Dinsman (Artikel
348, 12/10)
Persoalan konsep dalam pemikiran kita
Ada beberapa
perkara menarik, timbul dalam wacana buku Ab Shukur Harun (Gelombang di Pesisir Waktu) yang dipimpin oleh Kassim Muhamad, Ahmad
Lutfi Othman dan Arif Atan di Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam,
Khamis 4 Oktober lalu.
Lutfi
mempersoalkan mengapa negeri yang ditadbir oleh PAS tidak membentuk enakmen
yang memberi kuasa kepada rakyat, yang bertembung langsung dengan kuasa
kerajaan BN yang tidak kita senangi sekarang itu? Misalnya kerajaan negeri
Selangor meluluskan enakmen yang berhubung dengan kebebasan maklumat; manakala
para exco kerajaan Pulau Pinang membuat pengisytiharan harta. Sedangkan ini
tidak berlaku pada kerajaan PAS walaupun telah mentadbir Kelantan lebih 21
tahun.
Hasni Abas
menyokong kenyataan Lutfi itu; manakala Razali Endun menyatakan impiannya akan
suatu suasana “politik budiman” yang beretika di negara ini.
Persoalan yang
ditimbulkan oleh Lutfi itu mengingatkan saya kepada dua peristiwa yang berkaitan.
Pertama kepada suatu wacana mengenai integriti yang dibuat akhir tahun lalu,
yang juga mempersoalkan kepemimpinan PAS apakah mereka berintegriti atau tidak?
Peristiwa kedua pula secara kebetulan sehari sebelumnya kawan saya Kassim
mempersoalkan minat saya terhadap kepimpinan Nik Aziz yang dikhuatirinya boleh
sampai ke tahap taksub. Maka dia bertanya apakah saya akan mengkritik Nik Aziz
kalau diperlukan?
Saya menegaskan
bahawa buat masa ini saya memilih untuk tidak mengkritik Nik Aziz walaupun
kadang-kadang ada perkara yang boleh dipersoalkan. Sebab apa? Kerana saya
melihat ada banyak lagi perkara yang dibuat oleh kepimpinan Nik Aziz yang belum
diangkat secara sewajarnya hingga ia dapat memperlihatkan keunggulan Islam yang
sebenar.
Maka mengapa kita
harus memilih kritikan, sedangkan apresiasinya pun belum terungkap sewajarnya?
Malah di sini bukan sekadar apresiasi, tetapi tanggungjawab untuk sama-sama
mengangkatnya, kerana dengan mengangkatnya kita juga akan mengangkat semula
Islam untuk diletakkan di tempatnya yang tinggi, mengatasi yang selainnya.
Inilah yang saya
cuba lakukan, dan dalam tempoh sebulan-dua lagi akan terbitlah buku baru saya
mengenai kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, berjudul “Kelantan 21 tahun: Bukti Kejayaan”. Insya Allah.
Memang ada
kebimbangan saya, melihat kecenderungan di kalangan kita untuk membuat
penilaian berdasarkan pemikiran dan pemahaman yang bukan berasal dari khazanah
Islam, yakni al-Quran dan Sunnah. Apabila kita menggunakan istilah dan konsep
dari tamadun dan pemikiran Barat, untuk menilai Islam dan orang Islam, saya
bimbang kita akan membuat kesilapan yang tidak kita sedari.
Memang konsep
kebebasan maklumat itu bagus, dasar pemimpin mengisytiharkan harta itu bagus,
dan begitu juga konsep integriti. Lalu mengapa Tok Guru Nik Aziz tidak
melaksana-kannya dalam pentadbirannya di Kelantan? Apakah itu satu kelemahan
beliau yang perlu dikritik?
Saya tidak ada
jawapannya, dan saya tidak pasti apakah amalan yang dipersoalkan itu terdapat
dalam pentadbiran Islam di zaman Rasulullah saw dan khulafa’ ar-rashidin; atau
merupakan pemikiran yang berasaskan al-Quran dan Hadis.
Sejak berjinak-jinak
dengan pendekatan yang digunakan oleh Prof Shaharir dalam beberapa wacananya,
saya agak terpengaruh dengan kaedahnya yang menelusuri asal usul sesuatu
istilah dan konsep yang digunakan. Penting diperiksa asal usul makna sesuatu
istilah dan konsep itu untuk kita fahami nilai dan pemikiran yang mendasari dan
membangunkannya. Kalau ia tidak ada di dalam khazanah Islam, tentu ada
sebabnya.
Manakala mengikut
pendekatan dan kaedah pemikiran Nik Aziz pula, Islam itu adalah paling
sempurna. Kesempurnaan Islam itu pula dengan sendirinya menafikan keperluan
kita kepada yang lain, seperti Nik Aziz telah menolak nasionalisme dan
sosialisme, misalnya.
Saya timbulkan
hal ini dalam wacana buku Shukur Harun itu semata-mata untuk bersikap
berhati-hati, agar kita tidak terjebak dalam perangkap pemikiran sekular Barat.
Berhubung dengan
pandangan Razali Endun mengenai “politik budiman” itu, saya mempersoalkan
apakah di zaman Rasulkullah saw dulu wujud “politik” seperti yang kita
maksudkan hari ini. Apakah Nabi Muhammad juga berpolitik seperti kita
berpolitik hari ini? Atau bagaimanakah sebenarnya politik di dalam Islam?
Wujudkah apa yang
dikatakan “politik budiman” itu? Berdasarkan realiti yang sedang berlaku
sekarang, baik di Malaysia mahupun di dunia amnya – tidakkah politik itu
dipenuhi dengan perebutan kuasa, manipulasi kuasa dan penipuan untuk berkuasa
semuanya? Dalam kata lain, politik itu sudah tidak ada lagi wajahnya yang elok
dan bersih. Yang ada semuanya hodoh dan jahat belaka.
Kecuali di
mana-mana yang terdapat kuasa bukan politik yang mampu memberi imbangan kepada
kuasa politik, maka di situ akan wujud suasana politik yang agak baik, seperti
yang dimaksudkan “politik budiman” oleh Razali Endun itu.
Politik
semata-mata tidak akan melahirkan politik budiman. Kita memerlukan kuasa bukan
politik untuk mengimbangi kuasa politik. Di sinilah saya menekankan betapa kita
memerlukan golongan agamawan yang berfungsi, dan budayawan yang berfungsi, yang
tidak tunduk kepada kepentingan politik. Maka akan lahirlah masyarakat yang
tidak didominasi oleh kuasa orang-orang politik semata.
Merujuk kepada
kepimpinan Rasulullah, ia bukanlah semata-mata kepimpinan politik. Demikianlah
juga kepimpinan Nik Aziz, ia bukanlahsemata-mata kepimpinan politik.
No comments:
Post a Comment