Wednesday, January 11, 2012

"Suara Tujuh" bukannya dendang-dendang ... - S. Husin Ali

Petikan daripada antologi puisi “Suara Tujuh” kumpulan sajak-sajak tujuh penyair tanah air, Syarikat Wijaya, 32-D, Jalan Rahmat, Batu pahat, Johor, 1973.

Pertama:

PENENTUAN SIKAP BAGI PENULIS-PENULIS
Oleh: S. Husin Ali
28 Februari, 1969, Kuala Lumpur.

“Mereka yang menyuarakan bahawa penyajak-penyajak serta seniman-seniman lain tidak harus terlibat dalam soal-soal politik adalah orang-orang yang tidak berjejak di bumi nyata. Seseorang penyajak itu adalah anggota daripada masyarakat. Politik pula merupakan suatu aspek yang penting dalam hidup bermasyarakat. Soal kebebasan bagi penyajak untuk menyatakan segala isi hati dan isi fikirannya, soal makan dan kesihatan diri sendiri serta anak-isterinya, soal pelajaran anak-anaknya, dan soal masa depan bangsanya adalah soal politik. Adakah seseorang itu hendak mengatakan bahawa ia tidak mengena sedikit pun dengan soal-soal seperti ini? Hakikat bahawa ia anggota masyarakat, dan hakikat bahawa masyarakat penuh dengan segala macam pergolakan yang berkaitan dengan politik, dengan sendirinya menentukan bahawa politik akan melibatkan orang itu, tidak kira samada ia suka atau tidak.

Soalnya sekarang ialah: bagaimanakah seharusnya reaksi seseorang itu terhadap masalah-masalah politik? Ertinya, apakah sepatutnya corak pandangan serta tindakan seseorang itu dalam bidang politik? Apakah kesan yang diharapkan daripada pandangan serta tindakan itu?

Ada dua jenis gerak-kuasa dalam masyarakat yang sentiasa bertentangan itu. Satu yang mahu mengubah dengan meruntuhkan segala yang lapuk dan merugikan rakyat terbanyak serta menegakkan suatu sistem yang baru menguntungkan yang ramai. Satu lagi yang mahu mempertahankan keadaan yang ada, walaupun ia sudah lapuk dan menguntungkan hanya segelintir manusia. Di dalam sesebuah negeri yang masih pada peringkat separuh-feudal dan separuh-kolonial seperti Malaya ini unsur-unsur yang lapuk dan merugikan rakyat memang banyak.”

Kedua:

Sementara itu dalam slot Penyusun Suara Tujuh, Usman Awang – Ma’arof Sa’ad antara lain menyatakan:

“Sajak bukanlah jawaban kepada suatu masalah dan bukanlah penyelesaian terhadap suatu keadaan. Tetapi sikap seorang penyajak adalah penting dalam tugasnya sebagai wakil zamannya, wakil masyarakatnya, wakil massa yang secara positif dan aktif memberikan jawaban kepada tuntutan dan cabaran zamannya.”


Soalannya:


Apakah keadaannya telah berubah?

Hello, seniman dan budayawan masih lagi menjadi perhati yang setia?

No comments: