Membaca semula
cerpen ‘Lembu tua jadi Maskawin’ karya Shafie Abdullah
Cerpen di atas
termuat dalam antologi ’Mekar dan Segar’ (Oxford University Press, 1959), sebuah
antologi yang di-pilih dan di-bicharakan
oleh Asraf, dan di dalamnya kita
temui ulasan Asraf, begini:
‘Jika isi
moral yang hendak kita chari dalam sa-buah cherita pendek maka harus-lah kita
ingat bahawa isi moral dalam cherita pendek tidak mesti-nya bersifat
mengajar. Misal-nya dalam Lembu tua jadi
Maskawin karangan Shafie Abdullah kita dapati chontoh simbolis dari semangat
menentang walau dari sa-ekor lembu sa-kali pun terhadap kebuasan yang tidak
jarang terdapat pada manusia juga.”
Di samping itu
kita temui episod berikut:
‘Berapa
tebusan-nya, Datok?’ tanya Husin memechah sunyi.
‘Tanya pada
Bidin di luar sana!’
Husin beredar
dari situ. Di gerbang serambi suara yang
garau berbisek kapada-nya, ‘Lima ringgit, tiga pada Datok dan dua pada aku.’
Kaki Husin
terhenti melangkah. Lima ringgit, lima
ringgit.
‘Hukuman dari
mana-kah ini?’ tanya hati-nya.
2.
Apakah
pengajarannya?
i) Angka telah
berubah namun ‘kebuasan yang tidak jarang terdapat pada manusia’ masih sama
walaupun zaman telah berlalu. (Nilai lima
ringgit mestilah dibandingkan dengan gaji RM dua puluh ringgit sebulan ketika
itu).
ii) Walaupun
zaman telah berlalu, kelihatannya lembu tetap relevan sehingga ke hujung masa. Lembu kurus zaman 1959 mahu dijadikan Maskawin
oleh Husin, perkahwinannya dengan buah hatinya, anak Tok Penghulu. Ada lagi perbezaannya. Lembu zaman ini dijadikan modal untuk mengembungkan
kesejahteraan rakyat. Ada satu lagi
perbezaan yang selaras dengan tuntutan zaman ― lembu zaman sekarang menuntut supaya dinaiktarafkan
(atau lebih tepat jika dikatakan, dinaiktarifkan?) dengan mendesak supaya berumahkan
kondo mewah. Ertinya lembu abad ke 21 sudah
tidak tak main dengan kandang yang buruk lagi busuk.
iii) Peranan
tukang kutip sewa dan penyewa tetap tidak berubah, ia kekal. Bidin yang balaci itu makan harta dengan
memeras untuk tuannya. Hasil kutipan dibahagi-bahagikan
tidak sama rata untuk tuannya dan juga untuk dirinya sendiri. (Ya, kita
teringat kepada karya Allahyarham P. Ramlie ‘satu untuk kau, dua untuk aku’
yang tersohor itu)
iv) Untuk
mengutip tolnya kaedah yang tepat yang selaras dengan perubahan zaman, mestilah difikirkan, direkabentuk dan
dilaksanakan. Di zaman 50an kesalahan
terbesar ialah lembu tua memasuki dan merosakkan tanaman orang-orang
kampung. Di abad ke 21 kereta yang dipandu
laju membahayakan orang lain dan juga nyawa pemandunya sendiri. Oleh kerana keprihatinan Tok Penghulu abad ke
21 yang meningkat, keselamatan orang
ramai mestilah diUTAMAKAN. Untuk tujuan
itu satu alat, AES (Alat E Setan) dipasang di sepanjang jalan raya di
tempat-tempat yang strategik. Adalah
kerja yang sia-sia jika lukah tidak dipasang di tempat-tempat yang tidak berikan (ada ikan).
3.
Karya sastera yang
baik menjadi cermin zamannya. Jika
penulis ― sebagai
pemerhati yang tekun dan teliti ― sentiasa jujur terhadap dirinya, maka yang kita temui sebagai salah satu khazanah
bangsa adalah hasil karya yang segar sepanjang
zaman. Bila lagi akan dikembalikan mata
pelajaran sastera yang khusus, sebagai
satu mata pelajaran, ke sekolah-sekolah
kita?
(Sastera, walaupun
waktu candaku bersamamu cukup singkat dan sepintas lalu ibarat sentuh-sambil-lalu,
namunnya kesannya berbekas sehingga ke saat ini. Sastera, aku merindui zaman 60an itu ― tatkala kutemui antologi seperti Mekar
dan Segar di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani.)
No comments:
Post a Comment