Friday, September 28, 2012

Menunggu Memali difilemkan



Dinsman (Artikel 344, 24/9)
Menunggu tragedi Memali difilemkan


Sabtu lalu (15 Sept), ketika menyampaikan ceramah mengenai penulisan skrip teater kepada peserta ‘Bengkel Penulisan Skrip Filem, Teater dan Drama TV’ anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) di Melaka, saya menyebut peristiwa tragedi Memali sebagai satu contoh.

Hari itu saya bercakap mengenai unsur atau nilai dramatik yang diperlukan dalam penulisan skrip teater. Saya memberikan contoh-contohnya berdasarkan karya saya Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), Bukan Bunuh Diri (BBD), dan Tamu Dari Medan Perang (TDMP). Sebelum itu saya memperjelaskan kepentingan lakonan dalam teater. Bahawa asas teater ialah lakonan.

Ada teater yang memerlukan lakonan yang kuat, dan ada teater yang tidak begitu memerlukan lakonan yang kuat. Teater yang menampilkan watak atau perwatakan yang kuat memerlukan lakonan yang kuat. Contohnya watak Kaab dalam MKDT, Adam dalam BBD, dan Queen dalam TDMP. Begitu juga watak Jebat dalam Matinya Seorang Pahlawan karya Usman Awang, watak Tok Perak dalam drama Tok Perak karya Syed Alwi, dan watak Falel dalam Di Mana Bulan Selalu Retak karya A Samad Said.

Teater Noordin Hassan pula tidak dibina dengan watak dan perwatakan yang kuat, tetapi ia mempunyai kekuatan yang lain.

Bagi membina watak dan perwatakan yang kuat, salah satu caranya ialah dengan penerapan unsur dan nilai dramatik. Apa itu unsur dan nilai dramatik? Bagi menerangkan itulah maka saya membawa contoh-contoh yang disebut tadi. Dan bagi menambahkan lagi penerangan mengenai unsur dramatik itu, saya bawa juga contoh peristiwa dari realiti sejarah yang begitu memikat perhatian, dan sedang saya kaji dan teliti untuk dijadikan skrip.

Satu daripadanya ialah mengenai kehidupan Imam Ghazali. Sudah lama saya mengidam dan obsess untuk menghasilkan skrip berdasarkan kehidupan Al-Ghazali. Malah saya sudahpun mula menulisnya setelah membuat kajian beberapa tahun, tetapi terhenti disebabkan kekurangan bahan atau fakta yang lebih terperinci, dan sebab-sebab lain juga.

Yang pentingnya dalam konteks ini ialah unsur dan nilai dramatik yang saya maksudkan itu. Al-Ghazali mengalami dilema dalam dirinya berhadapan dengan soal kebenaran, yang dia inginkan kepastian mengenainya. Kerananya dia sanggup meninggalkan segala jawatan, kemewahan dan kemasyhuran yang telah dicapainya, lalu mengasingkan diri (‘uzlah) demi untuk membuktikan kebenaran yang dicarinya.

Di situ terdapat unsur dan nilai dramatik yang cukup kuat. Bagi saya. Bagi orang lain mungkin tidak. Saya tak tahu. Di sini mungkin ada perbezaan tanggapan dan penghayatan. Tetapi, bagi saya itulah yang saya maksudkan dengan unsur dan nilai dramatik itu. Unsur dan nilai itulah yang menggerakkan imaginasi kreatif saya untuk berteater. Dan saya beranggapan orang lain juga mungkin boleh berkongsi penghayatan itu.

Hal yang sama itulah juga yang dialami oleh watak Adam dalam BBD. Dan Kaab dalam MKDT juga mengalami dilema yang kira-kira sama. Bahkan saya melihat watak Hamlet dalam drama Hamlet karya Shakespeare itupun mengalami dilema yang sama; maka lahirnya dialog soliloque yang masyhur itu – “To be or not to be” – Bertindak atau tidak.

Contoh yang lain, kata saya dalam bengkel anjuran IPM itu, ialah peristiwa tragedi Memali. Ini suatu peristiwa yang sangat dramatik. Sering ia menggerakkan imaginasi kreatif saya berfikir akan kemungkinan untuk menghasilkan sebuah teater atau sebuah filem berdasarkan peristiwa yang penuh kontroversil itu.

Sehingga sekarang belum ada seorang seniman Malaysia yang cuba mengangkat peristiwa itu untuk dijadikan karya teater atau filem. Bagi saya peristiwa itu lebih sesuai dengan medium filem, kerana setiap kali teringatkannya, imej yang segera hadir dalam imaginasi saya ialah imej kereta kebal yang sedang bergerak di persekitaran kampung menuju ke rumah seorang Tok Guru yang sedang menunggu bersama beberapa orang murid dan ahli keluarganya, dengan cekal dan berani, tetapi tanpa persediaan senjata untuk melawan musuh yang semakin menghampiri itu.  

Pernah saya berbincang perkara ini dengan kawan-kawan yang lebih arif dan terlibat dalam pengarahan filem. Soal interpretasi, samada memihak kepada pihak kerajaan dan polis yang menyerang ataupun memihak kepada pihak Ibrahim Libya yang dikatakan menentang kerajaan itu – itulah antara perkara yang menjadi masalah dan sukar untuk diatasi, di samping masalah kewangan.

Saya tidaklah berusaha ke arah merealisasikan kemungkinan melahirkan sebuah filem yang dimaksudkan itu, kerana kreativiti saya lebih akrab kepada teater dibandingkan filem. Tetapi imaginasi itu sesekali menyapa saya juga, bertanya apakah tidak mungkin diusahakan sebuah karya teater, di sebalik imej kereta kebal yang begitu menonjol itu?

Salah satu kemungkinannya, kata saya kepada peserta bengkel penulisan itu, ialah dengan memfokus kepada watak Ibrahim Libya di dalam rumah usangnya, pada saat-saat dia mendengar ngauman kereta kebal yang sedang menuju ke arahnya, dan kemudian diikuti dengan bedilan peluru yang menembusi dinding rumahnya – maka bagaimanakah keadaan dia pada ketika itu? Maknanya fokus kepada perwatakan watak utama di pihak orang kampung dalam peristiwa itu.

Zainal Rashid pula (turut menyampaikan ceramah, mengenai drama televisyen) dalam responnya, menimbulkan kemungkin dilihat pada peranan pihak polis tempatan yang mungkin membuat laporan yang salah kepada pihak atasan, menyebabkan terjadinya tragedi itu.

Dan di akhir bengkel, Razali Endun (Ketua Satu IPM sekarang) menyatakan kepada saya yang dia juga berminat untuk mengkaji lebih mendalam peristiwa Memali itu, bagi kemungkinan diangkat untuk menghasilkan novel. “Kita boleh buat kajian sama-sama,” katanya. “Kau buat teater, aku buat novel.”

Ya, semoga Allah memberkati.


1 comment:

masdura said...

Salam hormat. Pak Dinsman..saya adalah salah seorang peserta dalam kursus penulisan yang dimaksudkan. Saya pertamanya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman bapak. Terlalu berharga bagi saya yang baru-baru nak berjinak-jinak dalam maya penulisan ini. Walaupun penglibatan saya selama bertahun-tahun ini adalah dalam teater, namun apa yang saya dapat hasil dari kursus yang diharai menjadikan saya tau bahwa sebenarnya masih terlalu banyak yang belum saya ketahui. Masih terlalu sedikit ilmu saya dalam bidang ini. Apa pun terima ksaih sekali lagi dan saya mengharapkan akan terus diberi bimbingan dan tunjuk ajar. Statement khusus dari saya: sebetulnya saya juga menantikan sejarah memali itu di pentaskan untuk pemikiran umum. Siapa, apa, bila, dimana, mengapa dan bagaimana ia akan diusahakan.