Monday, November 5, 2012

PPSMI: Apa kata TERAS



Kenyataan Media TERAS
5hb Oktober 2012


TERAS TEGASKAN JANGAN DIPERSOAL ISU PPSMI DIMANSUHKAN

Suara sekumpulan kecil yang mahu PPSMI dikekalkan akan berhadapan dengan bantahan keras dari TERAS jika kerajaan tunduk kepada tuntutan yang akan melambangkan sikap tidak menghormati kehendak majoriti rakyat Negara ini.

Sejak ia diperkenalkan ketika Tun Mahathir menjadi PM, hujah untuk mempertahankan PPSMI sudah dipatahkan bukan sahaja dari kajian emperikal malah dari sudut Perlembagaan dan Undang-undang Negara.

Seluruh ahli bahasa telah bergabung tenaga untuk menentang perlaksanaan PPSMI yang dikuatkuasa pada 2003 tanpa kajian dan tanpa mendapat pandangan dari warga pendidik serta pakar bahasa.

Malangnya masih terdapat segelintir yang tetap berkeras agar PPSMI dikekalkan dengan mengujudkan kumpulan bertindak atas nama ibubapa dan pendidik.

Kami mendapati kumpulan ini tidak mahu menerima keputusan kerajaan yang telah cuba merasionalkan tindakan mendengar kebangkitan rakyat menolak PPSMI dengan merangka program Memartabat Bahasa Malaysia Dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris ( MBMMBI ) dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains sebagai ganti kepada PPSMI bermula 2012.

Pendekatan dan tempuh masa memansuhkan PPSMI ini dianggap sebagai pendekatan "soft landing" untuk menyesuaikan perubahan dasar akan diputuskan oleh Jamaah Menteri pada Ogos 2009.

Keputusan bahawa PPSMI diperingkat rendah akan berakhir pada 2014 manakala di peringkat menengah pada 2021 sudah muktamad dan tidak seharusnya diungkit-ungkit lagi.

Sebenarnya pakar bahasa maseh tidak puas hati dengan keputusan kerajaan kerana mahukan PPSMI dimansuhkan serte merta.  Lagi lama PPSMI dilaksanakan lagi lama kesan negatifnya kepada pelajar terutama di sekolah kawasan luar bandar.

MBMMBI itupun maseh dipersoalkan kerana ia terpaksa digubal setelah suara lantang para ahli bahasa dan pendidik berulang-ulang kali menyatakan bahawa pendekatan pengajaran bahasa Inggeris perlu diperbaikki dan bukan mengganti bahasa pengantar Bahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains dengan Bahasa Inggeris.

Apakah sebenarnya niat kumpulan ini yang terus mahu memanaskan semula isu pemansuhan PPSMI.  Mereka bukan mewakili suara majoriti.  Suara majoriti yang telah turun ke jalanraya sebagai tanda penolakkan dasar PPSMI  bukan kecil. Oleh itu tidak pantas kumpulan kecil ini terus menerus cuba menjuarai PPSMI.

Ada apa sebenarnya kumpulan yang beria-ia benar mahu mencabar pemansuhan PPSMI ini. Adakah hanya kerana mahu anak mereka dari keluarga kelas menengah yang berkemampuan belajar bahasa Inggeris dijadikan kebanggaan untuk mereka namun di atas pemangsaan jutaan anak penduduk  di luar bandar? Kenapa begitu kerdil jiwa dan minda mereka tidak yakin bahawa dengan bahasa Melayu bangsa ini boleh maju ?

Kami menegaskan selagi persoalan tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu tidak diatasi selagi itu penyakit ini akan terus jadi barah dikalangan golongan ini. Bahawa rakyat Negara ini tetap boleh maju setaraf dengan mana-mana Negara maju yang lain , melalui penguasaan Bahasa Melayu , hanya dapat diubati sekiranya mereka dapat keluar dari kepompong minda terjajah.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

No comments: