Saturday, October 13, 2012

Yang meresahkan



Tanda-tanda yang meresahkan


Lampu isyaratnya masih lagi merah saga.  Sementara pelbagai jenis kenderaan sudahpun bersusun-susun berhenti di belakang garis putih, masing-masing menunggu saatnya untuk memecut semula.  Semuanya sabar menunggu giliran masing-masing sebelum bergerak semula.  Sesosok lembaga bermotosikal muncul di celah-celah deretan kenderaan, menghampiri garis putih ― seakan-akan mahu berhenti ― tapi kemudiannya meluru laju sambil mendongakkan roda depan motornya kira-kira 90 darjah dengan permukaan aspal.   

Kata seorang ibu di sampingku, “Apakah anak kita juga naik motosikal begitu?  Nasib baik tak ada kereta. Itulah sebabnya motosikal sering belaga.”

2.0

Seorang mantan, seorang bekas pemimpin besar sebuah parti politik yang sedang bercita-cita  besar untuk mengambilalih pemerintahan Malaysia, muncul di pelbagai akhbar, di pelbagai kaca tv, di berbagai-bagai portal untuk mengumumkan bahawa terdapat sekelompok penganut agama X berkumpul untuk mendoakan agar negara ini menerima X sebagai agama negara.  

Peristiwa-peristiwa hiliran berikutnya memberikan gambaran kedunguan dan kepikunan Melayu apabila isu agama dilontarkan ke tengah-tengah medan perjuangan.  Para pemikir Melayu yang telah memasang lukahnya, begitu berdukacita, teramatlah sedih dan terlalu terkejut besar apabila umpannya tidak disambar oleh musuhnya!


3.0

Seorang kepala daerah@mayor diarah untuk berpindah 24 jam ke posisinya yang baru.  Maka pelbagai portal pun melaporkan beritanya ― sambil tertanya-tanya, “Kenapa?  Kenapa? Kenapa ya?...”

Dalam sebuah mesyuarat para NGO, seorang wakil NGO itu bertanya lantang, “Anybody can explain why this mayor is being transferred within 24 hours?”  Dia telah menghalakan soalannya kepada sederet pegawai-pegawai besar, mereka yang lengkap dengan kot dan dasi, di depannya.  Seorang dua berbisik-bisik, yang lain saling berpandangan, dan ada seorang yang memberanikan diri lalu cuba menjawab dengan hujah bahawa itu adalah ‘peristiwa biasa’.   

Kucingku juga tertanya-tanya, adakah itu akibat penggambaran krisis air di Seksyen 17 yang heboh ke seluruh dunia itu?  Aku dan kucingku, sama seperti makhluk lain di planet ini, melihat dinding dan bumbung rumah untuk mencari sebarang petunjuk apakah sebenarnya terjadi? 


4.0

Seorang maling amatir baru saja memecahkan cermin sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan.  Kali ini dia agak hampa kerana habuan pencariannya tak seberapa.  Namun dia tidaklah begitu kecewa kerana dia masih cukup yakin rezekinya berselerak di tempat-tempat lain.  Sesungguhnya dia yakin bahawa rezekinya murah kerana penduduk tempatan tenang-tenang saja dengan peristiwa-peristiwa begini.  Ini tempat aman ― fikirnya ― tempat aman untuk segala macam maling, kecil dan besar.  Semakin besar malingnya,  semakin selamat dia.  Hanya itu yang membedakan nasib para maling.  Sayang sekali,  aku hanyalah seekor maling kecil. 



5.0    

Seorang lelaki Melayu menyambar senaskhah akhbar, akhbar yang terkenal hebat dengan cerita-ceritanya. Ada Melayu yang masih doyan@berselera membacanya.

No comments: