Wednesday, September 19, 2012

Harimau mati meninggalkan belang



“Tajam batu!”


Zaman dulu, di akhir tahun-tahun 50an di sekitar kampungku Kampong Raja, Sungai Petani Kedah, sesekali ada sesuatu yang muncul di kampungku si penajam batu.  Biasanya, dia adalah lelaki India yang mengelilingi pelbagai kampung untuk menajam batu-batu penggiling yang sudah tumpul.  Emak termasuklah salah seorang peminat si “Tajam Batu!” ini.  Dan aku gemar melihat batu penggilingnya emak ditajamkan.

Hari ini,  teknologi telah membunuh amalan dan kegiatan ekonomi kecil-kecilan seperti si ‘penajam batu’ penggiling itu.  Makanya segala macam emak di kampung-kampung, tidak lagi bertemu si penajam batu kerana profesion itu telahpun pupus, sama seperti pupusnya jam berspring ciptaan para pereka Swiss, dibunuh oleh teknologi digital Jepun. Siapa kata teknologi tidak mampu menjadi penbunuh ― pembunuh cara hidup@budaya lama?

II.

Semua bangsa memiliki khazanah budayanya yang sangat berharga.  Sebuah bangsa yang tinggi budayanya meninggalkan - antara lain, cara-cara berfikir, bersenibina, bekerja, berinteraksi, cara beribadahnya sendiri dalam acuan 'nilai'nya sendiri.  Orang-orang Melayu zaman lampau yang rata-rata bertani,  mudah dan gemar bergotong royong, berderau apabila mengusahakan sawah-sawah mereka.  Mereka juga ambil peduli sesama jiran dan sanak saudara di kampung kerana tali persahabatan dan persaudaraan itu besar dan tinggi nilainya kepada mereka. 

Masa berlalu, segala nilai dan pegangan hidup 'kuno' ini kian terhakis, digantikan dengan nilai-nilai baru yang dipungut di merata-rata tempat, termasuk di ceruk dapur hiburan stesen-stesen tv.  Kini terdapat orang-orang Melayu yang memilih nilai kebendaan yang lebih menyeronokkan dan membahagiakan itu melebihi segala-galanya.  Kini orang-orang Melayu memilih cara, kaedah dan peralatan yang mampu memberikan pulangan ekonomi yang jauh lebih tinggi.  Jika perlu,  mereka memilih untuk berbahasa dengan bahasa yang 'tinggi dan besar nilai ekonomi'nya.  Mereka  perlukan ekonomi untuk terus gagah dan relevan. Dalam suasana begini yang semakin terancam adalah budaya milik bangsa itu.  Budaya tidak lagi mendapat tempat dalam susun-lapis ekonomi.



No comments: