Dinsman (Artikel
343, 21/9)
Pesta makan apa pula kita selepas ini!
Dalam satu hari
sampai lima-enam atau tujuh-lapan jemputan untuk majlis rumah terbuka Hari Raya
Eidul Fitri. Itu untuk orang biasa. Untuk orang yang tergolong dalam kalangan
tokoh pemimpin atau VIP, banyak lagilah. Dan yang mengadakannya atau penganjurnya
pula termasuk masjid-masjid dan surau-surau. Pun buat rumah terbuka.
Parti-parti politik tak usah kiralah. Semua berlumba-lumba, untuk mendapatkan
pengunjung yang lebih ramai. Sampailah ke hari-hari terakhir bulan Syawal. Dan
barangkali ada yang terlajak ke bulan berikutnya.
Maka tiba-tiba
saya pun terfikir –amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Asyik
dengan pesta makan tak habis-habis. Lepas satu, satu. Sudahlah bulan Ramadan yang
sepatutnya kita kurangkan makan-minum selama sebulan itu telah kita ubah
menjadi pesta membeli-belah makanan pada setiap petang. Bulan Syawal pula kita
sambut dengan pesta makan yang lebih besar lagi.
Amboi hebat
sungguhlah kita orang Islam hari ini. Sudah jadi umat yang kaya-raya. Berbeza
sekali dengan umat di zaman Rasulullah saw dulu, yang tidak pernah kenal pun
dengan pesta makan-minum seperti yang menjadi kegemaran kita hari ini.
Seolah-olahnya kita sudah tak ada perjuangan yang perlu kita lakukan lagi.
Maka marilah kita
berpesta makan dan minum. Lepas satu pesta ke pesta yang lain pula. Kita makan
dan makan, jangan risau. Kita memang ada banyak duit untuk dibelanjakan. Marilah
mari, kita berpesta! Kita eratkan silaturrahim sesama kita dan bersama orang
bukan Islam juga. Kita umat yang baik dan suka menjamu tetamu.
Baguslah.
Mengeratkan silaturrahim sambil bermaaf-maafan, baguslah. Bagi orang politik
pula dapat meluaskan dan memperbaharui pengaruh, memang bagus. Bagi orang
bisnes pun sama, dapat meluaskan jaringan dan mengembangkan pengaruh. Bagi
orang agama pun begitulah juga agaknya.
Bagi masjid dan
surau? Bolehkah jamuan hari terbuka raya itu menarik orang yang tak pernah
datang ke masjid/surau supaya datang menunaikan solat berjemaah di masjid/surau
slepas mereka menghadiri jamuan hari terbuka raya itu? Kita harap-harapkan
begitulah.
Tetapi dalam pada
itu apabila saya sendiri diajak kawan-kawan dan pihak tertentu supaya hadir ke
majlis demikian pada suatu hari itu sampai beberapa tempat, saya terfikir –
apakah kita tidak melakukan pembaziran dalam perayaan yang seperti ini?
Menyambut Hari
Raya Eidulfitri itu memang tuntutan agama. Laa
raiba fihi. Tidak ada sebarang keraguan pun di situ. Buatlah berapa banyak
majlis jamuan pun pada Hari Raya itu sendiri, tidak mengapa. Tetapi apabila
satu hari raya dirasakan tidak mencukupi, maka ditambah pula beberapa hari, dan
terus ditambah dan ditambah hingga penuh satu bulan Syawal, nak puasa sunat
enam hari Syawal pun sudah jadi susah – maka itulah saya terfikir: Apakah yang
sedang kita raikan ini sebenarnya?
Kita sedang
meraikan kemenangan kerana berjaya melawan nafsu pada bulan Ramadan, ataupun
kita sedang meraikan kemenangan nafsu itu sendiri? Kita sedang memperbaharui
silaturrahim sesama ummah, ataupun kita sedang lagha dan melupakan perjuangan yang sebenarnya wajib kita lakukan?
Kita sedang meraikan tuntutaan Islam agar menjamu tetamu, ataupun kita sedang
melakukan pembaziran?
Makan bukannya
kerana perlu makan, tetapi makan kerana dijemput dan meraikan kawan-kawan;
sedangkan pada masa yang sama ramailah lagi kawan-kawan kita yang sedang
bergelut dengan masalah kemiskinan dan tidak cukup makan, di sana dan di sini.
Mereka itu tidak kita pedulikan pun sedangkan mereka itulah yang wajib kita
pedulikan.
Selama satu bulan
kita sibuk dan menyibukkan diri dengan majlis-majlis jamuan makan-minum ini – kalau
dikumpulkan sudah berapa banyakkah wang yang boleh dibelanjakan untuk agenda
perjuangan ummah yang lebih perlu dan mendesak?
Berapa banyakkah
masa dan tenaga yang telah kita bazirkan di situ, yang sepatutnya boleh kita
tumpukan dan sumbangkan ke arah perjuangan yang lebih diperlukan, demi
mengangkat maruah ummah yang sedang terbenam dalam lumpur kehinaan akibat
dipijak oleh musuh-musuh Islam itu?
Lihatlah
bagaimana orang Islam hari ini berbelanja untuk makan-minum dan lain-lain
perbelanjaan untuk hiasan diri, rumah dan kenderaan! Siapa kata orang Islam
miskin dan tidak cukup kewangan untuk mempersiapkan perjuangan bagi menuntut
kemenangan ke atas orang-orang bukan Islam? Bagi merealisasikan janji bahawa al-Islam ya’luu wala yu’laa ‘alaihi.
Bahawa Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Demikianlah saya
terfikir – barangkali kita sudah terlanjur tanpa kita sedari. Kita begitu
ghairah mungkin hendak mencari pengaruh politik parti masing-masing hingga tak
sedar kita telah terlanjur sampai ke hujung garis sempadan yang sewajarnya dan bahkan
hingga melampaui sempadan lalu masuk ke daerah membazir, lagha dan melupakan perjuangan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan
agenda hidup Muslim hari ini.
Dan tak lama lagi
akan tibalah pula musim korban. Maka sekali lagilah kita akan berpesta dan
berlumba-lumba – masjid manakah yang lebih banyak menumbangkan lembu. Para
pemimpin pun akan bersaing untuk menyumbangkan lebih banyak lembu untuk
disembelih oleh rakyat. Syarikat-syarikat korporat pun akan turut sama
berlumba. (Entah bilalah pula agaknya ada hukum yang mewajibkan atau
mensunatkan syarikat-syarikat korporat dan masjid-masjid membuat korban
menyembelih lembu!)
Para ustaz
semakin hari semakin ramai memberi kuliah agama, hingga tak kurang yang
mencapai taraf selebriti dan diminati puluhan ribu orang apabila berceramah.
Majalah-majalah agama pun tumbuh satu demi satu begitu subur sekali. Televisyen
pun sudah ada beberapa saluran yang memfokus kepada dakwah Islam.
Sekolah-sekolah agama pun tumbuh dan dibuka di sana-sini. Maka apakah ini
sebahagian daripada fenomenanya?
No comments:
Post a Comment