Dinsman (Artikel
342, 17/9)
Latihan teater kanak-kanak dalam masjid
Secara kebetulan,
barangkali, teater kanak-kanak adalah antara perkara yang menghuni dalam
fikiran saya sejak beberapa bulan lalu; khasnya sejak membuat bengkel penulisan
bulanan di Unisel, yang kebetulan kebanyakan pelajar yang menyertainya adalah
pelajar-pelajar kursus pra-sekolah, maka saya terfikir adalah wajar
diperkenalkan penulisan skrip teater kanak-kanak kepada mereka.
Kemudian minggu
lalu pula saya menemui sejenis kelompok masyarakat rumah pangsa yang
menyebabkan saya terfikir juga kepada keperluan teater kanak-kanak. Sekitar
masa yang sama juga seorang peserta bengkel penulisan di Rawang menyatakan
kepada saya bahawa dia bersama jawatankuasa masjid dalam qariahnya sedang
merancang untuk memulakan latihan teater kanak-kanak di masjid mereka, sebagai
satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda ke masjid.
Jadi nampaknya
pemikiran mengenai teater kanak-kanak akan terus menemani saya untuk beberapa
waktu ini. Cadangan daripada masjid di Rawang itu misalnya, perlu diperhatikan,
kerana mereka meminta kerjasama kita untuk melaksanakannya.
Perkara pertama
yang difikirkan apabila hendak mengadakan teater kanak-kanak ialah – siapakah
yang akan menyertai atau mengambil bahagian bagi menjayakan teater itu? Tentulah kanak-kanak. Betul, tetapi umur mereka mungkin dari
kelompok sekolah Tadika atau sekolah rendah atau mungkin juga kelompok sekolah
menengah. Atau campuran ketiga-tiga kelompok tersebut.
Itu tidak menjadi
masalah. Yang menjadi masalahnya ialah campuran peserta lelaki dengan peserta
perempuan. Kalau setakat kelompok anak-anak Tadika, mungkin tak menjadi
masalah, kerana mereka masih anak-anak kecil. Tetapi kalau kelompok anak-anak
sekolah rendah dan menengah, ia menjadi masalah. Takkan anak-anak yang
bercampuran lelaki-perempuan itu nak dibuat latihan di dalam masjid?
Kebiasaannya
teater kanak-kanak memang bercampur lelaki dan perempuan. Sama seperti teater
dewasa jugalah. Kebiasaannya memang ada percampuran lelaki dan perempuan. Hanya
sesekali ada kekecualiannya, sesuai dengan keperluan skrip. Tetapi teater
kanak-kanak agak berbeza, kerana pelakonnya ramai.
Apakah untuk
keperluan teater kanak-kanak yang akan dibuat latihannya di masjid ini maka
pesertanya hanya diambil dari kelompok anak-anak lelaki sahaja, atau kelompok
anak-anak perempuan sahaja?
Kalau program ini
dibuat di tempat-tempat biasa, maksudnya bukan di masjid, tentulah perkara
percampuran lelaki-perempuan ini tidak timbul. Misalnya waktu saya berfikir
untuk menubuhkan kumpulan teater kanak-kanak di rumah pangsa yang dibincangkan
dalam WB keluaran lalu, saya tidak terfikir pun masalah ini. Hanya apabila
memikirkan ia akan dibuat di dalam masjid maka perkara ini timbul, dan perlu
difikirkan penyelesaiannya.
Maka apakah
penyelesaiannya? Ada orang mungkin bertanya apakah ini persoalan hukum bagi
aktiviti berlakon (dan latihannya) secara umum, ataupun ini hukum khusus bagi
aktiviti berlakon (dan latihannya) di dalam masjid sahaja? Kerana setakat ini
rasanya belum pernah ditimbulkan lagi masalah lakonan bercampur antara lelaki
dan perempuan – boleh atau tidak (mengikut hukum Islam)?
Kerajaan Negeri
Kelantan dan Tok Guru Nik Aziz pun nampaknya ada menganjurkan aktiviti yang
meraikan pelakon dan filem-filem yang ada percampuran lelaki-perempuan (dari
Indonesia dan Iran), iaitu filem-filem yang lakonannya dianggap tidak melanggar
hukum akhlak Islam. Ertinya bercampur lelaki dan perempuan dalam lakonan itu
dibolehkan, asalkan tidak melanggar batas-batas tertentu.
Apakah pula batas-batas
tertentu itu? Saya tidak mahu lanjutkan lagi perbincangan ini di sini, sehingga
saya mendapat jawapannya daripada orang yang lebih berwibawa.
Sementara itu
hasrat pihak masjid berkenaan itu akan saya sambut dengan usaha-usaha yang
sesuai, sementara menunggu fatwa berkenaan. Sekurang-kurangnya pun kita
bolehlah mulakan dengan kelompok anak-anak lelaki sahaja dulu, buat sementara. Dan
kalau fatwanya tidak boleh ada percampuran lelaki-perempuan, maka akan
berterusanlah kumpulan teater kanak-kanak masjid itu dengan kelompok anak-anak
lelaki sahaja.
Tidak ada
masalah, kalau memang itulah hukumnya. Kita boleh beraktiviti dalam
batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu. Gunakanlah imaginasi
dan kreativiti kita, setakat yang termampu.
Manakala idea dan
hasrat pihak masjid tersebut hendak menganjurkan aktiviti seni-budaya berkenaan
itu sebagai satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda datang ke masjid –
amatlah saya alu-alukan dan hormati. Bagi pihak Seniman Paksi Rakyat (Paksi)
saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak masjid berkenaan. Ini
suatu pengiktirafan yang mulia kepada seni-budaya!
Walau
bagaimanapun, oleh kerana sifatnya teater kanak-kanak ini tidak sama dengan
teater dewasa, misalnya dengan teater Menunggu
Kata Dari Tuhan (MKDT) yang sudah banyak kali dimainkan dalam masjid itu,
saya akan lebih berhati-hati melakukannya. Misalnya suasana dan mood teater kanak-kanak biasanya adalah mood yang riang; yang mungkin melibatkan
muzik yang riang juga. Apakah itu sesuai dibuat di dalam masjid? Dan
sebagainya.
Ada orang
bertanya – kenapa perlu lakukan perkara-perkara seperti ini? Maksudnya, kenapa
sampai perlu membawa hal-hal aktiviti seni-budaya yang tidak pasti hukum
halal-haramnya ini, ke dalam masjid – tempat yang mulia khusus untuk beribadat
kepada Allah SWT? Dulu dibawa teater dengan iringan muzik biola (MKDT) ke dalam
masjid, sekarang hendak bawa teater kanak-kanaklah pula!
Jawapannya –
bukanlah saya begitu sekali mengagung-agungkan aktiviti seni-budaya itu
sehingga hendak mencemarkan kesucian masjid dengannya, tetapi saya hendakkan
kepastian dan kejelasan hukum mengenainya, samada ia dibuat di luar masjid
mahupun di dalam masjid. Ramai orang Islam yang terlibat dengan aktiviti
seni-budaya. Maka biarlah kita jelas dengan hukumnya!
No comments:
Post a Comment