Dinsman (Artikel
340, 10/9)
Merdeka kali kedua
Orang yang buruk
akhlak dan berkelakuan jahat seperti musyrikin di zaman Jahiliyah itu
sememangnya ada. Barangkali sentiasa ada di dalam masyarakat. Hanya kelihatan
atau tidak kelihatan saja. Dan itu tidaklah bermakna yang masyarakat itu
keseluruhannya sudah rosak. Tidak. Yang rosak hanya sekumpulan kecil beberapa
orang itu sahaja. Namun kadang-kadang yang sekumpulan kecil itu pula mempunyai
pengaruhnya yang besar, hingga kelihatan seolah-olah seluruh masyarakat sudah
kembai ke zaman Jahiliyah.
Yang sebenarnya
tidaklah begitu. Tetapi masalahnya hari ini teknologi komunikasi dan media sudah
begitu canggih-manggih, dan perkembangannya pula berlaku dengan begitu cepat
sekali hingga seolah-olah mesyin (machine)
itu yang mengambilalih dan menguasai serta mengawal manusia; bukan lagi manusia
yang mengawal mesyin. Dan kalau manusia yang masih mengawal mesyin pun manusia
itu biasanya terdiri daripada golongan mereka yang juga menguasai
kewangan.
Kebenaran pun
sudah lama terbenam, dan kelihatannya amatlah sukar untuk dibangunkan semula.
Masyarakat seolah-olah tidak berminat lagi dengan kebenaran. Apatah lagi bila
ia sudah berjaya diubah dan ditransformasi hingga kehilangan bentuk dan
wajahnya, kecuali yang keliru dan mengelirukan serta bercelaru (haru-biru) atau
kabur dan tidak jelas. Dan apabila demikian, bagaimanakah kebenaran boleh
berfungsi?
Pemandangan kini
menjadi kabur dan berdebu. Memerlukan kacamata istimewa, atau hanya mereka yang
mempunyai mata batin yang bersih sahaja yang mungkin dapat melihat pemandangan
dengan jelas.
Inilah
situasinya. Ramai orang mengambil sikap tidak peduli sahaja, dan mereka terus sahaja
menjalani kehidupan biasa hinggalah sesuatu terjadi ke atas mereka. Kalaulah
terjadi. Kalau tidak pun tidaklah, dan mereka pun teruslah tidak peduli.
Memang, dari
sudut tertentu suasananya adalah suasana perang. Sebahagian orang melibatkan
diri secara aktif di dalam peperangan ini. Sebahagiannya dengan senjata yang
canggih dan ketangkasan berlawan, manakala sebahagian lagi tidak.
Tak tahulah
bagaimana keadilan boleh dicapai, kerana mereka yang bertugas di mahkamah pun
nampaknya terdiri daripada manusia yang sama-sama terperangkap dalam
pemandangan yang berdebu dan mengelirukan itu juga – di mana lagi? (Zunar
memberikan gambaran yang jelas. Seorang hakim dibaling kasut, dan seorang hakim
dibaling seguni wang. Bagaimanakah reaksi mereka? Semua orang tahu.)
Penipuan dan
pembohongan pun sudah lama menguasai cara hidup kemenangan di bumi ini.
Penipuan dengan segala alat dan mesyin canggih yang ada pada hari ini tidak
lagi mempeduli-kan orang mengetahuinya ataupun tidak. Pedulikan orang tahu!
Asalkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa, biarlah mereka melalak. Yang
pentingnya kemenangan terjamin di pihak kita. Itu saja.
Dan apabila
suasana sudah bercelaru dan bercampuraduk antara yang benar dan yang salah,
antara yang baik dan yang jahat, antara yang cantik dan yang hodoh, antara yang
lucah dan yang sopan, antara yang tipu dan yang sah, dan macam-macam lagi –
maka mudahlah kerja mereka untuk memanipulasi dan mentransformasi. Memang.
Belajarlah daripada mesyin Transformer
yang berbagai-bagai itu. Hebat!
Dan di pihak yang
lain pula seperti hukum rimba pula jadinya. (Teringat pada aksiom Cakravantin
itu). Mereka yang kuat – dialah berkuasa. Tak kira bagaimana pun caranya.
Rasuah pun satu daripada kepandaian. Matlamat menghalalkan segala. Apa saja,
asalkan menang – selamat dan tidak ditawan.
Kalau kalah, akan
merengkoklah di dalam penjara kesengsaraan
Kerana memang semua orang tahu siapa yang bersalah. Hanya selama ini
kuasa di tangan mereka itu sahaja yang membenarkan mereka dan memenangkan
mereka. Jatuh kuasa itu jatuhlah semuanya. Maka itulah mereka berikrar akan
mempertahankan Putrajaya itu hingga ke titisan yang terakhir.
Itu ikrar yang
begitu memang tidak pernah ada dalam mana-mana buku pun kecuali buku
penjajahan. Itulah maka mutakhir ini tiba-tiba kedengaran di sana sini orang
bercakap pasal penjajahan dan kemerdekaan kali kedua. Seolah-olah sedang masuk
ke suatu fasa baru perjuangan.
Bukan perjuangan
menuntut kemerdekaan, tetapi perjuangan untuk memerdekakan negara dari
cengkaman penjajahan bangsa sendiri. Mereka itu menjajahlah itu namanya kalau
begitu cara mereka memerintah negara. Menjadikan negara seperti khazanah harta
pusaka mereka, sedangkan mereka hanya diberi amanah untuk mentadbir sahaja.
Apabila mengecap nikmat kuasa, mereka lupa segala amanah.
Ya, sekarang kita
berjuang untuk kemerdekaan kali kedua. Melihat SN Samad Said dan Maria Chin keluar
dari Balai Polis Dang Wangi petang tadi (Khamis), kerana dipanggil untuk
siasatan kes di malam Janji Demokrasi 30 Ogos lalu – ya, itulah sebahagiuan
dari perjuangan untuk kemerdekaan kali kedua.
No comments:
Post a Comment