Sunday, September 23, 2012

Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti



Siri Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti


Secara kebetulan saya temui salah sebuah syarahan di atas iaitu “Pendidikan Bahasa Melayu: Antara Hasrat dan Pelaksanaan” oleh Juriah Long Phd. (UKMalaysia), Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysa, Bangi, 2002.  Dalam lampiran ‘Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia’ terdapat 65 (enam puluh lima saja) tajuk Syarahan Perdana disenaraikan.  Itu tahun 2002.  Menurut rakan sePaksi, Alinor kini terdapat 143 buah Syarahan Perdana.

Di antara soalan-soalan yang menarik perhatian ialah:

i) Bagaimanakah ilmu dan kepakaran para profesor ini digunapakai@manfaatkan dalam pemerintahan negara kita?  

ii) Agaknya kenapakah ‘yang kangkung’ itu lebih menonjol dan selalu menarik perhatian kita?  Apakah ini didorong oleh kegemaran rakyat Malaysia terhadap masakan@hidangan kangkung?
Sedapkah masakan kangkung?


II.

Dalam Syarahan Perdana di atas, kita kutip petikan-petikan menarik untuk renungan bersama.  Untuk lebih jelas, lebih-lebih buat para pejuang dan pencinta bahasa ibunda, silalah teliti teks syarahan perdana di atas.   

“Dari sudut pandangan lain, usaha kerajaan untuk meletakkan kembali bahasa Inggeris sebagai bahasa yang utama dan terpenting pada akhir dekad 90-an dan awal abad ke-21 ini mengukuhkan sikap negatif sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu.” (halaman 49)

...

“Pelaksanaan dasar kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan dialu-alukan.  Namun, seperti yang seringkali disuarakan oleh para ahli bahasa dan pejuang bahasa, walaupun penguasaan kedua-dua bahasa itu sama pentingnya tetapi martabat dan kedudukan kedua-duanya berbeza.  Dalam bahasa kiasan dan dalam konteks pendidikan di negara kita, bahasa Melayu dijunjung, bahasa Inggeris digendong.  Kedua-duanya tidak akan kita lepaskan.” (halaman 49).

III.

Bilakah pelbagai stesen tv kita mahu bicarakan misalnya sampel-sampel tertentu 143 Syarahan Perdana UKM ini? 

Tidak boleh@tidak viable kerana tak ada penaja yang akan berminat?  Lalu,  apakah peranan Gomen dan segala khazanah yang dimilikinya itu?  Bina menara bertingkat-tingkat?



No comments: