Saturday, May 11, 2013

Mimpikan pilihan raya yang lebih telus



Mimpikan tilam fatamorgana
(Ya, mengharapkan pilihan raya yang telus)


(Perhatian: Teks mengandungi sepatah dua perkataan dan ungkapan yang agak kesat tapi belumlah sampai ke peringkat lucah lagi melucahkan.  Jika tuan termasuk kelompok manusia berbudaya tinggi, sila janganlah dibaca teks ini.)   


1.0  Latar belakang

Sejak merdeka dalam tahun 1957, Malaysia telahpun melalui 13 buah pilihan raya umum dan paling mutakhir iaitu yang ke13 ialah pada 5 Mei 2013 yang lalu.  Sebagai parti yang membentuk kerajaan sejak merdeka,  jelas sekali yang ke13 itu paling memeritkan BN/Umno.  Nyata sekali parti bekas anak emas penjajah British ini berhempas pulas untuk mempertahankan kuasanya.  Dan dalam konteks mempertahan kuasa Umno ini, rata-rata rakyat Malaysia yang bermaklumat (internet dll) yang membaca, yang berfikir dan yang tidak pula taksub dengan sesuatu ‘kepercayaan’ (misalnya hanya Umno yang menjaga Melayu) sedar bahawa sesungguhnya Umno/BN telah diselamatkan oleh pengadil pertandingan, SPR, Suruhanjaya Pilihan Raya.  Sekiranya pilihan raya Malaysia benar-benar telus, adil dan saksama sehingga membolehkan pilihan raya Malaysia itu dilaksanakan di padang yang rata, ramai yakin Umno/BN telah lama tumpas.  


2.0  Pihak oposisi mengambil mudah proses pilihan raya yang pincang: Kenapa?

Nota ringkas ini ialah tanggapan sepintas lalu berhubung sikap, cara dan pendekatan serta strategi pihak oposisi dalam memasuki PRU13, khususnya pabila berdepan dengan tingkah laku SPR menggendalikan pilihan raya di padang yang tidak rata itu?  Kita lihat satu dua aspek ‘Bagaimanakah parti oposisi membuat persediaan sebelum memasuki padang’.  Untuk itu kita senaraikan soalan-soalan berikut:


2.1 Adakah pihak oposisi peduli dengan proses pilihan raya di padang yang tidak rata?

Proses pilihan raya kita yang pincang diperjuangkan dengan lantang sekali via Bersih gerakan rakyat di bawah pimpinan bersama Ambiga dan Pak Samad Said. Di belakang siri gerakan Bersih-turun-ke jalan raya ini,  kita temui para pemimpin pihak oposisi sehinggakan BN/Umno terpanggil untuk melabel bahawa Bersih itu pertubuhan haram, kuda tunggangan pihak oposisi.   Bersih tampil dengan 8 tuntutan yang tersohor dan salah satu daripadanya ialah dakwat kekal.  Sepanjang peristiwa Bersih yang turut disorot oleh pelbagai media antara bangsa,  BN/Umno lebih sibuk untuk mengharamjadahkannya.  Mantan menteri penerangan bangun dan tumpang sekaki untuk memburuk-burukan Bersih.  Di depan rumah Ambiga ada pesta goyang buntut.  Segala alat dan peralatan mereka, seperti biasa,  memilih untuk melucahkan saja segala tuntutan sah rakyat.  Walaupun BN/Umno tidak boleh memandang sepi segala tuntutan Bersih ini tapi akhirnya ia memilih untuk berbuat demikian.  Parti politik tua ini membisu.  
2.2 Apakah yang dilakukan oleh pihak oposisi dalam berdepan dengan pelbagai kepincangan, misalnya isu daftar pengundi yang mencurigakan?

Seperti biasa pihak oposisi protes, protes, protes dan terus memPROTES misalnya perihal daftar pemilih yang mencurigakan.  Dan seperti biasa juag, SPR dan Umno/BN terus membisu.  Kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Khalid meneliti daftar ini dengan terperinci dan menemui nama yang tidak dapat dikesan.

Apa yang terjadi ialah pihak oposisi telah didorong sehingga terperosok ke dinding besi yang keras dan kaku.  Jalan sudahpun ditutup rapat. 

Kita ambil satu lagi contoh media.  Di negara kita namakan apa saja bentuk media, ia dibolot sepenuhnya oleh BN/Umno.  Oleh kerana mereka bolot media makanya, siang dan malam mereka menjaja, menyerang, menjaja dan menyerang via media, seolah-olah seluruh media itu sudahpun menjadi milik sepenuhnya segala kepala bapanya Umno/BN.  Dan seperti biasa,  pihak oposisi hanya terdaya merungut, memprotes, merungut, memprotes tanpa henti-hentinya.  Umno/BN, seperti biasa, buat tak peduli saja.  Pergi jahanam dengan segala protes-protesmu itu.  Apa yang kamu boleh buat?  Apa lagi yang kamu mahu? 


Boleh.  Ya, seolah-olah mahu menjawab kezaliman BN/Umno ini,  rakyat telah melakukan sesuatu  walaupun dalam bentuk yang sangat sederhana dan secara ala-kadarnya iaitu dalam bentuk media alternatif, blog, laman web, radio internet dll.


3.0  Apakah yang boleh dilakukan dalam peperangan di padang yang tidak rata ini?


Sesungguhnya kita boleh senaraikan berbagai-bagai aspek lain berhubung sikap, pendekatan, strategi dan tindakan pihak oposisi dalam berdepan dengan padang yang tidak rata ini.

Mari kita ambil satu contoh.  Salah satu masalah terbesar  pihak oposisi ialah isu penyampaian maklumat versi mereka@versi oposisi ke kawasan-kawasan luar bandar.  Kata orang,  jurang digital di antara bandar dan luar bandar telah mempengaruhi pola pengundian.  Orang-orang bandar yang secara relatif  lebih bermaklumat (baca: maklumat alternatif yang berbeza) tidak mudah terpedaya dengan media Umno/BN.        

Dalam konteks ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Selangor di bawah Tan Sri Khalid  dan pasukannya boleh dipelajari.  Bagi saya,  akhbar Selangorku itu sangat berkesan walaupun di sana sini, kadang-kadang kelihatan berlaku pembaziran.  Malangnya orang-orang luar bandar di Kedah (Negeri tanah tumpah darahku,  negeri ‘Hempa tau apa? itu) tidak sempat perolehi surat khabar versi Kedahku sepertimana orang-orang Selangor.


Apakah strategi BERSAMA oposisi i.e. Pakatan Rakyat dalam menangani/mengurangi kesan dan masalah digital divide ini?  Apakah satu dua negeri yang kaya Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Pulau Pinang dapat membantu Kedah dan Sabah misalnya dalam merapatkan jurang digital ini?  Apakah Pakatan Kedah yang sudahpun menjadi pembangkang itu dapat menyampaikan maklumat versi mereka ke kawasan-kawasan pendalaman?

     
4.0  Penutup:  Pelbagai soalan


Apa lagi yang perlu dan dapat dilakukan dalam peperangan di padang yang tidak rata ini?

Apakah lagi caranya memerangi tipu muslihat Umno dan alat-alatnya dalam pilihan raya itu?  

Apakah tidak perlu Pakatan Rakyat sebagai satu pasukan memerangi maksiat, kebejatan dan ketidakadilan padang yang tidak rata ini?

Apakah peperangan ini hanya berlaku di musim-musim pilihan raya saja sedangkan SPR itu setiap saat bernafas, segar bugar dan sibuk dengan segala sepak terajangnya?  Bukankah setiap saat alat ini berfikir, berfikir, berfikir dan terus berfikir apakah cara terbaik untuk memenangkan tuannya?    
   


No comments: