Saturday, December 1, 2012

PAU dan bala tenteranya



Matlamat PAU dan misi bala tenteranya.


Di kedai-kedai kopi di seluruh pelosok negara,  ramai sekali jaguh bersyarah bersyarah,  berpidato, saling bertegang leher malah kekadang menyinsing lengan berhujah mempertahankan perihal kebaikan partinya jika dibandingkan dengan parti lawan. Contohnya di Kampung Kepala Bukit, Bukit Meriam atap rumbia warung Haji Wahab katanya, ya katanya telah berterbangan dek tempik soraknya Mat Jusoh si tukang rumah mempertahankan tindakan pemimpin partinya mendoakan kehancuran parti musuh.  Namun begitu tak ada sesiapa pun yang ambil peduli kecuali mungkin Mat Nan yang duduk bersebelahan Mat Jusoh yang sangat tidak enak kerana begitu kerap direnjis-renjis air liur berperisa petai.  Tak ada sesiapa yang ambil peduli akan hujah-hujahnya Mat Jusoh walaupun hujah-hujahnya kekadang mantap dan masuk akal jua.  Dan  yang selama ini melaut-laut meluatnya terhadap Mat Jusoh,  semakin bertimbun-timbunlah rasa meluatnya itu. Ertinya Mat Jusoh si penyokong kuat Pakatan Rakyat tidak dipedulikan kerana Mat Jusoh itu hanyalah seorang tukang rumah Kepala Bukit, Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, Kedah. Titik.  (Nota: Haji Wahab terpaksa semat atap rembia yang baru.)

  
2.

Aku telah lama tidak pedulikan tv dan telah bertahun-tahun pula mogok membaca akhbar, apatah membeli akhbranya perdana. Sesekali kutontoni jua cerita Tamil hujung minggu yang tepu hingar bingar leluconnya yang tak kufahami maksudnya tapi kunantikan kemasan plot sehingga ke penghujungnya. Anak-anak dan isteri pelik mengamati kegemaranku tapi akhirnya mereka juga ikut-ikutan nonton cerita-cerita Tamil.  Ketika Persidangan Agung itu (PAU, tulis para penulis laman-laman digital) sedang berlangsung aku tidak peduli apakah dan bagaimanakah peristiwa itu-ini sedang terjadi.  Namun di laman-laman maya kubaca bahawa Pas keronyok habis-habisan, siang malam pagi dan petang oleh segenap lapisan peserta PAU, mulai dari para generalnya sehinggalah ke laskhar berjalan kakinya.  Mengikut teorinya teman Paksi-CAP, Pak Herry Nurdi semakin seseorang orang atau organisasi itu dihentam, maka semakin kuatlah ia jadinya.  Dan itu juga adalah petanda yang cukup jelas bahawa seseorang orang atau organisasi itu semakin gagah.

Makanya jika tuan bertanya kepadaku, apakah matlamat PAU yang baru lalu?  Ya, bagiku ia tak punya matlamat apa-apa KECUALI mahu menggagahkan (maaf, geli rasanya nak pakai per...yang itu) lagi Pas.



No comments: