Dinsman (Artikel
379, 13/5)
Kelantan selepas Tok Guru Nik Aziz
Ini sesuatu yang
tidak dijangka. Mungkin Datuk Ahmad Yaakob dan kawan-kawannya dalam saf Exco
lama sudah diberitahu oleh Tok Guru Nik Aziz akan hasratnya hendak berundur
itu. Tetapi bagi kita orang awam yang mengikuti berita melalui media massa,
kita membaca berita Tok Guru Nik Aziz mengulangi kenyataannya akan terus
berkhidmat hingga ke akhir hayat, atau selagi dikehendaki oleh parti dan hanya
akan berundur apabila dinasihati parti supaya berbuat demikian.
Tiba-tiba setelah
menang PRU13 kita mendapat berita Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar
sebelum ini, mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Kelantan. Tiada lagi Tok Guru
Nik Aziz. Memang itu berita yang mengejutkan, walaupun proses pertukaran itu
berlaku begitu bersahaja dan tanpa apa-apa peristiwa atau kejadian yang luar
biasa.
Kita sudah lama
maklum akan keadaan Tok Guru yang sudah lanjut usia, dan keadaan fizikalnya pun
sudah agak uzur, dan kesihatannya pun sering terganggu. Tetapi dari segi lain,
kemampuan minda dan ideanya masih kelihatan segar dan up-to-date, sentiasa selari dengan perkembangan masa.
Terakhir
misalnya, beberapa minggu sebelum Parlimen dibubarkan, Tok Guru meminta saya
menghasilkan sebuah teater kisah Abul ‘As menantu Rasulullah saw, dengan
melibatkan ‘artis-artis hijrah’ sebagai pelakon. Teater itu pun (Pengisytiharan Abul ‘As) dipentaskan di
hotel Grand Riverview Kota Bharu, pada 15 Mac.
Pementasan teater
itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah perkembangan seni-budaya,
khasnya teater Islam di negara ini. Buat pertama kalinya PAS dan Kerajaan PAS
Kelantan (melalui TG Nik Aziz) secara rasmi membenarkan perempuan berlakon
bersama lelaki di atas pentas, di hadapan khalayak umum lelaki dan perempuan.
Sebelum itu tidak dibenarkan. Maka itu adalah suatu pemikiran baru dari TG Nik
Aziz, yang membuka ruang yang luas untuk kegiatan seni teater dalam masyarakat
Islam.
Dan beberapa hari
selepas itu saya menerima telefon daripada Pusat Kajian Strategik Kelantan meminta
beberapa tarikh yang dapat saya luangkan untuk ke Kota Bharu, kerana TG Nik
Aziz meminta supaya diadakan majlis bicara buku mengenai buku terbaru saya Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaaan.
(Beliau melancarkan buku ini pada malam pementasan teater Abul ‘As itu). Rancangan
bicara buku itu walau bagaimanapun tak sempat diadakan kerana Perdana Menteri Najib
membubarkan Parlimen pada 3 April.
Jadi, pengunduran
TG Nik Aziz secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Walaupun
kita tahu dia sudah lama menjadi Menteri Besar (hampir 23 tahun) dan pada
bila-bila masa sahaja dia mungkin akan mengundurkan diri (kerana sebab-sebab
yang munasabah), namun berita pengundurannya itu tetap memberi kejutan. Sebab
apa? Sebab kita masih memerlukan sumbangan idea dan pemikirannya yang sentiasa
segar, berani, mengikuti peredaran zaman, dan dibuat berdasarkan ilmu Islamnya
yang luas dan mendalam.
Sekarang TG Nik
Aziz sudah tiada lagi di Kelantan sebagai Menteri Besar. Kelantan sekarang
sudah tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513 (5 Mei 2013). Kita tidak
tahu sebenarnya apakah Kelantan akan terus kekal sepertimana ia di bawah
pentadbiran TG Nik Aziz, atau akan menjadi lebih baik, atau bagaimana. Namun
kita tetap merasakan Kelantan selepas ini akan tidak sama lagi dengan Kelantan
sebelum 5513.
Bukan kita
mengatakan Ahmad Yaakob tidak layak menjadi Menteri Besar Kelantan. Bukan.
Ahmad Yaakob memang layak, dan dia mungkin membawa Kelantan menjadi lebih baik
lagi selepas ini. Kita mengatakan Kelantan selepas ini tidak sama lagi dengan
Kelantan sebelum ini hanyalah semata-mata kerana kuatnya imej TG Nik Aziz yang
telah melekat dalam kepala dan hati kita selama ini.
Ingat Kelantan
sahaja kita terus terbayangkan sosok tubuh TG Nik Aziz. Dan sekarang apabila
ingat Kelantan, bayangan sosok tubuh kecil yang berwibawa sebagai Tok Guru itu
(atau sebagai orang tua tempat kita boleh mengadu, walaupun kita tidak mengadu
pun) sudah tiada lagi sebagai Mentri Besar Kelantan. Itu saja. Tapi sungguhpun
begitu, ia sangat mengesankan, buat masa ini.
Kita terasa
kehilangan. Walaupun kita tahu dia ada, di rumahnya di Pulau Melaka, tapi kita
tetap merasakan kehilangannya sebagai sosok pemimpin yang lembut dan mesra di
tengah-tengah permasalahan masyarakat.
Saya, dan bersama
kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), mempunyai beberapa rancangan yang
dicadangkan akan dibuat melibatkan TG Nik Aziz. Antaranya ialah seminar
serantau mengenai model pentadbiran negara Islam dengan tumpuan kepada
Kelantan, yang dicadangkan dibuat Julai ini, melibatkan wakil-wakil dari
Indonesia, Selatan Thailand, Kemboja, Filipina dan Brunei. Ia belum dimaklumkan
kepada kerajaan negeri Kelantan. Cadangnya akan dimaklumkan pertengahan bulan
ini.
Satu lagi
rancangan ialah pembukuan tafsir seluruh al-Quran oleh TG Nik Aziz. Telah lama
TG Nik Aziz selesai mensyarahkan tafsir seluruh al-Quran 30 juzuk itu, tetapi
ia belum dibukukan. Ia tersimpan dalam tape
dan CD, tetapi tidak terkumpul. (Perlu diusahakan pengumpulannya juga). Yang telah
dibukukan hanya Tafsir Surah Yunus, Surah Taubah dan beberapa lagi.
Kami merasakan
tafsir yang lengkap ini perlu dibukukan kerana belum ada pendekatan tafsir
seperti yang disyarahkan oleh TG Nik Aziz. Ia berbeza daripada tafsir-tafsir
oleh Ibnu Kathir, Qurtubi, Maraghi, Syed Qutub dan Hamka. Ia akan berada
sebaris dengan tafsir-tafsir besar al-Quran yang sedia ada itu. TG Nik telahpun
selesai menyiapkannya. Tinggal kita mengusahakan pembukuannya sahaja. Alangkah
ruginya kalau ini tidak dapat dilakukan.
Satu lagi
rancangan kami yang penting bersabit dengan TG Nik Aziz ialah menghasilkan
sebuah filem atau video dokumentari mengenai kehidupannya, untuk disebarkan ke
peringkat antarabangsa.
Sewaktu
pementasan Pengisytiharan Abul ‘As di
Kota Bharu pada 15 Mac dikatakan bahawa pementasan itu ialah suatu pra-tonton (preview). Ertinya belum lagi
pementasannya yang sebenar kepada orang ramai. Pementasan untuk orang ramai
akan dibuat kemudian. Oleh kerana ia adalah program inisiatif TG Nik Aziz
sendiri (Setiausaha Politiknya Wan Nik menjadi penerbitnya), kita tak tahulah
sekarang bagaimana pula kedudukannya. Kita tunggu sahajalah berita daripada
mereka.
Demikian itulah
antara yang kami rancang, berkaitan dengan TG Nik Aziz. Sekarang tidak pasti
samada rancangan-rancangan itu boleh diteruskan atau tidak. Tidak pasti samada
kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob berminat dengan cadangan-cadangan itu.
Namun walau
apapun, minat saya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan masih tetap sama, kerana
saya menganggapnya sebagai model pentadbiran negara Islam yang ada pada hari
ini. Dan saya juga menganggapnya sebagai model pentadbiran yang terbaik di
dunia pada hari ini, dengan beberapa kelemahannya, yang perlu diatasi oleh
pimpinan baru.
No comments:
Post a Comment