Tuesday, February 28, 2012

Bahagian kedua " Penentuan sikap bagi penulis-penulis" oleh Syed Husin Ali

Bahagian kedua “PENENTUAN SIKAP BAGI PENULIS-PENULIS” Syed Husin Ali


Mempunyai sikap progresif saja tidak mencukupi. Sikap harus terjelma dalam amalan setiap masa. Penulis-penulis perlu menjadi sebahagian daripada gerakan untuk meruntuhkan unsur-unsur penjajahan, feudal, penindasan dan kekarutan, untuk menegakkan suatu masyarakat baru. Ini bukan gerakan mahu menampal-nampal yang koyak, atau menyulam-nyulam yang buruk, akan tetapi mahu terus menghumbankan yang sudah tidak berguna lagi. Ini satu revolusi. Ia memerlukan tindakan-tindakan yang berpandukan kepada sikap hidup atau ideologi progresif. Ketikanya sudah sampai bagi setiap penulis memeriksa diri sendiri, menentukan apakah sikap hidup dan mana satu ideoloji yang mereka pilih. Malangnya(lah?) bagi mereka dan masyarakat mereka sekiranya mereka memilih sikap hidup dan ideoloji yang mempunyai kesan menyekat perubahan dan kemajuan yang besar.


Sering orang-orang yang mendabek dada sebagai penulis ataupun intelek menegaskan: kami tidak perlu memilih yang ini ataupun yang itu, kami perlu berkecuali. Perkecualian pada asasnya adalah suatu omong kosong saja. Pada satu tingkat ia sebenarnya bererti mengasingkan diri dari masyarakat, lari daripada kenyataan dan cuba mencari perlindungan di balik tabir-tabir perasaan subjektif yang semakin hari semakin tinggi dan tebal ditegakkan. Ini tidak mungkin lama berlakunya. Kalaupun berlaku lama, maka penulis itu akan begitu tersisih daripada masyarakat sehingga ia tidak dapat membicarakan kenyataan dalam masyarakat dan terpaksa membicarakan hanya perasaan diri sendiri. Timbulnya sajak kabur, sastra kaku, adalah berpunca dari sini.


Pada satu tingkat yang lain pula perkecualian bermakna membenarkan...”


(Hari ini genaplah 43 tahun usia tulisan di atas.)

No comments: