http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/09/20/bagaimana-artis-melakar-masa-hadapan-diri-dan-negara/
Bagaimana artis melakar masa hadapan diri dan
negara
September 20, 2012
SURAT FMT: Dari Dr Muhaimin Sulam, melalui e-mel
Saya ingin
membuat respon daripada kenyataan Presiden Seniman, Saudara Zed yang ghairah
mengutuk beberapa artis yang berada dalam PR. Begitu juga keluhan yang
disuarakan oleh Pengarah Filem, Hafsham Othman semasa dalam Dialog Industri
Kandungan Kreatif 2012 yang menyebut bahawa golongan artis perlu bersatu bagi
menghadapi buli oleh gergasi industri hiburan tanahair.
Kedua-dua
kenyataan itu sebenarnya manifestasi golongan karyawan dalam menghadapi dunia
di luar layar dan pentas. Mungkin artis dan para karyawan berjaya di atas pentas
dan layar tetapi gagal bila berpijak di bumi nyata.
Yang paling
ironinya, para artis dan karyawan salah menyalah antara pihak-pihak yang
berbeza fikrah. Kita tidak boleh menghentikan perbezaan kerana itulah warna
dalam kehidupan. Yang paling utama bagaimana untuk mengurus perbezaan dan
seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan berkarya.
Saranan
untuk para artis bersatu adalah slogan politik. Politik adalah satu cabang seni
yang cukup berbeza dengan seni lakonan ataupun drama. Oleh itu, berhati-hatilah
para artis dan karyawan jika berbicara soal politik. Ini kerana politik negara
kita masih dalam proses menuju kematangan (baca; tidak matang).
Siapakah
yang dimaksudkan oleh Hafsham sebagai gergasi industri hiburan tanahair yang
sering membuli para karyawan dan artis? Ia mungkin stesyen media perdana
dan juga syarikat rakaman, penerbit dan pemasaran karya kreatif itu sendiri.
Para
karyawan dan artis sebenarnya adalah sama seperti penonton dan masyarakat umum.
Produk kreatif yang ditawarkan dalam pasaran dinikmati oleh masyarakat. Dan
golongan karyawan dan artis itu sendiri hidup dalam masyarakat.
Bagaimana
bentuk produk kreatif yang tersedia ada di pasaran pada hari ini? Adakah ia
merupakan satu hiburan yang memberi santapan mata, nafsu atau akal?
Secara umumnya, industri hiburan kita meriah tetapi rohnya telah ‘mati’ dan
kehilangan fungsi sebenarnya.
Hiburan
kini menjadi alat propaganda dan doktrin politik kapitalis dan pemikiran
yang sempit. Pemikiran masyarakat dipaksa menelan dogma-dogma palsu bikinan
penguasa dan pemain gergasi industri. Ayu Utami dalam novelnya ‘Bilangan Fu’
menyebut,orang pintar sangat terseksa bila menonton televisyen.
Setiap
segmen, adalah adegan yang memperbodohkan penonton. Hari ini, penguna industri
hiburan mengalami penderaan pemikiran yang sangat teruk. Lebih-lebih menjelang
pilihanraya yang bakal meletup.
Samada para
karyawan ataupun artis dan juga masyarakat pengguna, mereka sebenarnya
terperangkap dalam kerangka kapitalis yang berwajahkan populariti, glamour,
perundangan dan dasar-dasar kerajaan.
Bahkan ada
yang lebih menyakitkan ialah kapitalis berwajah agama. Filem-filem atau produk
kreatif berbentuk agama yang dipersembahkan dalam bentuk ‘dakwah murahan’ juga
termasuk dalam mata rantaian kapitalis yang lebih kreatif mencipta keuntungan.
Ada
ruang-ruang tertentu, para karyawan dan artis perlu memikul rasa tangungjawab
yang lebih besar. Mereka bukan sekadar pemain tambahan yang boleh digunakan
sewenang-wenangnya. Kerana itu, para karyawan dan artis mesti memiliki prinsip
hidup dalam diri mereka sendiri.
Dari proses
pemilihan skrip atau lirik, kaedah lakonan dan persembahan, pemasaran dan
sebagainya perlu diambil berat oleh mereka. Jangan kerana memiliki bakat atau
kecantikan yang kononnya dikurniakan oleh Allah s.w.t., maka produk kreatif
para karyawan dan artis menyalahi syariat, sarat dengan maksiat dan menyerang
kepercayaannya sendiri.
Apabila
mendapat tempat pada mana-mana majlis anugerah, ucapan syukur dan Alhamdulillah
tidak pernah lekang daripada bibir. Wal hal, kemenangan itu sebenarnya satu
kemalangan ngeri dalam hidupnya. Kita selalu mendengar, para pelakon yang
tertentu berkata, mereka hanya berlakon mengikut skrip yang ada.
Penyanyi
hanya menyanyikan lirik yang sedia ada. Lukisan atau ukiran yang dicipta hanya
untuk memenuhi permintaan pasaran. Menang terlalu mudah sesetengah para
karyawan dan artis melakukan helah bela diri untuk mengesahkan kreativitinya di
tengah masyarakat.
Apabila
‘saham’ para karyawan dan artis merundum, mereka akan ditinggalkan sebatang
kara. Miskin, merempat dalam industri dan juga kehidupan yang sebenar. Tragedi
yang berlaku pada seniman agung P Ramlee seharusnya menjadi iktibar bagaimana
hal yang sama tidak berulang.
Kehilangan
P Ramlee begitu dirasai selepas ketiadaannya. Sebaliknya semasa beliau hidup
berkarya, ramai para kapitalis yang menghisap darah atas kreativiti seniman
agung itu. Tanpa menafikan ada beberapa kelemahan sendiri yang wujud dalam diri
seniman agung mengurus kerjayanya sebagai seniman.
Masyarakat
pada keadaan tertentu juga harus dipersalahkan kerana terus meraikan
kesongsangan dalam hidup. Maksiat dipuja, usaha kebaikan tidak diberikan
galakan. Tanpa disedari membentuk pemikiran hedonism murahan dalam masyarakat.
Untuk
menyatukan persatuan-persatuan seniman ataupun para pendokong karyawan samalah
sukarnya menyatukan parti politik yang berbeza kepentingan. Masing-masing ada
kekuatan dan cuba melindungi kelemahan yang ada. Itu normal.
Tetapi yang
lebih utama, bagaimana persatuan seniman dan karyawan membawa prinsip kreativiti
yang memberikan kebajikan yang menyeluruh pada kehidupan para pengiatnya.
Mendapat manfaat di dunia, selamat di akhirat.
Cubalah
elakkan daripada mengulangi retorik ahli politik atau para pendakwah simplistik
seperti dengan kata-kata; ‘Balik ke pangkal jalan’, ‘Islam jalan penyelesaian’.
Retorik-retorik ini memerlukan langkah-langkah yang lebih realistik.
Proses
penterjemahan Islam sebagai agama yang memberi kerahmatan seluruh alam
seharusnya dicernakan dalam pelbagai bentuk. Inilah cabaran yang perlu dipikul
oleh semua pihak.
Minggu
lepas, Dinsman menghantar sms bertanya bagaimana jika lakonan yang melibatkan
lelaki dan perempuan remaja diadakan di dalam ruang masjid? Drama itu
bernafaskan skrip yang Islamik. Jawapan yang diberikan oleh Dr Mujahid Yusuf melegakan
kami.
Dalam
berkarya kita perlu menjaga adab-adab, termasuk adab dalam masjid. Lakonan
boleh dilakukan di ruang lain seperti serambi, bilik khas ataupun perkarangan
masjid. Itu lebih baik untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar jika dilakukan
dalam ruang solat.
Setidak-tidaknya
Dinsman dan rakan-rakannya berjaya memecah sedikit tembok stigma masyarakat
tentang peranan masjid. Berpuluh-puluh kali para penceramah menegaskan peranan
masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat. Tapi bagaimana? Masjid terus menjadi
tempat ritual umat Islam mendapat ‘ketenangan’.
Sedang
dalam masa yang sama, masyarakat di luar masjid sedang menderita sakit yang
cukup kronik. Pendekatan-pendekatan ini perlu dilakar bersama antara para
pendakwah, pemimpin masyarakat (termasuk JK Masjid), para karyawan dan seluruh
masyarakat. Untuk masa hadapan yang lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment