Dinsman (Artikel
362, 11/1)
Nik Aziz mahu artis manfaatkan bakat
Sempena sambutan
Maulidur Rasul tahun ini, Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan
mencadangkan satu agenda baru untuk dibuat di Kota Bharu, iaitu agenda yang
belum pernah dibuat sebelumnya bagi menyambut hari mulia itu, dan agenda baru
ini melibatkan artis-artis dan selebriti yang ramai menyertai parti PAS
akhir-akhir ini.
Telah beberapa
kali disuarakan oleh beberapa pihak mengenai artis-artis pelakon dan penyanyi
yang apabila masuk PAS mereka disambut dan diraikan di sana sini, dan mereka
diminta berceramah atau bersyarah di depan umum, tidak berlakon atau menyanyi,
seolah-olah mereka sudah meninggalkan bidang yang bakat mereka di bidang itulah
asalnya menyebabkan mereka menjadi mereka, iaitu insan seni yang dikenali dan
diminati ramai.
Demikianlah
selalunya. Banyak orang atau pihak yang menyuarakan atau menyatakan tak puas
hati terhadap sesuatu. Tetapi jarang ada orang atau pihak yang mahu tampil
menganjurkan atau melakukan sesuatu yang relevan dengan apa yang disuarakan
itu, termasuklah hal artis-artis yang ramai menyertai PAS ini. Rupa-rupanya Tok
Guru Nik Aziz jugalah yang tampil dengan idea dan cadangan melakukannya.
Bagi memanfaatkan
kehadiran ramai golongan artis pelakon dan penyanyi itu, Tok Guru Nik Aziz
mencadangkan supaya dilakonkan suatu kisah atau peristiwa di zaman Nabi, dan
Tok Guru Nik Aziz sendiri telah memilih peristiwa yang difikirkannya sesuai
untuk tujuan tersebut, iaitu peristiwa menantu Rasulullah saw, Abul ‘As (yang
berkahwin dengan Zainab puteri sulung baginda) yang pada mulanya enggan
menyahut seruan Islam tetapi kemudian telah membuat kejutan di kalangan
orang-orang kafir Quraisy dengan mengisytiharkan dirinya memeluk Islam di
hadapan mereka.
Mendengar rancangan
ini diceritakan oleh Wan Nik (Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan)
di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya jadi terharu. Tidak menduga bahawa perkara
seperti ini pun harus datang daripada ‘orang tua’ itu juga. Mengajak
artis-artis berkumpul bagi menjayakan sebuah program yang boleh ditonton oleh
orang ramai. Pun tidak ada orang lain yang boleh menggerakkannya. Mesti Tok
Guru Nik Aziz juga yang melakukannya!
Saya terharu,
sangat gembira dan dalam masa yang sama berasa sedih juga. Sangat gembira
kerana Tok Guru Nik Aziz mengemukakan suatu idea yang begitu berani dan bererti
dalam dunia seni-budaya yang menjadi bidang perjuangan saya.
Juga sangat
gembira kerana saya boleh menganggapnya sebagai suatu sokongan dan dokongan
daripada Tok Guru Nik Aziz terhadap perjuangan saya dan rakan-rakan dalam Seniman
Paksi Rakyat, lebih-lebih lagi pada waktu yang Paksi sedang berasa direndahkan
oleh pihak pimpinan politik tertentu (yang membuat keputusan semula
mengurangkan bajet ke atas keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya).
Dan dalam masa
yang sama saya berasa sedih juga kerana masih tidak ada orang lain selain Tok
Guru Nik Aziz yang mampu tampil dengan idea seni-budaya yang begitu berani dan
radikal. Sepatutnya idea yang berani begitu datangnya daripada orang muda.
Apalagi ini bidang seni-budaya, yang menyentuh dunia artis-artis di kalangan
orang muda. Di mana perginya tenaga-tenaga muda di dalam PAS dan Pakatan
Rakyat?
Tidak mengapalah.
Apa pun, saya bersyukur dengan perkembangan terbaru ini. Mengikut cerita Wan
Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Tetapi katanya Tok Guru
Nik Aziz sudah menyebut nama-nama seperti Bob Lokman, Hairi Othman, Abby Abadi,
Aishah dan beberapa orang lagi, bahkan juga Sasterawan Negara A Samad Said,
yang diharapkannya boleh menyumbang ke arah menjayakan rancangan tersebut.
Saya tidaklah
begitu teruja sangat dengan kemungkinan akan menonton artis-artis tersebut
berlakon teater. Pada tahun 80-an dulu lagi saya sudahpun terlibat dengan artis-artis
berlakon teater apabila pelakon-pelakon asal filem “Esok Untuk Siapa” semuanya
melakonkan semula watak-watak mereka dengan cara dan gaya teater, dalam
pementasan “Esok Untuk Siapa – dari filem ke teater”.
Artis-artis yang
terlibat dalam teater arahan saya waktu itu ialah Jins Shamsuddin, Noor
Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Latiff Ibrahim, Norizan, Umi Kalthum dan S Romai
Noor.
Sekarang apa yang
menjadikan saya teruja ialah penglibatan Tok Guru Nik Aziz itu sendiri dalam
dunia teater. Seorang tokoh politik dan tokoh ulamak. Dalam usianya yang begitu
lanjut pula! Dan dia bercakap mengenai perkara ini, perkara seni-budaya ini,
pada waktu orang-orang lain khasnya orang-orang politik tengah sibuk bercakap
soal politik dan pilihanraya umum ke-13, dan soal Pakatan Rakyat akan menawan
Putra Jaya.
Ketika
orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai tokoh-tokoh pembawa masadepan
Malaysia yang baru itu sedang sibuk dengan hal-hal politik dan ambilalih kuasa
sebuah negara, sehingga tidak ada waktu walaupun sekejap untuk bercakap atau
berbincang soal seni-budaya, tiba-tiba Tok Guru Nik Aziz seorang yang dari
kalangan tokoh-tokoh itu juga, mengajak para artis, seniman dan budayawan untuk
sama-sama bekerja menjayakan sebuah pementasan teater, sempena sambutan
Maulidur Rasul.
Oh alangkah
absurdnya, dan Avant-garde sungguh! Apakah teater yang dirancangkan itu akan
menghasilkan sebuah karya yang hebat atau tidak – itu satu soal lain. Apabila
saya menceritakan perkara ini kepada Kassim Muhamad, dia juga teruja dan
bertanya bagaimana Paksi mungkin dilibatkan? (Saya pun tak tahu).
Ya, seperti yang
diceritakan oleh Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan.
Namun kita maklum Maulidur Rasul tarikhnya sekitar 24 Januari. Tidaklah lama
lagi. Hanya dua minggu sahaja lagi. Mungkinkah dihasilkan sebuah “teater yang
teater’ berdasarkan kepada cerita di kalangan anggota keluarga Rasulullah saw
itu?
Sama-samalah kita
nantikan perkembangannya!
No comments:
Post a Comment