Sumber:
Blog‘Sampah Seni’ milik Rahmat Harun (tanpa gambar-gambarnya)
Monday, April 23, 2012
Ia malam syahdu,
sebuah keraian, pastilah yang sederhana saja. Selesai Isyak, jemaah Markaz
Tarbiyah Madrasah Surau Banda Dalam dijamu dalam kenduri masakan minang yang
cukup menyelerakan. Walaupun aku tak dapat makan kali ini, tetapi rasa enak
yang telah pernah mendarah daging itu masih tersemat dalam ingatan. Tetamu yang
diraikan masih belum tiba, jamuan diteruskan.
Pada penghujung
jamuan, kelihatan sosok tubuh yang diraikan itu sampai bersama isterinya.
Itulah dia A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara, seorang Sasterawan Rakyat,
seorang Datuk, yang sudah punya cucu. 9 April yang lalu usia emasnya menjangkau
77 tahun. Maka malam itu merupakan salah satu sambutan ulang tahun kelahiran
Pak Samad yang ke 77 tahun. Sebelumnya, di Kinokuniya, KLCC, Pak Samad juga
dirai oleh Institut Terjemahan Negara. Seorang tokoh, sebesar Pak Samad, ibarat
sepohon cengal di hutan hujan, tegap cekal, luas dahannya memayungi rimba,
berakar memasak ke bumi, hidupnya adalah penghidupan untuk hidupan lain juga
dalam sebuah perjalanan fana, suatu jalinan hubungan kitaran alam.
Pada malam cukup
berbahagia itu, sekelompok kecil manusia mengadakan acara sastera gaya sekolah
lama (old school), dengan para penyair dari sekolah lama juga, membariskan
bacaan-bacaan puisi antaranya dari penyair Dinsman, Siti Zainon Ismail, HMS
Bakar. Ia anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan Madrasah Kampung Bandar
Dalam.
“Kita adalah manusia elit malam ini,” begitu
ketar suara pengacara majlis, Ben Ali berseloroh. Gementarnya itu memunculkan
kelucuan yang mengundang tawa. Ben Ali, bersama Solleh merupakan antara anak
muda yang cergas menggerakkan kegiatan Madrasah Seni, sebuah usaha dan kerja
sama Paksi dan Madrasah Kg. Bandar Dalam.
Acara bermula dengan
ucapan alu-aluan Pengetua Madrasah, Haji Ishak Surin, bekas pejuang kemerdekaan
dan mangsa tahanan ISA. Pak Ishak yang kini bergiat dalam parti PAS, mengimbas
perkenalannya dengan “Bung Samad, yang bermula semenjak dekad 50an lagi.” Saat
itu, Pak Ishak merupakan anggota jawatankuasa Parti Rakyat Malaya, pimpinan Dr.
Burhanudin Al Helmy. Manakala Pak Samad pula bekerja dengan akhbar Fikiran
Rakyat, kelolaan Ahmad Boestamam, salah seorang pimpinan PRM. Justeru, atas
usaha dua orang kenalan lama ini, maka berbungalah pula Madrasah Seni, dengan
kegiatan-kegiatan seninya yang Islami.
Tujuh petala langit
dan bumi, luas nikmat kurnia Yang Maha Esa, maka di usia 77 tahun ini, kita
merasa bertuah kerana telah menemukan seorang imam demokrasi yang sedang
memimpin kita tentang erti keinsanan dalam menghormati hak-hak manusia.
Begitulah kira-kiranya intipati ucapan kata-kata Pak Kasim yang berbara jiwanya
itu, “Pak Samad orang yang terpenting, paling ke hadapan dalam perjuangan
sekarang ini.”
Pak Samad, seorang
pendita tua yang menerangi kita dengan cahaya pelita hatinya yang murni dan
luhur itu. Kita sedang dipimpinnya menempuh suatu zaman gelap pemerintahan negara
yang penuh rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa, kemunafikan. Bilamana
budi dihitung dengan duit dan keuntungan undi. Bilamana keadilan, mahkamah dan
undang-undang hanya memenangkan yang berharta dan berkuasa. Bilamana senjata,
undang-undang dan penjara bukan untuk melindungi tetapi untuk memeras ugut
rakyat. Amanah duit zakat, anak-anak yatim, fakir miskin yang pecah. Senarai
panjang skandal-skandal rasuah, kerugian, pembaziran berjumlah trliunan ringgit
– beribu-ribu-ribu bilion. Hati kita sedang dicerahkan daripada berbagai
kezaliman yang berleluasa, termasuklah menipu untuk menang pilihanraya. Hati
kita sedang dibersihkan – agar mata cerah melihat kepura-puraan dan
kemunafikan, tahu membezakan yang salah dan yang benar. Hati kita sedang cuba membuang
kekotoran itu. Kekotoran juga sedang bertahan daripada dibersihkan. Kita sedang
dalam Pertarungan. Hukum alam menyatakan tak ada yang kekal. Yang kekal
hanyalah perubahan. 54 tahun kekuasaan telah menjadikan mereka sombong dan
angkuh. Mereka tamak dan rakus, lautan luas hendak dihirupnya kering,
gunung-ganang hendak dimakannya jadi rata. Makan, memang tidak akan pernah
kenyang. Rasa haus, lapar dan selera perut menghidupkan kita untuk keluar
mencari makan, tetapi bukan itu tujuan hidup kita, sehingga akhirnya makanan
memakan diri. Jika rasa ini liar, ia harus dijinakkan, jika gelap ia mesti
dicerahkan.
Ya, pada malam yang
sederhana itu, Pak Samad mengimbau kehidupan masa lalunya, memberi kami
pencerahan. Kami yang ada di sana, rasanya amat bertuah dapat mendengar
beberapa anekdot kisah kehidupannya yang cukup peribadi itu. Tentang anekdot
tersebut, rasanya agak terlalu peribadi untuk dicatatkan di sini.
Kesimpulannya, ia kisah perjalanan seorang Pak Samad sebagai insan mencari
keredhaan, memenuhi isi makna kewujudan, menerima, memberi dan saling berkongsi
nikmat kehidupannya. Insan yang melalui zaman sebelum Perang Dunia Kedua, zaman
penjajahan Jepun, kembali dijajah Inggeris, merdeka. Insan yang menyaksikan
peta kebudayaan nusantara terbelah-pecah akibat penjajahan. Insan yang
menyaksikan tumbuh pesat dan merosotnya Singapura, sebagai kota cendekiawan
serantau. Insan yang menyaksikan tertubuhnya Malaysia. Insan yang bernafas
dibawah pemerintahan 5 orang Perdana Menteri.
Sepanjang 77 tahun
perjalanan itu, seperti yang diakui sendiri Pak Samad, dirinya pernah
“melakukan kecurangan-kecurangan dalam hidup.” Kecurangan yang diusahakan
semampu kederat, selagi hayat untuk ditebus kembali, dengan amal kebaikan,
menyesali kesalahan masa lalu. Umpama menghirup nafas dalam segar embun pagi,
setelah malam panjang yang menyesakkan. Di sini, kita bertemu dengan sosok
keinsanan sejati, yang berani melihat dirinya dalam kesempurnaan serta
kecacatan kewujudannya, kemanusiaan yang cuba dilahirkannya dengan kesederhanaan
tindakan dan amalan yang sebenarnya.
Unggun api kini telah
marak nyalanya, Bapak, gemerlap kemilau cahayamu itu menusuk ke kalbuku, kami
siap, berdiri dipimpinmu, pada hari itu, 28 April yang dinanti. “Bapak, kami
juga tidak mahu mati sia-sia!”
No comments:
Post a Comment