Dinsman (Artikel
349, 15/10)
Pengurusan Seni-budaya patut diajar di universiti
Saya didatangi
lagi oleh pelajar-pelajar universiti, berbincang mengenai karya teater saya
yang akan mereka pentaskan sebagai kerja yang akan dinilai untuk peperiksaan
mereka bagi tahun akhir. Satu kumpulan buat Tamu
Dari Medan Perang (TDMP), satu kumpulan lagi buat Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).
Tak mengapalah.
Itu sudah jadi biasa kepada saya. Sudah agak lama juga. Dan saya pun sudah agak
lama juga memikirkan satu perkara ini. Tapi belum pernah saya tulis
mengenainya. Kali ini saya akan tulis.
Teater itu
diterima sebagai satu bidang ilmu, yang diajar di universiti-universiti. Ada
pecahan-pecahannya lagi – penulisan skrip, lakonan, pengarahan, pengurusan,
rekabentuk set, rekaan cahaya, rekaan kostium, muzik, tarian, suara, mekap,
publisiti, pemasaran, kritikan dan beberapa lagi. Padahal teater itu bukanlah
besar sangat. Tapi ia telah diterima sebagai satu bidang ilmu yang agak besar.
Maka saya
terfikir apa? Saya terfikir seni-budaya. Jauh lebih besar bidangnya. Teater
hanya satu cabang sahaja di dalam seni-budaya. Tetapi apakah seni-budaya telah
diterima sebagai satu bidang ilmu dan diajar di universiti? Setahu saya, tidak.
Yang diajar di
universiti ialah teater, drama, tarian, muzik, nyanyian dan pengurusan teater.
Dan kalau itu sudah diajar di universiti, tidakkah itu bermakna seni-budaya
juga sudah diajar di universiti? Kenapa saya katakan seni-budaya tidak diajar
di universiti?
Saya katakan
demikian kerana berdasarkan pemerhatian selama bertahun-tahun, berpuluh tahun,
ada aspek-aspek dalam seni-budaya itu yang tidak terdapat dalam bidang-bidang
ilmu yang diajar di universiti itu, menyebabkan aktiviti atau program
seni-budaya tidak banyak dibuat di negara kita. Mengapa ia tidak banyak dibuat?
Kerana tidak ada orang, yakni pegawai kerajaan, yang mempunyai ilmu tersebut,
yang dipelajarinya sewaktu dia belajar di universiti.
Paling ketara
sekali lihatlah pada Jabatan Kebudayaan atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di
kementerian, atau di majlis perbandaran, bandaraya dan daerah (atau Pihak
Berkuasa Tempatan – PBT). Di setengah-setengah tempat hanya diwujudkan unit
kebudayaan/kesenian di bawah Jabatan Korporat atau Jabatan Kebudayaan dan
Sukan. Apa yang ada di sana? Apa yang mereka buat?
Yang ada di sana
ialah penari, pemuzik dan penyanyi. Dan aktiviti yang selalu mereka buat ialah
persembahan muzik, nyanyi dan menari. Itulah tiga cabang seni-budaya yang
selalu dibuat dan dipersembahkan oleh jabatan-jabatan tersebut. Dan biasanya
aktiviti itu dibuat sebagai menyediakan hiburan kepada hadirin dalam
majlis-majlis jamuan dan yang seumpamanya.
Dan itu sahajalah
fahaman orang-orang kerajaan atau pegawai kerajaan kita apabila disebut
kebudayaan dan kesenian. Status dan imej kebudayaan dan kesenian yang wujud
dalam fikiran orang-orang kerajaan hanya setakat itu sahaja. Tak lebih daripada
itu. Maka bagaimanakah kita nak mengharapkan lebih daripada itu? Bagaimanakah
kita nak mengharapkan suatu perancangan seni-budaya daripada mereka?
Apakah yang saya
maksudkan dengan aktiviti ‘seni-budaya’, yang saya katakan tidak diajar di
universiti itu?
Mudah saja. Kita
ambil satu contoh, iaitu wacana ilmu, atau lebih khusus lagi – bicara buku.
Yang ada diajar di universiti ialah kritikan buku, sebagai satu cabang daripada
ilmu sastera, atau penulisan. Manakala ‘bicara buku’ yang kita maksudkan
sebagai satu aktiviti seni-budaya ini bukannya satu cabang daripada ilmu
penulisan atau ilmu sastera itu. Yang kita maksudkan di sini ialah aktiviti
penyampaian atau pembentangan pendapat (ilmu) terhadap sesebuah buku, yang
memerlukan kehadiran sejumlah orang sebagai peserta atau pendengar, di samping
pembicaranya.
Ia suatu aktiviti
sosio-budaya, yang harus dilihat fungsinya bukan sekadar sama dengan ilmu penulisan
atau sastera. Ia mempunyai fungsi sosial, seperti yang saya istilahkan kepada ‘lanskap
tanah’ dan ‘lanskap minda’ itu. Ia harus dilihat sebahagian daripada lanskap
minda, yang selama ini diabaikan oleh para perancang di pihak PBT. Mereka
begitu sekali penting-kan ‘lanskap tanah dan pokok’, tetapi mereka langsung
tidak menyedari akan pentingnya lanskap minda – bagi melahirkan keharmonian dan
keseimbangan dalam kehidupan masyarakat.
Bicara buku itu
hanya satu contoh. Melakukannya tidaklah susah. Yang susahnya ialah
melakukannya secara berterusan dan berkala, misalnya dibuat pada setiap bulan,
untuk menimbulkan keberkesanannya. Ini tidaklah mudah. Pihak perancang atau
pengurusnya mestilah mesra dengan dunia buku dan para ilmuan, dan tahu
menguruskan publisiti dan promosinya.
Contoh lain mari
kita lihat siri program Jelajah Budaya Selangor yang akan dibuat oleh Seniman
Paksi Rakyat (Paksi) bermula di Klang pada 10 dan 11 November ini. Apa aktiviti
yang ada dalam program dua hari itu? 1) persembahan Puisi dan Lagu; 2)
persembahan teater; 3) persembahan gamelan dan cempuling; 4) persembahan oleh
kumpulan OKU; 5) dialog budaya dengan Sasterawan Negara; 6) kuliah ilmu oleh
tokoh ilmuan; 7) silat Serante dan silat Selambam; 8) peraduan melukis dan
mewarna untuk kanak-kanak; 9) demonstrasi menulis khat; dan 10) pertandingan
membuat tanglung.
Itu semua program
seni-budaya. Sebahagiannya ada diajar di universiti dan sebahagiannya tidak. Pengurusan
dan proses mempersembahkan semuanya itu kepada khalayak dalam suatu program
yang melibatkan pelbagai pihak dalam masyarakat, itu mungkin tidak diajar di
peringkat kolej mahupun universiti.
Kenapa saya
timbulkan perkara ini? Kerana pengalaman Paksi berurusan dengan pelbagai pihak
yang berkenaan untuk membuat sesuatu program seni-budaya, memperlihatkan
keadaan yang begitu. Dan sebenarnya ada banyak lagi permasalahannya. Kita akan
bincang lagi perkara ini dalam kesempatan yang lain, insya Allah.
No comments:
Post a Comment