Saturday, April 7, 2012

Pasar Raya Permaisuri

Mat Jendul sedang mencakar-cakar entrinya yang terbaru:


Pasar Raya Permaisuri

Cukong Permaisuri: Kita menghadapi sedikit masalah.

(Cukong membetulkan songkok hitamnya supaya lebih kejap walaupun letak duduk songkok bertuah itu telahpun cukup kejap. Tak ada yang memberikan respons. Yang hadir adalah Ketua Bahagian Lapah Melapah, Pendaftar dan Juruwang. Beberapa saat berlalu...)

Mayatnya yang lama dipesan itu, dan telahpun lupus tarikhnya. Apa yang perlu kita buat dengan mayat itu? Bakar? Timbus? Buang ke Selat Melaka? Atau panggil saja majlis fatwa untuk mendapat petunjuk?

Juruwang menghitung-hitung lagi, menghitung semula kos yang Pasar Raya telah belanjakan untuk memperolehi mayatnya.

Ketua Lapah Melapah sedang memikirkan bagaimana mahu mulakan kuliah lapah melapah tanpa mayat. Tuan Pendaftar memikirkan apakah jadual pengambilan calon-calon Juru Lapah kumpulan pertama ini tidak tergelincir dan dapat dilaksanakan mengikut jadual asalnya. Pasar Raya Permaisuri adalah projek terbesar yang menjadi idaman utama Cukong Pasar Raya Permaisuri.

Sementara itu Feedlot sudahpun membariskan ibu-ibu lembu termulusnya untuk disembelih. Bagaimana mahu menyembelih jika rumah sembelihannya belum siap dan para Juru Lapahnya belum lagi dilatih?

Fakulti terbaru belum juga siap-siap. Dana yang ada belum mencukupi untuk mencapai cita-citanya membina sebuah Pasar Raya terbaru. Mereka pun tahu bahawa selama ini, hasil Pasar Raya tidaklah mencukupi untuk menampung kos pembinaan Pasar Raya yang serba lengkap. Kutty, sahabat lamanya berjanji mencari kontraktor terbaik untuk menyiapkan rumah sembelihan terbaru ― dengan syarat, ya ― dengan syarat, pemborongnya mestilah dari kelompok gerombolannya.

Sementara itu ada pekerja yang telah memprotes dan mendesak agar keadaan Pasar Raya menjadi lebih baik. Kata mereka yang paling utama ialah kesejahteraan para pekerja yang rata-rata adalah anak-anak muda yang ― pada tanggapan Cukong Permaisuri ― telah keterlaluan kurang adab itu, dan mahu dibuangnya saja dari Pasar Raya. Tindak balas khalayak di seluruh negara lebih-lebih lagi para pekerja sangatlah keras. Rupa-rupanya seluruh penduduk kawasan di sekitar Pasar Raya juga marah-marah dan bangkit memprotes. Hujah mereka: Pekerja mesti dijaga. Gajinya mestilah minimum dan mereka tidak boleh ― sama sekali ― ditindas. Ya, di bawah pengurusan terbaru Pasar Raya, para pekerja tak boleh sama sekali ditindas. Itu sumpah mereka sebelum mengambilalih Pasar Raya.

Sekarang kemelutnya dengan pekerja Pasar Raya yang sekian lama membara itu terburai lagi. Masing-masing pihak telahpun menempah para juruhujahnya masing-masing. Di tengah-tengah gelora kemelut kusut itu, ramai sekali yang menyeru agar jalan yang damai digunapakai: Ya, diselesaikan saja kes saman menyaman ini di luar makkamah untuk memastikan Pasar Rayanya menjadi lebih aman damai semula.

Maka Cukong Pasar Raya pun memintas hujah: Sekarang ini walau bagaimanapun pun, dan dari sudut mana sekali pun kita tengok kes ini, ia tetap tak ada bezanya. Tak ada beza ― kedua-dua juruhujahnya bukanlah Melayu. Seorang Benggali, seorang lagi Keling.

Seluruh mata, yang bercupak-cupak dalam mesyuarat itu pada terbeliak semuanya. Orang tua ini sudah baran lagi, kata mereka. Penyakit lamanya kumat lagi.

2.


Mat Jendul menutup Buku Catatan Hariannya, merebahkan badannya ke atas sofa lalu memicit punat TV. Ah, lagi-lagi kisah Ah Jib dan Hikayat Satunya. Punat dimatikan. Apakah itu mimpi atau khayalan? Aku pun sudah bercelaru dan biul, fikirnya.

No comments: