Tuesday, April 16, 2013

Kriteria Kemajuan



Dinsman (Artikel 373, 12/4)
Kriteria maju: Pertumbuhan ilmu baru


Kuliah di Surau Jenaris Kajang malam 6 April lalu ialah yang keenam dalam siri Kuliah Ilmu Jelajah Budaya Selangor (JBS) yang disampaikan oleh Prof Shaharir Md Zain, berjudul “Bagaimana al-Quran kini menjadi sumber ilmu”. Kuliah yang disampaikan selepas solat maghrib itu dihadiri oleh kira-kira 250 orang. Monograf yang disediakan sebanyak 200 naskah terpaksa difotostat tambah.

Saya mengikuti hampir semua kuliah dalam siri itu, bermula di Klang, diikuti di Rawang, Tg Karang, Kuala Kubu Baru dan Sg Besar. Hanya yang di Sg Besar saya tak hadir. Manakala JBS6 di USJ1 Subang Jaya pada 3 April memang tidak diadakan Kuliah Ilmu. (Mungkin akan diadakan kemudian).

Ada satu perkara disebut oleh Prof Shaharir dalam kuliahnya di Surau Jenaris itu, yang sangat menarik perhatian saya. Ia tidak pernah disebut sebelumnya. Kalau disebut di Sg Besar itu saya tak tahu. Namun apa pun bagi saya itulah pertama kali saya mendengarnya. Shaharir mengatakan bahawa pada pendapatnya sesebuah negara itu dianggap sebagai negara maju bukan kerana pendapatannya tinggi, tetapi kerana masyarakatnya mampu melahirkan ilmu-ilmu baru.

Kuliah Shaharir yang dibawa bersama dalam setiap siri Jelajah Budaya Selangor (JBS) anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu ialah mengenai ilmu, khasnya ilmu di kalangan orang Islam. Sebagai seorang sarjana Shaharir terlebih dahulu menjelaskan makna ilmu dan perbezaannya dengan makna ‘sains’ yang dipelopori oleh masyarakat Barat, dan kebenaran di dalam kedua-duanya serta perbezaan makna kebenaran di antara kedua-duanya.

Pentingnya kuliah Shaharir ini kerana ia membawa penjelasan terhadap suatu perkara yang selama ini tidak disedari oleh umat Islam di zaman moden ini, iaitu kecenderongan di kalangan ramai ilmuwan Islam mencari dalil-dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan penemuan-penemuan oleh ahli-ahli sains Barat, yang kebanyakan mereka (saintis Barat itu) tidak percaya kepada Tuhan.

Shaharir yang banyak menghasilkan buku-buku sains, matematik dan kepemimpinan itu menjelaskan bahawa penemuan di bidang sains bukanlah sesuatu yang pasti benarnya; sedangkan kebenaran yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran itu adalah kebenaran yang pasti, kerana ia wahyu daripada Allah SWT. Maka kenapa kita menggunakan ayat al-Quran untuk membenarkan sesuatu yang belum pasti kebenarannya?

Dan soalan yang lebih penting lagi: Kenapa kita menggunakan kebenaran al-Quran yang mulia dan suci itu untuk menyokong penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh para saintis barat yang tidak percaya kepada Islam?

“Sepatutnya kita menggunakan ayat-ayat al-Quran ini untuk mengkritik penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh saintis bukan Islam itu dan dalam masa sama kita juga hendaklah mengemukakan penemuan atau penyelesaian kita berdasarkan ilmu-ilmu dari al-Quran,” kata Shaharir.

Dan Shaharir bukanlah sekadar bercakap. Dia telahpun membuktikan dan mempraktikkan cakap-cakapnya itu.

Malam 6 April di Surau Jenaris Kajang itu saya dapati Shaharir agak berbeza daripada sebelumnya. Dia bukan sahaja mengkritik dan mempersoalkan sikap ilmuawan-ilmuwan Islam yang selama ini menggunakan ilmu-ilmu al-Quran secara salah, dan menunjukkan jalan betul yang sepatutnya diambil; malah dia juga menyeru agar ilmuwan-ilmuwan Islam mengambil langkah untuk berada di hadapan.

Bukan mentafsir ayat-ayat al-Quran bagi menyokong dan membenarkan penemuan-penemuan yang dibuat oleh saintis Barat, tetapi menggali ilmu-ilmu yang masih rahsia di sebalik ayat-ayat al-Quran itu bagi membuat penemuan-penemuan baru, mendahului para saintis bukan Islam di seluruh dunia.

Dalam konteks itulah Shaharir mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai masyarakat maju selagi kita bersikap sekadar membenarkan penemuan-penamuan ilmu yang dibuat oleh orang lain (bukan Islam). Kita hanya akan mencapai tahap masyarakat maju sekiranya kita mampu untuk melahirkan penemuan-penemuan baru kita sendiri, ataupun melahirkan ilmu-ilmu baru.

Shaharir juga menjelaskan bahawa makna kemajuan dan tahap negara maju itu pun, mengikut al-Quran berbeza dengan yang difahami oleh kebanyakan orang sekarang. Bukan pendapatan tinggi yang menentukan sesebuah negara dan masyarakat itu telah mencapai taraf maju atau tidak. Bagi beliau sendiri, kriteria yang menentukan sesuatu masyarakat itu maju ialah kemampuan masyarakat itu untuk melahirkan ilmu-ilmu baru.

Sebelum itu beliau telah menjelaskan makna dan perbezaan makna ilmu di dalam Islam dan di dalam tamadun Barat. Di dalam Islam, kata Shaharir, ilmu itu mendekatkan manusia kepada Tuhan. Maka masyarakat yang maju itu ialah masyarakat yang mampu melahirkan ilmu-ilmu baru, yang boleh mendekatkan manusia kepada Tuhan (Allah)

Memang Shaharir menyampaikan kuliahnya itu berdasarkan teks yang telah disediakannya, yang diterbitkan oleh Paksi dalam bentuk monograf, dan disebarkan kepada khalayak pada setiap sesi kuliahnya. Namun sebagai seorang sarjana yang kreatif Shaharir tidaklah bergantung sepenuhnya kepada teks yang disediakan lebih awal itu. Teks itu hanya panduan sahaja kepadanya, dan supaya menjadi rujukan kepada khalayaknya.

Barangkali khalayak di Surau Jenaris itu pun agak berbeza juga daripada khalayak-khalayak sebelum ini. Terdapat ramai golongan ilmuwan juga di kalangan khalayak surau itu. Itulah agaknya yang mendorong Shaharir untuk mewarnai kuliahnya seperti yang saya jelaskan di atas itu.

Apa pun, malam itu saya melihat Shaharir telah menanam suatu benih yang saya percaya akan tumbuh dan membesar untuk memberi manfaat kepada umat Islam hari ini. Shaharir juga telah membuka suatu medan baru untuk kita. Apakah itu dilakukannya sempena dengan menjelangnya PRU13?  

Wallahu-ak’lam!

 

No comments: