Dinsman (Artikel
366, 4/2)
JBS ubah tanggapan negatif kepada positif
Ada banyak hal
yang menarik sepanjang tiga hari dua malam Jelajah Budaya Selangor siri ke-4
(JBS-4) di Kuala Kubu Baru, 29-31 Januari. Ia anjuran bersama Seniman Paksi
Rakyat (Paksi) dengan Persatuan Seni dan Sastera Malaysia (Sesama), dengan
kerjasama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Perbadanan Menteri Besar
Selangor (MBI).
Tak tahu yang
mana nak saya wacanakan dalam tulisan ini. Sembilan program atau acara, berlangsung
di enam lokasi berbeza; dan ada lagi acara sampingan, seperti ziarah ke rumah
pelukis Mansor Ab Aziz melihat koleksi lukisan-lukisan cat airnya itu, ziarah
ke rumah Antares (Kit Lee) di perkampungan orang asli di Pertak; juga ziarah ke
rumah Hj Mohd Idris Mohd Yusoff, rumah Tok Empat Hairi Mohd Sab dan rumah Dr
Napie Mat sebagai sebagian proses kajian mencari Tokoh Budaya Daerah.
Kisah perjalanan
hidup Hj Idris Mohd Yusoff yang dipilih sebagai Tokoh Budaya Daerah Hulu
Selangor itu sendiri pun, sangat menarik. Dan hebat kisahnya. Dia pernah
menjalankan usaha penerbitan album lagu-lagu Melayu di bawah labelnya sendiri,
syarikat Gedung Muzik Nusantara. Penyanyi-penyanyinya seperti Taufik Hj Ali,
Nik Sinar Suria, S Ahmad. Dan sekarang di usia 78 tahun masih gigih mengusahakan
kraf tulisan khat di atas daun ara.
Kisahnya panjang,
seperti dibacakan oleh Kassim Muhamad dari tulisan Nasser Mohamed pada ‘Malam
Jelajah Budaya’ yang dilangsungkan di atas jalanraya pekan Kuala Kubu Baru, 29
Januari, dalam suasana pasar malam itu. Anugerah disampaikan oleh Yang
Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor sendiri, Tukiman Nail – seorang pentadbir
yang minatnya terhadap seni-budaya sangat terserlah dalam penglibatannya
menjayakan JBS-4.
Demikian juga
dengan komitmen Ridzuan Mohd Idris dari persatuan Sesama – daripada detik dia
mencetuskan idea untuk membawa JBS ke Kuala Kubu Baru dua bulan dahulu
hinggalah ke saat dia memeluk saya sebaik sahaja selesai sesi terakhir pada
tengahari Khamis (Himpunan Rumpun Melayu), kerana berasa sangat lega dan
gembira berakhirnya kerisauan dan kebimbangan mendepani pengurusan program ini.
Dialah, dengan
dokongan kuat YDP Tukiman Nail, faktor utama yang mencorakkan kelainan program
JBS di Kuala Kubu. Tanpa mereka berdua tak mungkin ada acara seperti Pameran
Lukisan, Himpunan Rumpun Melayu, dan juga Majlis Pelancaran (yang disempurnakan
oleh Senator Syed Shahir Syed Mohamud).
Banyaklah
sebenarnya perkara yang menarik dan penting telah kami kutip dan rekodkan
sepanjang program di Kuala Kubu, juga sepanjang empat siri JBS setakat ini. Lebih
banyak daripada yang dijangkakan. Saya jadi sedar perkara ini ketika berbincang
santai dalam sesi Dialog Budaya yang diadakan di Rumah Rehat KKB, petang hari
pertama. Turut hadir Prof Shaharir Mohd Zain, yang sebelum itu telah
menyempurnakan sesi kuliah ilmunya di Darul Quran.
Memang banyak
cabarannya. Dan setiap kali kami berbincang bagi menghadapi cabaran-cabaran
itu, Ridzuan selalu menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikannya. Terima
kasih Ridzuan!
Sesi berinteraksi
dengan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar KKB, bersama
Siti Zainon Ismail, Kassim Muhamad, Pyanhabib dan Nasser Mohamed, dalam sesi
Wacana Buku di Perpustakaan KKB, juga suatu pengalaman yang sangat menarik,
meriah dan berfaedah. Pertama kali diadakan dalam JBS, dengan kerjasama
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pejabat Pelajaran Daerah
(PPD). Menyemai bibit-bibit cintakan sastera, bahasa yang indah, di kala mereka
masih rebung – ternyata suatu program yang perlu diteruskan lagi dalam siri JBS
seterusnya.
Teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) yang
sudah berkali-kali dipentaskan itupun, mendapat kesegarannya kembali di
Auditorium Darul Quran malam 30 Januari, walaupun itu mungkin kali yang ke-60
ia dipentaskan. Mengapa? Pertama, kerana ia dilakonkan oleh seorang pelakon
baru yang sangat berbakat; dan kedua, kerana ia tidak diarahkan oleh Dinsman
tetapi kali ini diarahkan oleh Sani Sudin (yang sudah 60 kali bermain bersama
Sabri Yunus dan Bob Lokman).
Saya sudah
melihat bakat besar pelakon baru ini, Nizam Yamin, sewaktu dia melakonkan watak
Sultan dalam teater Tamu Dari Medan
Perang awal Disember lalu. Maka saya menawarkan dia watak Kaab dalam MKDT.
Dia menyambutnya, tetapi saya pula kebetulan tak dapat memberikan waktu yang
cukup untuk latihan. Syukurlah Sani Sudin menyanggupinya.
Dan malam itu
adalah pementasan pertama bagi mereka. Saya juga menontonnya buat pertama kali.
Dan saya sangat gembira dengan hasilnya. Sangat memuaskan. Terutamanya pada
adegan Kaab bermunajat dan bertaubat memohon ampun dan menyerah diri – pasrah –
kepada Allah. Nizam menyebut setiap patah perkataan dalam adegan itu dengan
jelas dan sarat emosi. Dan dia mengambil masa yang lebih lama daripada
pelakon-pelakon sebelumnya. Ternyata sangat mengesankan.
Hanya satu sahaja
komen yang ingin saya nyatakan di sini. Lakonan sedihnya itu agak berlebihan.
Ada tempat-tempatnya yang dia sepatutnya tak perlu bersedih. Biar penonton yang
merasakan kesedihan itu. Jangan pelakon terlalu menonjolkan kesedihan.
Tetapi itu
pementasan pertama. Berbeza dengan pementasan pertama Sabri Yunus dulu, dia
kurang menunjukkan kesedihan. Namun selepas itu sedikit demi sedikit berlaku
penyesuaian pada emosi dan penghayatannya. Nizam barangkali akan mengalami
proses yang sebaliknya.
Demikianlah,
sembilan acara dalam satu program Jelajah Budaya, yang berbeza dari kebiasaan.
Suatu proses untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap seni-budaya, berubah
daripada yang negatif kepada yang positif. Insya Allah!
No comments:
Post a Comment