Apakah yang
tercicir dari cerapan PAU?
Harga barang-barang
keperluan harian semakin hari, kian meningkat. Ikan bukan lagi hidangan yang murah yang boleh
dinikmati oleh sesiapa saja, di mana
saja. Sepotong ikan jenahak gulai kacang bendi tidak akan kurang daripada lima
ringgit seketul. Namun kereta-kereta
mewah masih jua memecut di lebuh-lebuh raya seolah-olah dipandu setan-setan resah,
lagaknya terkejar-kejar mencari jamban. Pemandu
teksi itu terus-terusan bertungkus lumus, lapan jam sehari demi untuk menyediakan sesuap
nasi buat dua buah mulut kecil dan isteri tersayangnya. Janjinya sejak mendirikan rumah tangga kepada
isteri, ‘seutas rantai tangan barang
segram dua’ belum jua terkotakan. Susu
tepung bayi tidak ada yang lebih murah daripada dua puluh ringgit setin. Seorang guru perempuan menelan sedu kerana
susu badannya yang penuh khasiat itu tidak dapat dimanfaatkan anaknya kecuali
pada hari-hari cuti umum. Saban pagi dia
meredah pelbagai belantara batu untuk mendidik.
Air matanya tergenang pabila terkenang iltizam suami tersayang: “Jika
kita lebih rezekinya, adinda tak perlulah mengajar lagi. Jagalah anak kita sendiri.” Wang kertas lima puluh ringgit walaupun berwajah
baru sudah seperti dan menjadi sepuluh ringgit nilainya. Mereka yang hanya mampu membanting tulang
empat kerat dan bilangan anaknya melebihi empat orang, amat terasa betapa payahnya
meniti kehidupan ini.
Apakah yang
tercicir daripada cerapan PAU?
Anak-anak muda
yang baru bekerja ― setelah
puas bertungkus lumus mengejar ijazah dan bersusah payah pula memburu pekerjaan,
berfikir panjang yang mana satukah yang
perlu didahulukan. Berkahwin, membeli
rumah, (beli rumah?), membeli kereta atau yang mana satukah yang mau kudahulukan? Yang bijak, tebal kulit mukanya tapi panjang akalnya
memilih memanjat bas, menunggu LRT, menunggang kapcai buruk semasa di kampus dulu
atau pun menumpang kawan. Dia tekun menabung untuk mengelak dikejar
hutang kad kredit.
Apakah yang
tercicir daripada cerapan PAU?
Bahawa sesungguhnya
rakyat menderita menjalani kehidupan ini.
Bahawa mereka, para ahli ekslusif PAU masih jua terlalu asyik bersandewara,
berlakon, berbohong, berdusta dan berlakon, merompak dan tetap riuh rendah mencari
akal bagaimana mau membedak-bedakkan hasil rompakan. Dan rakyat kecil itu pun terus tertanya-tanya
dari mana datangnya sekian ramainya warga asing di sekeliling mereka. Siapakah yang telah membuka pintu pagar yang
sekian lama dikawal rapi itu?
Bahawa ramai
rakyat begitu sedih dan muram, resah-gelisah, takut dan bimbang dengan masa depan yang tidak
bermasa depan itu. Dan mereka pun sentiasa
saja bertanya sesama sendiri: Apakah yang sedang, sudah dan akan berlaku lagi? Reba, bala dan musibah apa lagikah yang bakal
datang bertimpa-timpa dan di manakah salah silapnya kita sehingga semua ini sampai
terjadi?
Dan, seperti
biasa mereka ― para
ahli kelab elit lagi ekslusif yang bernama PAU ini ― terus jua bertempik-tempik:
Wahai pembangkang, celakalah kamu!
No comments:
Post a Comment