Friday, November 30, 2012

Jelajah Budaya bersama masjid di Rawang



Dinsman (Artikel 356, 26/11)
Jelajah Budaya bersama masjid di Rawang

Setelah berjaya di Klang pada 10 dan 11 November, Seniman Paksi Rakyat terus bergerak ke Rawang membawa program Jelajah Budaya Selangor (JBS), bagi memeriahkan lagi acara “Jom P Masjid” musim ke-3 di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan pelbagai program seni dan budaya yang kemuncaknya mengangkat seorang tokoh tempatan untuk menerima Anugerah Tokoh Budaya Selangor Daerah Gombak.

10 November lalu Rominah Sidek telah diangkat menjadi Tokoh Budaya Selangor Daerah Klang. Siapakah pula yang akan diangkat menjadi Tokoh Budaya Selangor Daerah Gombak dalam program Jelajah Budaya Selangor 2 (JBS-2) yang akan diadakan di Rawang pada 1-2 Disember ini? Sama-samalah kita tunggu.

Menariknya program JBS-2 di Rawang ialah ia dianjurkan bersama dengan masjid. Masjid Nurul Iman Rawang sudah dua tahun menganjurkan “Karnival Jom P Masjid” – suatu karnival atau program keramaian untuk orang awam berkunjung beramai-ramai ke masjid sebagai satu usaha bagi mengimarahkan lagi masjid sebagai pusat tumpuan penduduk setempat.

Kali ini karnivalnya yang ketiga, dibuat selama tiga hari dan terbuka kepada orang ramai, daripada pagi hingga ke malam. Ada berbagai-bagai acara – pameran, jualan pelbagai barangan termasuk makan-minum, ceramah, forum, hiburan, sukaneka rakyat, pertandingan memasak dan sebagainya. Ditambah pula dengan program-program seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi), maka diharapkan bertambahlah kemeriahannya dan bertambahlah juga manfaatnya kepada masyarakat setempat.

Program “jelajah budaya” selain menjadi acara pertemuan budayawan-seniman-ilmuwan bersama rakyat melalui aktiviti persembahan seni-budaya, ceramah dan kuliah ilmu serta dialog budaya, juga berusaha menemukan semula tokoh-tokoh seni-budaya yang pernah aktif, dan juga badan-badan kesenian tempatan.

Ramai seniman-budayawan telah mengesahkan akan hadir di Masjid Rawang pada 2 Disember, untuk acara Dialog Budaya dan Malam Jelajah Budaya 2. Antaranya ialah Sasterawan Negara A Samad Said, aktivis Hishamuddin Rais, kartunis Zunar, Pyanhabib, Nur Hanim Khairuddin, Sutung Umar Rs, Sani Sudin, Amni Jagat dan aktivis Paksi sendiri termasuk Razali Endun, A Shukur Harun, Hasni Abas, Kassim Muhamad, Dr Alinor, Shazly Abdullah dan penulis sendiri.

Percubaan Shazly Abdullah sebagai pengacara pada Malam JBS di Sekolah Rendah Agama Sg Udang di Klang itu telah menarik perhatian ramai kawan-kawan, maka dia terus dikekalkan sebagai pengacara untuk program JBS di Rawang juga. Sebagai seorang penyanyi nasyid, pengendali motivasi dan mantan imam masjid (KLCC), Shazly memiliki beberapa kepandaian yang dapat membina personalitinya sebagai pengacara. Insya Allah kita mengharapkan yang terbaik darinya nanti di Malam JBS-2.  

Sementara itu seorang penulis veteran yang namanya pernah terkenal pada tahun-tahun 60an-70an dulu melalui cerpen-cerpennya, tetapi sudah lama berehat dari menulis, kini menjadi teruja dengan peristiwa Jelajah Budaya ini hadir ke daerahnya, lalu beliau berjanji akan turut sama membaca puisi bersama dengan kawan-kawan pada 2 Disember nanti. Beliau ialah Othman Rasul, seorang ahli qariah masjid Nurul Iman.

Kesediaan Masjid Nurul Iman Rawang bekerjasama bagi menjayakan program seni-budaya ini adalah sesuatu yang sangat menggembirakan pihak budayawan. Dan ini bukanlah kali pertama masjid ini terlibat dengan aktiviti seni-budaya. Bersama dengan Paksi sahaja pun mereka telah beberapa kali berganding bahu. Antaranya ialah mengadakan bengkel penulisan dan bicara buku.

Sekarang pun selain program JBS ini, Masjid Nurul Iman Rawang juga sedang mengadakan latihan teater kanak-kanak “Ibnu Sina” dengan kumpulan Bingkas Kebayan dan Kaab Enterprise, di bawah arahan Ladin Nuawi. Mengikut Ladin, inilah kali pertama dia bekerja membuat teater kanak-kanak bersama dengan masjid; walaupun sudah lama dia berimpian demikian.

Sempena dengan Jelajah Budaya ini juga kita mementaskan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT). Tetapi oleh kerana kedua-dua pelakon MKDT tidak berkelapangan pada tarikh-tarikh Karnival pada 30 November – 2 Disember itu, maka teater ini dibuat agak lewat sedikit, iaitu pada 6 Disember. Ia akan dibuat di dalam masjid berkenaan, dengan Bob Lokman membawa watak Kaab bin Malik. (11 November lalu di masjid Sg Udang, Klang, watak itu dibawa oleh Sabri Yunus).

Program JBS ini dirancangkan untuk dibuat di sembilan daerah di Selangor. Sekarang, memasuki persiapan untuk progranm kedua ini dan ketiga di Tanjung Karang pada 14-15 Disember, pihak Paksi telah menemui pelbagai hal dan pengalaman yang menarik dan bermanfaat untuk perkembangan dan kamajuan seni-budaya. Paling berfaedah, rasanya, ialah hal-hal yang berhubungan dengan pengurusan, pentadbiran dan perancangan seni-budaya itu sendiri.

Tapi tak mengapalah. Itu cerita lain, yang lebih tertumpu kepada kerja-kerja yang akan dilakukan oleh Paksi seterusnya nanti. Buat masa ini kita tumpukan dulu perhatian kepada kerjasama kita dengan pihak masjid bagi menganjurkan pelbagai aktiviti seni-budaya bersama dan serentak dengan program-program masjid sendiri yang lebih bersifat keagamaan dan ibadah itu.

Tiga hari program keagamaan dan seni-budaya berganding bahu, berkolaborasi dan bersolidariti – kita mengharapkan yang baik-baik sahaja, insya Allah. Walaupun kita ada beberapa acara muzik di dalam program tiga hari ini. Dan ini adalah perhentian kita yang kedua dalam Jelajah Budaya. Bermakna perjalanan kita masih jauh. Semoga Allah memberkati jua usaha ini. Amiin!


(Tolong tukar nombor SMS saya kepada 019-7172408)

No comments: