang yang berkokok itu buat apa?
Sedarkah tentang rasuah menjadi-jadi dan penyelewengan merata-rata, tapi
lebih senang terima jawatan bergaji besar sedang rakyat menderita dan ditindas?
Saya sedar politik Anwar hari ini tidak sama d engan politiknya sebelum
masuk politik itu. Pandangan Islam sudah berbeza. Tidak nampak ada persamaannya
dengan apa yang PAS mahu dulu dan akan datang.
Tetapi kita mesti faham bahawa suasana selepas 50 tahun lebih negara
dibawah politik zalim dan penindasan, tidak semua yang hendak buat ketika PAS
ditubuhkan dulu dapat dibuat.
Banyak yang tidak dapat dibina di samping ada banyak lagi yang dapat
dibuat.
Kehadiran Anwar dalam Pakatan Rakyat memberi harapan boleh menggantikan
kerajaan yang ada dengan kerajaan yang kita sertai bersama Anwar nanti.
Walaupun kerajaan yang Anwar pimpin itu tidak dapat memberi semua apa yang
PAS mahu, tetapi yang pertama, kita sama-sasma boleh runtuhkan mustakbirin.
Sekalipun Anwar tidak penuhi semua yang PAS mahu, tetapi dia tentu tidak
teruskan penindasan dan kezaliman seperti yang kerajaan musstakbirin buat
sekarang.
Perjanjian kita dengan Anwar bukanlah ditentukan hingga kiamat. Sekali pun
kita bercadang untuk bersama selama mungkin, tetapi kita boleh kaji dari masa
ke semasa.
Kita boleh bersama selagi kita mahu dan selagi Anwar mahu. Jika Anwar jadi
perdana menteri, belum tentu dia terima hudud yang PAS mahu.
Dia mungkin terima dam mungkin tawakuf, tetapi pada peringkat awal kerajaan
itu akan bekerja siang malam bagi membasmikan penyelewengan, membendung dan
maenghukum gejala rasuah, menegakkan keadilan dan paling utama memastikan negara
tidak muflis seperti Greece dan lain-lain.
Dan jika Anwar pula masa itu buat pula macam yang Umno, suatu yang malaikat
simpangkan dengan izin Allah, maka kita berfikir pula pada ketika itu. Yang
penting kurafat Umno sudah dibersihkan.
Kiranya Umno ada lagi masa itu, ia tentunya Umno lain. Kita akan hadapi
pula mana-mana pihak yang jadi macam Umno lagi.
Maka pada saya, ajaiblah kalau Anwar itu utamakan peribadi dan perjuangan
ummah dengan sanggup duduk lama dan berkali-kali dalam penjara, berpisah dari
muda hingga tua dengan isteri, anak- anak dan cucu.
Orang yang utamakan peribadi tidak sanggup tinggalkan cucu dan dalam usia
yang warga emas itu, sanggup bermalam sendirian semasa sakit dan demam.
Mana orang penting diri sanggup mati dalam penjara. Saya tidak sanggup.
Maka saya tidak boleh perkecilkan orang yang sanggup seperti Anwar. Saya bangga
dengannya, jika tiada lagi yang mahu kepadanya, biarlah saya seorang yang mahu
dan ingat kepadanya. Pengorbanannya uuk membebaskan negara dari penyelewengan
dan penindasan akan dikenang selama-lamanya.
(Nota: Jika saya ahli PAS maka saya adalah jebon dan seorang Anwarinas kerana menyiarkan tulisan ini. Apakah Subky juga sudah jadi jebon? Inilah budaya PAS sekarang)
No comments:
Post a Comment