Sibuk politik lupa seni budaya
ABD SHUKUR HARUN
shukurharun@yahoo.com
Di tengah kesibukan dunia politilk, terutama menjelang PRU Ke-13, barangkali ramai orang politik lupa akan kepentingan kegiatan seni budaya dalam kehidupan ini.
Pada anggapan umum, biasanya, melihat kegiatan seni budaya ini adalah kegiatan yang tidak serius kerana ia lebih menjurus kepada hiburan. Tanggapan ini sewajarnya diperbetulkan, justru ia boleh menjadi kegiatan berfaedah, misalnya, kegiatan seni yang berunsur Islam – seperti penulisan, teater, lagu-lagu nasyid, puisi dilatari muzik dan sebagainya.
Kegiatan seni yang berfaedah ini tentu saja mampu menghantar mesej dakwah, pesan-pesan keTuhanan, pembinaan akhlak, kasih saying keluarga dan sebagainya.
Sebab itu, Dinsaman, seorang penyair dan tokoh teater tersohor, seringkali mengemukakan pendapat bahawa dalam kesibukan orang politik dengan kegiatan mereka perlulah juga mereka memberi fokus kepada kegiatan budaya, atau jangan hanya bermuim.
Dalam hubungan ini, pemikir budaya yang mengetuai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) itu sempat menulis buku ‘Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya’ – diterbitkan oleh PAKSI sendiri. Buku Dinsman ini adalah kumpulan rencananya yang pernah disiarkan oleh Harakah dalam kolumnya ‘Wacana Budaya’. Buku yang berharga RM17 ini, antara lain menggesa negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat – di samping sibuk dengan aktiviti politik – supaya memberikan perhatian juga kepada kegiatan seni budaya.
Dinsman berterimakasih terhadap respons Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim terhadap ucapannya selaku Presiden PAKSI di Konvensyen Penulis Selangor Jun tahun lalu. Dalam ucapannya itu, Dinsman menyatakan kekeceawannya kerana selepas menang PRU Ke-12, hampir-hampir tidak ada fokus Pakatan Rakyat terhadap kegiatan seni budaya.
Tanpa diduga, katanya, Menteri Besar Selangor itu menyambut kritikan itu – bersama kritikan penulis yang lain – dengan mengemukakan tawaran dan dana khas untuk penulis dan penggiat seni budaya di Selangor sebanyak RM2.5 juta. Baginya ini suatu gambaran keperihatinan Tan Sri Abd Khalid terhadap kegiatan penulis dan penggiat seni yang lain di Selangor.
Bahagian kedua buku Dinsman itu cuba membetulkan salah faham mengenai seni budaya. Beliau mencatatatkan perbincangan dalam pertemuan PAKSI di Shah Alam Jun 2008 yang berkisar kepada persoalan kegiatan seni budaya.
Beliau berpendapat kita sangat kurang kegiatan seni budaya yang sihat. Baginya, ini suatu fenomena yang tidak sihat bagi masyarakat, khasnya golongan muda. Maka itu, Dinsman berharap pemimpin politik – khanya dari Pakatan Rakyat – jangan pandang kegiatan eni budaya ini hanya dari sudut ‘untuk dipergunakan’ bagi kepentingan parti politik saja.
Saya bersetuju dengan pandangannya bahawa para karyawan itu hendaklah dilihat sebagai orang yang bergiat di bidang mereka, yang turut serta menyumbang kepada pembangunan tamadun bangsa.
Memanglah tidak sempurna pembinaan sesuatu tamadun manusia tanpa disertai dengan pembangunan seni dan budaya. Beliau mengambil contoh bagaimana penyair agung Inggeris, William Shakespeare yang banyak menghasilkan karya drama dan puisi di mana tamadun Inggeris berbangga dengannya.
Semua ini, bagi Disnman, ialah kerana karya pengarang Inggeris itu adalah hasil seni tetater yang amat bernilai yang menjadi salah satu puncak dalam pencapaian sebuah tamadun besar dunia.
Berdasarkan kewajaran itulah Dinsman berharap kerajaan Pakatan Rakyat, khasnya yang mempunyai kemampuan kewangan seperti Kerajaan Negeri Selangor, dapat memberi peruntukan dana yang mencukupi bagi membolehkan aktivis seni membanyakkan aktiviti seni budaya.
Saya bersetuju dengan pandangan Dinsman bahawa pihak tertentu memang perlu bertindak tegas terhadap persembahan hiburan melulu yang dianjurkan oleh pihak tertentu kerana ia kegiatan seni yang berunsur negatif. Namun, di samping itu, katanya, mengapa tidak pula mahu mengambil inisiatif mengenengahkan aktivti seni yang tidak negatif sebagai alternatifnya.
Di inilah sepatutnya negeri yang diperintah oleh Pakatam Rakyat bukan saja menggalakkan kegiatan seni budaya yang bermoral tinggi, tetapi juga memberi sokongan kepada penggiat seni alternatif ini. Sebenarnya, kini sudah tampil ramai penggiat seni alternatif, umpamanya nyanyian dan puisi berunsur dakwah, persembahan teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (karya dan arahan Dinsman sendiri) yang dipadankan dari kisah sahabat Nabi s.a.w., Ka’ab bin Malik yang enggan berjihad bersama Rasulullah s.a.w. dan para sahabat lain dalam Perang Tabuk.
Peristiwa ini sangat masyhur dalam Seerah Nabi s.a.w., iaitu tindakan Nabi s.a.w. memulaukan Ka’ab kerana kengganannya berjihad. Bagi saya ini suatu contoh sebuah karya seni yang segar, berunsur dakwah dan telah mendapat respons positif ketika dipentaskan di merata tempat, termasuk di beberapa buah masjid dan surau di negara ini.
Di bidang puisi dan nyanyian bernuansa Islam di tanah air, tidak kurang ramainya penggiat seni. Umpamanya Ito dan Blues Gengnya dengan lagu ketuhanannya, Kumpulan Muaz, lagu-lagu Akhil Khayy, puisi Amni Jagat, An-Bakri dan banyak lagi kumpulan muzik dakwah dan berunsur Islam dan kemanusiaan.
Dalam bukunya itu, Dinsman sekali lagi menyebut mengenai penulis terkenal, Almarhum Azizi Abdullah di mana beliau sebagai Presiden PAKSI mencadangkan supaya kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat memberikan anugerah ‘Sasterawan Rakyat’ kepada Azizi dengan iringan ganjaran wang sewajarnya kepada keluarga Almarhum. Di samping itu, perpustakaan awam yang ada di Kulim – tempat kelahiran Azizi – dijadikan ‘Perpustakaan Azizi Abdullah’ ataupun dibina perpustakaan baru dengan diberi nama Almarhum.
Buku Dinsman ini mengemukakan beberapa cadangan dalam usaha memartabatkan seni budaya dan penggiat seni. Memanglah kegiatan seni budaya ini adalah bidang yang sangat sensitif, akan segera menyentuh soal hukum halal haram. Namun dengan keluasan Islam yang syumul, adil dan anjal, kiranya kegiatan seni budaya yang bermoral tinggi masih ada tempatnya.
Saya percaya Dinsman tidak keseorangan dalam hal ini dan penggiat politik hendaknya tidak terlepas pandang dalam perkara ini.
No comments:
Post a Comment