Dinsman (Artikel
341, 14/9)
Bawa teater kanak-kanak ke rumah pangsa
Ahad lalu teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT)
dipentaskan lagi buat kali yang entah ke 50-berapa, saya pun tak berapa pasti.
Dilakonkan oleh Bob Lokman, bersama Sani Sudin dengan biolanya. Dan seperti
biasa, kami juga membawa aktiviti sampingan, iaitu menjual buku.
Sudah lama
aktiviti sampingan ini kami lakukan. Bukan sahaja sebagai sampingan kepada
pementasan teater, tetapi juga sebagai sampingan kepada aktiviti-aktiviti lain
seperti bicara buku, persembahan puisi, seminar, bengkel penulisan dan
sebagainya. Sebab apa? Sebagai khidmat membawa buku kepada pembaca, promosi
budaya membaca buku kepada masyarakat, menggalakkan orang membaca buku, dan
menolong mereka yang kebetulan inginkan buku-buku berkenaan tetapi sukar
mendapatkannya di kedai-kedai buku biasa.
Tidaklah banyak
judul buku yang dibawa. Biasanya yang ada kena mengena dengan aktiviti
utamanya, di samping buku-buku yang diterbitkan oleh Paksi dan Kaab, seperti Menunggu Kata Dari Tuhan, Kumpulan Esei
Budayawan Bertindak, Antologi Puisi 56 Penyair, Pemikiran dan Perancangan
Seni-Budaya; juga buku-buku karya SN A Samad Said, Shaharir Mohd Zain,
Azizi Hj Abdullah, Syed Husin Ali, Ahmad Lutfi Othman dan Zaaba.
Semestinyalah
tidak ada buku-buku kisah cinta remaja yang digemari oleh anak-anak muda itu.
Kami mempromosi buku-buku yang kira-kira ada kaitannya dengan ideologi dan
perjuangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi); yakni buku-buku seni-budaya yang kami
percaya patut dibaca oleh masyarakat.
Dalam konteks
inilah saya sudah beberapa kali menyebut bahawa masyarakat di sekitar Masjid
Batu di Permatang Pauh itu agak unik dan istimewa, kerana mereka paling banyak
membeli buku apabila kami membuat promosi buku di sana. Sudah beberapa kali.
Dan pada Ahad
lalu kami bertemu pula satu lagi kelompok masyarakat yang unik dan istimewa,
tetapi berbeza dengan masyarakat di sekitar Masjid Batu. Kalau masyarakat
sekitar Masjid Batu itu suka dengan buku, kelompok masyarakat yang kami temui
sewaktu mementaskan MKDT Ahad lalu adalah sebaliknya. Mereka langsung tidak
berminat. Langsung tidak menunjukkan minat.
Daripada sekitar
hampir seribu orang yang hadir untuk menonton dan berhibur dengan persembahan
artis-artis pujaan mereka itu (termasuk Bob Lokman), tidak seorang pun mampir
ke meja buku. Mereka sekadar memandangnya dari jauh dan melintas sahaja di
depan meja buku. Langsung tidak menunjukkan ada minat kepada buku.
Kami sampai ke
kawasan rumah pangsa itu sejurus sebelum maghrib. Melihat kepada suasana dan
orang-orang yang ditemui di sekitar kawasan lapang dan padang mainan di antara
blok-blok rumah pangsa itu, serta orang-orang yang mulai datang ke tempat
pementasan, pihak petugas yang akan menjual buku pun mulai khuatir, apakah ini
tempat yang sesuai untuk mempromosi buku?
Demikianlah
akhirnya tanpa menunggu selesai pementasan, buku-buku yang dipamerkan itupun
segera dikemaskan ke dalam kotak untuk disimpan ke dalam kereta.
Pulang dari
pementasan itu otak saya asyik terfikirkan persekitaran hidup masyarakat di
kawasan perumahan rumah pangsa itu. Dengan anak-anak kecil yang masih
berkeliaran walaupun waktu sudah malam, anak-anak muda lelaki perempuan yang
berpeleseran, beberapa orang lelaki yang menghampiri kami dalam keadaan seperti
orang mabuk dan sebagainya itu. Dan saya pun terfikirkan visi dan gagasan
seni-budaya Paksi. Apakah yang wajar dibuat dalam situasi yang seperti itu?
Tiba-tiba pagi
Isnin itu Adun kawasan tersebut, yang menjemput kami membuat persembahan MKDT
itu dan dia juga turut menonton pada malam itu, menelefon saya dan menceritakan
keadaan kelompok masyarakat di mana MKDT dipersembahkan itu. Rupa-rupanya tepat
seperti yang sedang saya fikirkan.
“Sebutlah apa
saja yang kita katakan gejala sosial itu, semuanya ada di situ,” kata YB tersebut.
“Dan di situlah anda membuat persembahan cerita Kaab bin Malik itu. Saya tak
pasti mereka yang menonton itu dapat memahaminya atau tidak. Sebahagian
daripada mereka itu orang India bukan Islam. Saya tengok mereka menonton juga…”
Rupa-rupanya Adun
berkenaan sangat maklum dengan situasi yang tidak menyenangkan itu. Dia sengaja
membawa teater Islam kisah sahabat Nabi yang bertaubat setelah membuat
kesalahan itu ke tempat begitu – tentulah ada sebab dan alasannya. Tetapi pagi
Isnin itu dia menelefon saya untuk berbincang perkara lain.
Apa pun, yang
pentingnya dia telah mengesahkan jangkaan saya mengenai sekitaran hidup
masyarakat yang langsung tidak berminat dengan buku itu, lalu memudahkan saya
untuk terus memikirkan apakah yang boleh dibuat oleh seni-budaya di situ.
Melihat kepada
ramainya anak-anak muda yang berkeliaran di situ, saya segera terfikirkan
kepada teater kanak-kanak. Barangkali sesuai dan ada faedahnya kalau sebahagian
kanak-kanak itu diajak menyertai kumpulan teater kanak-kanak yang boleh
ditubuhkan di situ, dengan dibimbing oleh orang yang pakar atau tahu mengenai
teater kanak-kanak.
Tidak ramai orang
yang tahu dan pakar mengenai teater kanak-kanak di Malaysia hari ini. Boleh
dibilang dengan jari. Itu pun, yang ada seorang dua itu pun, tidak dimanfaatkan
untuk perkara-perkara yang sebenarnya sangat memerlukan tenaga pakar mereka.
Saya harap kali ini (sekurang-kurangnya) kita boleh mencuba menghidupkan
aktiviti seni ini, bagi memanfaatkannya kepada situasi hidup di rumah pangsa
yang kurang menyenangkan itu.
No comments:
Post a Comment