Monday, October 15, 2012

Tukul, belatuk dan tukang kayu.



Tukul, belatuk dan tukang kayu.

Katanya,  patukan belatuk yang kedengaran sejauh setengah batu adalah prasarana asmara ― sang belatuk mencari pasangan.  Kata sang pemerhati lagi, belatuk mematuk perdu dan juga segala dahan pokok kerana ingin membuat sarang atau pun sedang sibuk mencari makan.

Sementara itu seorang tukang kayu pula seringkali memaku, mengetam atau memahat semasa dia bertukang.  Dan apa saja binaan tak akan tercipta, sekiranya tukang kayu tidak rajin menukul.  Dalam sesebuah binaan yang besar-besar ―  misalnya sebuah jentera pemerintahan ― tentulah ada  tukang kayu dan segala macam tukulnya.  Dan seorang tukang kayu akan hilang upayanya untuk bertukang sekiranya dia tidak memiliki tukul.         

Lalu berkatalah para pemerhati bebas, betapa orang-orang politik itu diibaratkan seperti tukang-tukang kayu sementara para penjawat awam pula adalah alat-alat tukulnya.  Saban waktu, tukul-tukul ini sentiasa saja ditukuli.  Siang dan malam,  dia ditukuli agar binaan idaman orang-orang politik itu segera siap.  Penyakit gumbira ditukuli ini sebati dalam jiwa sesetengah tukul.  Tidak enak ia, sekiranya ia tidak dihentam oleh tukang-tukang kayu itu.  Mungkin ini adalah akibat ―langsung dan jangka panjang ― apabila sepanjang hayatnya asyik ditukuli.

Maka setelah pencen tukul-tukul itu ― masih tersangat gumbira ia ― jika terus-terusan ditukuli.
Alangkah bagusnya jika tukul-tukul bernyawa seperti burung-burung belatuk.


No comments: