Saturday, March 3, 2012

Membaca kata-kata pemimpin

Sumber: http://malaysiakini.com/news/190928


"Confirm satu kerusi. Pokok Sena. Insya-Allah, (saya pertahan kerusi) Pokok Sena kalau diizinkan oleh PAS Pusat untuk bertanding di situ.

"Saya nak bertanding parlimen, macam mana saya nak jadi MB (menteri besar)," katanya berseloroh.

Mahfuz mengulas desas-desus kononya beliau akan bertanding kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang bagi menggantikan Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri.

Azizan kini berdepan dengan 'kemelut' dalam pentadbirannya susulan dua exco kanan - Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh - enggan mengangkat sumpah bagi menyambung semula tugas sebagai exco.

Bercakap pada wawancara dengan Malaysiakini, Mahfuz berkata beliau tidak ada niat untuk bertanding kerusi DUN walaupun ada cadangan di kawasannya supaya beliau berbuat demikian.

"Kawan-kawan saya minta bertanding DUN tapi saya tolak... Saya tidak bersedia untuk bertanding DUN. Buat apa jadi MB, baik jadi PM. MB duduk bawah PM," katanya sambil ketawa besar.


2.

Ada pelbagai cara untuk menangkis soalan spekulasi atau cakap-cakap orang ramai, termasuk sembang-sembangnya politik kedai kopi. Salah satu kaedahnya ialah menganggapi soalan itu sebagai lawak jenaka (lelucon, degalan) semata-mata. Dalam konteks ini, kita masih terbayang kata-kata Mat Sabu, sekiranya pihak Oposisi sekarang ini mengambilalih pemerintahan, “ Aku nak minta jadi Menteri Dalam Negeri!! Ha..ha...biar depa yang dok tangkap orang guna ISA rasa pula.” Kita tahu itu hanyalah cara Mat Sabu bergurau dalam ceramahnya. Sebenarnya kita pun tahu bahawa Mat Sabu adalah salah seorang yang paling kuat menentang kezaliman ISAnya Umno. Petikan kata-kata MP Pokok Sena di atas, termasuklah dalam kategori ini: Bahawa segala spekulasi itu hanyalah satu permainan yang tak perlu diberikan perhatian sama sekali.

Sebenarnya ada lagi ungkapan-ungkapan politik, oleh orang-orang politik yang sukar kita lupakan. Salah satu lagi contoh ― yang kerap dipetik orang ialah harapan al-marhum Ustaz Fadzil Nor agar dipanjangkan usia pemimpin tertentu supaya ‘dianya’ berkesempatan dan dapat melihat segala kerosakan yang dilakukannya selama menjadi pemimpin besar. Demikianlah pedihnya mantan pemimpin besar Pas itu terhadap kepimpinan yang terpesong jauh. Sementara itu Musa Hitam, sebelum berundur secara rasmi dari tampuk pemerintahan, juga tidak lupa berpesan, “Jagalah Umno baik-baik!” Orang-orang Umno yang peka (tanpa ‘k) tak mungkin dapat melupakan pesanan terakhir penuh bermakan ini. Sesungguhnya, bak kata pepatah jauhari jugalah yang mengenal manikam.

Ramai juga teman yang memetik tingkah laku seorang pejuang Melayu Al-akidah (yang sekarang ini kerjanya ― antara lain meraban, di mana saja di seluruh negara tentang betapa buruknya perangai DSAI) bahawa jika Pakatan Rakyat menang pilihan raya nanti, maka dialah yang bakal menjadi CEOnya. Anehnya yang mendengar dan melihatnya (‘nya’ bermaksud telatah dan bahasa badan) gelagat pejuang Melayu-Al-akidah yang ulung ini, yakin bahawa dia tidak berseloroh sepertimana tidak berselorohnya Musa Hitam dan Ustaz Fadzil dalam meluahkan pandangan masing-masing. Ya, orang ini benar-benar serius mahu menjadi manusia nombor satu dalam negeri.

Maka apabila seorang CEO itu mengibaratkan bahawa segala masalah dalam kepimpinannya itu sekadar perbezaan selera para generalnya yang memesan mi goreng, pasembor, roti canai atau mungkin mi rebus, apakah yang dapat kita fahami, tanggapi dan pelajari daripada ungkapan seperti ini?


3.


Benarlah Sang Pemimpin itu amat berat tanggungjawabnya. Kata-katanya diperhatikan, diteliti dan biasanya menjadi pedoman, petunjuk dan tauladan kepada segala yang dipimpinnya. Selagi Sang Pemimpin itu masih dikira sebagai orang yang boleh diandalkan, selagi itulah kata-katanya diperhatikan oleh para pengikutnya dan juga oleh musuhnya. Namun apabila seseorang pemimpin itu tidak lagi dihormati, dikira sudah tidak lagi masuk buku, maka kata-katanya pun dianggap sebagai rabannya orang nyanyuk atau yang sedang tidur-sambil-berjalan, sleep walking.

Apabila ada pepatah yang mengingatkan kita bahawa action speaks louder than words, apakah yang boleh dijadikan ikhtibarnya?

Apabila tingkah laku, perbuatan Sang Pemimpin itu dilihat dan ditafsirkan oleh anak buahnya sebagai pilih kasih, mengandungi agenda lain atau mahu memenangi musuh, apakah mudharat dan musibah yang sedang menanti jemaah?

No comments: