Teater
(Peristiwa bukan
apa-apa dalam Negara Satu Maling Sia-Sia)
Teater? Ia bukanlah sesuatu yang menerujakan; ia peristiwa
main-main yang bukan peristiwa. Suatu
episod ‘ a make-belive non-event’ dalam kehidupan manusia yang hanya layak digilai
oleh peminat setia teater atau mereka yang punya banyak masa untuk bersantai dengan
membuang masa menonton sisi-sisi kehidupan mereka dilakonkan semula. Teater ― ah, sesuatu yang membosankan, boring. Jika
dibandingkan dengan peristiwa bola sepak atau bal-balan kata orang-orang Jawa, misalnya
siri EPL (English Premier League), teater tak punya nilai apa-apa untuk dibawa
dalam kehidupan kita.
2.
Dalam mesyuarat
Pasca MMK, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, seorang Exco mengumumkan bahawa bosnya,
Sang Menteri Besar telah mengumumkan
bahawa beliau mahu kisah Islamnya menantu Nabi Muhammad S.A.W (peace be upon
Him), Abul ‘As Rabi’ suaminya puteri sulung baginda Zainab, diteaterkan.
Bagi segala peggiat,
pengkaji, peminat, pemerhati, seniman, budayawan, mahaguru dan segala makhluk
yang menghuni bumi kita, peristiwa ini begitu menerujakan. Ternyata mereka cukup gembira dengan gagasan
ini. Di fakulti-fakulti teater, mahaguru-mahaguru seni lakon membicarakan
peristiwa ini dengan penuh minat. Don Kong
Kang sang penggiat teater terunggul di Fakulti Seni Merupa Universiti Gelam
Gabut, Kota Metropolitan telah mengarahkan mahasiswanya mengkaji pelbagai aspek
peristiwanya. Dia mahu supaya episod sirahnya
diteliti oleh anak didiknya dari pelbagai sumber, dengan satu pesanan: Kenapakah
Sang Menteri Besar mahukan episod ini diteaterkan? Semalam, tatkala mahasiwa paling nakal dalam kelasnya
bertanya, “Prof, kenapa Prof tak pernah fikirkan peristiwa sirah seperti ini?”
mahu dilempari muka anak itu dengan sebuntil nota kuliah yang tak pernah
diremajakan selama dia bergelar pensyarah kanan.
3.
Di
tengah-tengah kesibukan bersiap sedia untuk bertempur dengan Parti Satu Maling
Sia-Sia dalam PRU13 yang sudahpun di ambang pintu, Exco yang bertanggungjawab untuk
melaksanakan ‘projek’ teater ini mengumumkan bahawa teater bakal dipentaskan
bersempena Maulid Nabi di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Dan belum pun selesai sesi media khasnya, segala pengurusan kanan hotel berbagai-bagai
bintang sudahpun beratur untuk memperolehi hak istimewa mementaskan teater tersebut
di hotel mereka. Madam Ma Yuen-Yuen,
pengurus sektor pelancongan Hotel Pelancongan sudahpun membayangkan limpahan
dan kebanjiran para pelancong luar negara sebaik saja berita tentang acara ini
dimuat ke laman maya hotelnya.
4.
Berbulan-bulan
menjelang 15 Mac 2013, maka diperkatakan oranglah di segala pelosok negara tentang
peristiwa teater Abul ‘As ini. Sesungguhnya
sebelum tiba saat pementasannya, seluruh dunia teater merasakan betapa perlahannya
masa berlalu ― seperti
rayapnya siput. Dan tatkala tiba
saatnya, para pemandu teksi, penarik beca, gelandangan, peminta sedekah pun pada
berpusu-pusu di hadapan layar-layar gergasi menantikan saat-saat pementasan
teater Abul ‘As – Menantu Nabi. Dunia hiburan,
dunia sukan, segala dunia glamour dan bukan glamour et al terhenti sejenak untuk
menonton teater. Pada 15 Mac 2013, seluruh
rakyat Negara Satu Maling Sia-Sia mahu menyantuni jiwanya dengan hidangan yang lazat.
No comments:
Post a Comment