Menjemur yang
sulit
(di tempat dan
pada waktu yang salah)
Semakin ramai
yang mengibarkan bendera negara di bangunan-bangunan, di rumah-rumah kedai, di rumah-rumah
kediaman, di kilang-kilang, di warung-warung maka semakin ramailah yang ‘dilihat
dan kelihatannya’ mencintai negara ini. Bangunan
rasmi@kerajaan tidak boleh diambil kira dalam congak angka@petunjuk patriotisme
kerana mereka, para birokrat telah diarah untuk memasang bendera di bangunan
masing-masing.
Kata yang merekacipta
strategi, APCO & Associates, kempen mengibarkan bendera negara antara lain
bertujuan mempamerkan kepada dunia bahawa penduduk negara itu amat mencintai
negaranya. Secara tidak langsung ia juga mengukur kepopularan SATU Malaysia.
Maka apabila tersebar
berita ke seluruh alam tentang anak muda telah dilihat dan tertangkap mengibarkan
celana dalamnya, pada hari baik bulan baik, tatkala seluruh penghuni negara diarahkan supaya mengibarkan bendera negara, maka
anak muda itu pun ditangkap lalu dibicarakan.
II.
Dan pabila
anak muda yang bertubuh besar tapi lembik tulangnya itu diseret ke balairung
seri, maka seluruh kerabat dan sanak
saudara anak muda itu pun, meraung-raunglah ketakutan.
Maka berkata-katalah
Datuk Bendahara Paduka Raja: “Wahai anak
muda, apakah benar kamu yang tinggal di rumah beralamat sekian dan sekian itu? Adakah pendatang asing untuk dijadikan
pengundi?”
Anak muda yang
besar tubuhnya tapi lembik tulangnya itu, kelihatannya begitu bersusah payah sekali menjawab
“YA!”
Berkatalah
Datuk Bendahara itu di dalam hatinya, “Rupanya, gagap dan sedikit tuli orang muda
ini.”
Sementera itu,
di luar sana ― di perkarangan balairung seri, rakyat pada
berkumpul sambil menjerit-jerit minta disula saja anak muda yang katanya biadap
itu. Maka hiruk pikuklah seluruh halaman
Dataran Tidak Merdeka jadinya.
Bertanyalah
lagi Datuk Bendahara kepada anak muda Gagap dan Sedikit Tuli itu, “Kenapakah
kamu menghina lambang Negeri? Apakah
kamu tidak tahu bahawa adalah berdosa besar berbuat seperti apa yang kamu telah
perbuat itu? Dan hukumannya, tidak ada
kecualinya melainkan disula sampai mati.”
“Tak,
ta..ta..tak bo..bolehkah jemur seluar ....DA..DA....Lam, di luar rumah?” tanya
anak muda besar badannya tapi lemah tulangnya,
terketar-ketar, tergagap-gagap.
III.
Maka berdatang
sembahlah Datuk Bendahara melaporkan insiden di Dataran Tidak Merdeka itu,
“Tuanku, ampun
patik beribu-ribu ampun, sembah patik mohon dimapun. Pada firasat patik pacal yang hina ini, sesungguhnya
pacal yang ditangkap para pengawal istana kerana menjemur celana dalamnya di
lepau rumahnya itu, tidaklah begitu cerdik orangnya. Hanyasanya badannya saja yang besar, tulang
pun lemah-lemah, dan fikirannya pun kurang tajam. Ringkas kata, budak sedang membesar yang belum cukup cerdik dan belum cukup membesar
otaknya.”
Para pembodek pun
tak begitu berpuas hati dengan hujah pembelaan@defence yang tak diminta oleh Datuk
Bendahara itu.
“Ampun Tuanku,
patik Panglima Perkasa, wakil Panglima Lima Bintang CCPCPO-SDO Daerah Istana
tidak bersetuju jika orang yang biadap seperti ini tidak dihukum!”
IV.
Dalam buku
precedencenya Dataran Tidak Merdeka itu, kisah budak yang kelihatannya kurang cerdik@cacat
yang telah ditangkap, dan dibicarakan untuk disula kerana kesalahan menjemur
celana dalamnya di lepau rumahnya pada hari kemerdekaan itu, dirujuk
berulang-ulang kali apabila terdapat sebarang dakwaan bahawa lambang suci kebesaran
negara telah dinodai.
Dalam kisah
tragis ini kita tidak tahu apakah kesudahan nasib anak muda ini. Entah kenapa yang empunya ceritera tidak pula merekodkan episod penting ini. Oleh itu kita tidak tahu apakah budak kurang
cerdik itu disula di khalayak ramai atau dia dibebaskan kerana campur tangan kebijaksanaan
Paduku Tuanku. Ya, campur tangan pihak bijaksana itu masih lagi menjadi tanda tanya
besar.
Kini buku precedence
itu dibuka semula kerana sudah ada anak muda yang berani mencabar lambang dan
simbol ‘milik’nya Sang Penguasa itu.
Lambangnya terburai. Lambang yang
tidak lagi mampu melambangkan kuasa yang mutlak. Lambang keserakahan ‘kegagahan dan keperkasaan’
Sang Penguasa sejak lebih setengah abad yang lalu itu, telahpun terburai.
No comments:
Post a Comment