Monday, February 27, 2012

Syed Husin Ali: PENENTUAN SIKAP BAGI PENULIS-PENULIS

Sebahagian daripada mukadimah oleh Syed Husin Ali dalam antologi “Suara Tujuh” yang ditulis dalam tahun 1969 ― tepatnya pada 28hb. Februari, 1969.

Apakah yang telah berubah atau apakah yang TIDAK pernah berubah?

Marilah kita teliti.



“PENENTUAN SIKAP BAGI PENULIS-PENULIS


“SUARA TUJUH” ini bukannya dendang-dendangan sayu tentang rasa rindu, akan tetapi adalah pernyataan tegas isi hati dan fikiran tujuh orang penyajak progresif terhadap beberapa masalah yang sentiasa merundungi rakyat miskin khususnya. Nada pengucapannya berbeza, keindahan dalam penciptaannya tidak sama, dan kehalusan perasaan serta ketajaman fikiran tidak selaras. Walau bagaimanapun, kebanyakan sajak-sajak dalam kumpulan ini mempunyai tema dan message yang hampir sama, timbul daripada rasa tidak puashati dengan keadaan masyarakat yang pincang dan keinginan melihat pembelaan yang adil bagi rakyat. Membaca beberapa buah sajak di sini fikiran dan perasaan kita kadang-kadang perlahan dicuit-cuit dan kadang-kadang pula kuat digoncang-goncang oleh ketegasan sikap penyajak-penyajaknya. Sikap yang tegas ini sering bercorak politik.

Mereka yang menyuarakan bahawa penyajak-penyajak serta seniman-seniman lain tidak harus terlibat dalam soal-soal politik adalah orang-orang yang tidak berjejak di bumi nyata. Seseorang penyajak itu adalah anggota daripada masyarakat. Politik pula merupakan suatu aspek yang penting dalam hidup bermasyarakat. Soal kebebasan bagi penyajak untuk menyatakan segala isi hati dan isi fikirannya, soal makan dan kesihatan diri sendiri serta anak-isterinya, soal pelajaran anak-anaknya, dan soal masa depan bangsanya adalah soal politik. Adakah seseorang itu hendak mengatakan bahawa ia tidak kena mengena sedikit pun dengan soalan-soalan seperti ini? Hakikat bahawa ia anggota masyarakat, dan hakikat masyarakat penuh dengan segala macam pergolakan yang berkaitan politik, dengan sendirinya menentukan bahawa politik akan melibatkan orang itu, tidak kira samada ia suka atau tidak.

Soalnya sekarang ialah: bagaimanakah seharusnya reaksi seseorang itu terhadap masalah-masalah politik? Ertinya, apakah sepatutnya corak pandangan serta tindakan seseorang itu dalam bidang politik? Apakah kesan yang diharapkan daripada pandangan serta tindakan itu?

Ada dua jenis gerak-kuasa dalam masyarakat yang sentiasa bertentangan. Satu yang mahu mengubah dengan meruntuhkan segala yang lapuk dan merugikan rakyat terbanyak serta menegakkan suatu sistem yang baru yang menguntungkan yng ramai. Satu lagi yang mahu mempertahankan keadaan yang ada, walaupun ia sudah lapuk dan menguntungkan segelintir manusia. Di dalam sesebuah negeri yang masih di peringkat separuh-feudal dan separuh-kolonial seperti Malaya ini unsur-unsur yang lapuk dan merugikan rakyat memang banyak.

Akan timbul beberapa pertanyaan. Adakah kita mahu kuasa serta pengaruh penjajahan berterusan sehingga musnah kedaulatan negara dan keperibadian bangsa? Adakah kita mahu kuasa serta pengaruh feudal terus mencengkam rakyat sehingga meluas dan merebak jiwa hamba, semangat menyerah dan perasaan takut? Adakah kita mahu penindasan ekonomi bertambah besar sehingga rakyat menderita? Adakah kita terus mahu nilai-nilai serta kepercayaan-kepercayaan karut yang menahan kemajuan terus mengongkong hidup rakyat? Jawaban seseorang kepada soalan ini akan mencerminkan sikap hidupnya, samada ia progresif, iaitu mahukan kemajuan, atau reaksioner, iaitu mahu menyekat kemajuan. Kita sudah tentu mahukan penulis-penulis bersikap progresif.”

No comments: