‘Kurang hormat kepada umat Islam’
(TOPENG lama, bentuk terbaru)
Ada ‘hal-hal tertentu’ yang boleh ditukar ‘status’nya, sebaik saja ― dan apabila Sang Penguasa kita itu campur tangan atau pun TIDAK campur tangan. Ambil JUDI sebagai contoh. Di mata Sang Penguasa kita, JUDI itu boleh halal atau pun haram walaupun Islam terang-terang menyatakan itu adalah pekerjaan setan. Ambillah judi Empat Nombor Ekor (ENE) yang popular di kampung-kampung. Di mata Sang Penguasa, di sisi undang-undang, ENE yang dijual di kampung-kampung secara sembunyi-sembunyi dan menyorok-nyorok seperti kanak-kanak bermain aci lut, adalah perbuatan yang haram lagi bejat. Ertinya sampai bila-bila pun ENE kelas marhaen ini haram. (Ini bukanlah bermakna bahawa kita berkempen menyokong penghalalannya). Sebabnya mudah saja. ENE yang dijual oleh X itu menjadi haram kerana tidak diberikan LESEN oleh Sang Penguasa. Ini berbeza dengan pelbagai bentuk JUDI tajaan para cukong besar yang berselerak di seluruh negara (kecuali Kelantan). Judi kategori ini halal kerana Sang Penguasa mendikrikan bahawa ia halal dan Sang Penguasa mendapat keuntungannya.
Bercakap perihal haram-halal ini, seluruh rakyat negara ini tahu bahawasanya arak dan babi itu termasuk ke dalam kategori pangan (makan minum) yang haram di sisi orang-orang Islam. Ertinya mereka yang taat kepada suruhan agama Islamnya akan menjauhi arak dan babi. Orang-orang Melayu yang taat ini tidak mereguk arak atau pun mengunyah daging babi salai. Pada pengamatan penulis (yang mungkin tidak tepat) ― umumnya orang-orang Melayu, marah-marah apabila dituduh memakan babi tapi kurang terguris pabila dikaitkan dengan arak. Jika tepat, apakah sebabnya? Apakah ini disebabkan oleh cara ‘memakannya’? Mungkin yang satunya hanya direguk sementara yang satu lagi itu perlu dikunyah lumat-lumat sebelum ditelan. Mungkinkah begitu?
Sebagai perbandingan lanjut, sila perhatikan dua lagi contoh berikut ini. Pertamanya pendekatan Sang Penguasa itu terhadap isu dadah. Contoh yang kedua ialah pendekatan kosmetik Sang Penguasa terhadap rasuah. Dadah itu dikatakan ‘najis’ sementara rasuah pula dikelaskan sebagai perbuatan yang salah (baca: HARAM) di sisi undang-undang. Dan kita jarang melihat perang besar-besaran terhadap rasuah ― perang psikologi seperti menjijikkannya dan membejatkannya yang diulang-ulang. Ya, ramai yang yakin bahawa tindakan terhadap rasuah itu tak ubah seperti memakai bedak dan gincu sebelum ke pasar malam.
Berlainan pula dengan dadah. Dadah diperangi habis-habisan oleh segala aparat, mesin dan jentera Sang Penguasa kerana ia adalah musuh yang bakal memusnahkan negara ini. Rasional narkotik@dadah itu dilabel sebagai ‘najis’ ialah untuk menanamkan rasa jijik yang amat sangat segala manusia terhadapnya. Ertinya, segala manusia yang berhajat membaham dadah akan terasa bahawa mereka betul-betul sedang menyuapkan najis ke dalam mulutnya. Begitulah kononnya hujah Sang Penguasa tentang perang psikologinya melawan narkotik ini.
Nah, sekarang kita ada satu soalan cepu EMAS: Adakah orang-orang Melayu yang menelan rasuah berbilion-bilion itu terasa ― seperti, seolah-olah atau seakan-akan mereka sedang mengunyah khinzir salai setiap kali mereka membedal rasuah berbilion-bilion itu? Atau itu hanyalah sekadar meminum air suam setelah menghabiskan sepinggan mi Abu di Bulatan Teluk Wanjah?
2.
Kita bentangkan senario haram-halal di atas sambil merujuk reaksi ― sesetengah klon Melayu yang katanya Islam itu ― terhadap Bersih 3.0. Kita cuba bandingkan haram-halalnya babi, arak dan JUGA RASUAH dan cara membahamnya dan tahap jijik-mualnya sesetengah Melayu itu terhadap soal-soal arak, babi dan MAKAN RASUAH itu. Kita cuba membayangkan taraf jijikmualnya minda sesetengah Melayu itu terhadap persoalan-persoalan seperti ini apabila ditinjau dari sudut agama dan juga budaya mereka. Akhirnya kita ingin mengajak mereka ― sesetengah Melayu ini berfikir tentang soalan ini:
Apakah hukumnya MENIPU DALAM PILIHAN RAYA UNTUK TERUS MENJADI SANG PENGUASA ITU?
Adakah berat-ringannya timbangan dosa MENIPU UNTUK MENJADI SANG PENGUASA itu sama seperti memakan babi, reguk arak, buang anak oleh orang Melayu (baca: Islam)?
Apakah seperti dan macam makan babi, makan rasuah, reguk arak? Bagi kita soalan ini menjadi sangat menarik apabila melihat bagaimana seorang rakyat negara ini yang sangat berani ― yang bernama Ambiga itu ― dilabel, dituduh bersalah kerana mendesak supaya pilihan raya kita di negara ini bebas, adil-saksama dan bersih.
Setelah tuan baca petikan berita di bawah ini, apakah kita tidak boleh bertanya:
‘Where is our sense of being so-called Islamic’ itu?
Betapa sedihnya, sekali lagi agama (Islam) itu dijadikan sandera.
Sumber berita: Sumber: MalaysianInsider
Wira Perkasa beri amaran umat Islam jauhi Bersih 3.0
Oleh Clara Chooi
April 06, 2012
KUALA LUMPUR, 6 April — Wira Perkasa telah memberi amaran kepada umat Islam agar tidak menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya yang bebas dan adil 28 April ini kerana ia diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenavasan, yang menurut mereka anti-Islam dan “pengkhianat” bangsa.
Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris berkata kepada The Malaysian Insider, bekas Presiden Majlis Peguam itu telah terlalu jauh menyimpang dari perjuangannya, menambah beliau “sekali lagi” menunjukkan tindakan kurang hormat kepada umat Islam dengan mengadakan protes kali ini.
No comments:
Post a Comment