Kenyataan Media TERAS
5hb Mac 2012
TERAS HARAP KEPIMPINAN KERAJAAN KEDAH TUMPU KEPADA URUSKELOLA NEGERI DENGAN CEMERLANG.
TERAS Pengupyaaan Melayu (TERAS) mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang berjaya keluar dari kemelut kepimpinan yang telah berakhir dengan permuafakatan positif dan baik melalui keputusan kolektif dibawah kepimpinan Datuk Seri Hadi Awang .
Khilaf kepimpinan adalah suatu yang lazim dalam mana-mana organisasi . Hanya kematangan dan hati yang ikhlas untuk bertanggungjawab langsung kepada Allah ketika menerajui organisasi dan kerajaan negeri , akan menelurkan kejernihan yang cemerlang.
Episod kekhilafan antara pemimpin yang berakhir itu seharusnya menambahkan tekad dan iltizam untuk kembali memperkukuhkan saf dengan lebih ampuh dan utuh .
Sesungguhnya rakyat akan terus memerhati gelagat kepimpinan kerajaan mana-mana gabungan parti politik . Tidak seharusnya diperkecilkan atau meremehkan arus rakyat yang akan sentiasa siap membuat perubahan apabila keyakinan dan kepercayaan rakyat terhakis.
Lebih berat lagi kepimpinan seharusnya lebih rasa takut dan gerun dengan persoalan yang bakal dilontarkan bilamana berhadapan dengan Allah S.W.T nanti ketikamana amanah dikhianati.
Inilah rumusan yang sepatutnya dijadi ‘ibrah yang penting untuk semua yang terlibat dengan kepimpinan agar sentiasa mawas dan sedar diri.
TERAS sangat mengharapkan disaat rakyat meletakkan keyakinan bahawa sudah tiba masanya mandat memerintah diserahkan kepada mereka yang berjiwa Islam , kerja keras untuk menunjukkan hasil bahawa memang tawaran Islam jauh lebih ulung berbanding kerajaan yang berteraskan dasar asobiyyah dan sekularisme , hendaklah dizahirkan.
Kini seluruh tenaga harus kembali kepada menentukan mandat rakyat disempurnakan dan amanah Allah ditunaikan.
Tolak mereka yang cuba meraih kesempatan untuk menangguk diair yang keruh , semua aktivis Islam seharusnya kembali bermuhasabah dan siap mentarbiyyah diri dengan lebih intensif dengan kesedaran tinggi bahawa mehnah dan fitnah dalam perjuangan tidak mengenal semada seseorang itu menjadi aktor senior mahpun aktivis muda.
TERAS menyeru semua yang terlibat dalam episod kekhilafahan dikalangan kepimpinan negeri Kedah bersedia meletak ketepi segala persengketaan dan kembali mengukuh khittah perjuangan dengan istiqamah.
Cukup rakyat telah meneliti kepincangan pemerintah yang sudah terlajak tua memerintah Negara ini.
Jika rakyat dikecewakan lagi dengan retorika perjuangan atas nama Islam tetapi gagal mencari jalan persepakatan , tidak ada yang seharus dipersalahkan selain diri sendiri.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
No comments:
Post a Comment